≡ Menu

Hukum Membaca Surah Yang Sama Dalam Solat

SOALAN:

Apa hukum membaca surah yang sama selepas al-Fatihah di kedua-dua rakaat yang awal dalam solat?

JAWAPAN:

Pada asasnya, membaca surah selepas bacaan al-Fatihah adalah sunat walaupun pendek. Disunatkan membaca surah pada dua rakaat yang awal. Sama ada solat secara jahriyyah atau sirriyah. Adapun makmum tidak disunatkan membaca surah bahkan digalakkan untuk mendengar bacaan surah yang dibaca oleh imam. (Lihat al-Iqna’ fi Hilli Alfaz Abi Syuja’, 1/142)

Menjawab persoalan di atas, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Mu’az bin Abdillah al-Juhaniy, bahawa seorang lelaki dari Juhainah mengkhabarkan kepadanya:

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : يَقْرَأُ فِي الصُّبْحِ ( إِذَا زُلْزِلَتْ الْأَرْضُ ) فِي الرَّكْعَتَيْنِ كِلْتَيْهِمَا ، فَلَا أَدْرِي أَنَسِيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمْ قَرَأَ ذَلِكَ عَمْدًا

“Bahawa dia mendengar Nabi SAW membaca di dalam solat Subuh ‘إِذَا زُلْزِلَتْ الْأَرْضُ’ pada kedua-dua rakaat. Aku tidak tahu sama ada Nabi terlupa ataupun sengaja membacanya di dalam kedua-dua rakaat.” [Riwayat Abu Daud (816)]

Sheikh Syamsul Haq Al-‘Azim al-Abadi menjelaskan: “Sahabat ragu berkenaan pengulangan Nabi SAW terhadap surah, adakah kerana lupa kerana kebiasaan dari bacaan Baginda SAW adalah membaca (surah) pada rakaat kedua dengan bacaan (surah) yang selain pada rakaat pertama. (Jika demikian), maka tidak disyariatkan kepada umatnya. Atau perbuatan Baginda sengaja untuk menjelaskan akan dibolehkan (hal itu)? Maka, kejadian pengulangan tersebut menimbulkan keraguan, sama ada perkara itu disyariatkan ataupun tidak. Apabila sesuatu perkara berkisar antara disyariatkan atau tidak disyariatkan, maka perbuatan Baginda SAW lebih utama difahami sebagai sesuatu yang disyariatkan. Kerana asal dari perbuatan Baginda SAW adalah untuk pensyariatan, manakala lupa adalah keluar dari perkara asal.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 3/23)

BACA:  5 Tips Untuk Anda Berjaya Khatam Al Quran Di Bulan Ramadan

Ibn Qudamah menyatakan: “Sekiranya seseorang membaca pada rakaat (pertama) sesuatu surah, kemudian mengulanginya pada rakaat kedua, maka tidak mengapa. Ini berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanadnya daripada lelaki dari Juhainah, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW membaca dalam Solat Subuh dengan surah “إذا زلزلت” (Surah al-Zalzalah) pada kedua-dua rakaat.” (Lihat al-Mughni, 1/536)

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- بَعَثَ رَجُلاً عَلَى سَرِيَّةٍ ، وَكَانَ يَقْرَأُ لأَصْحَابِهِ فِى صَلاَتِهِمْ فَيَخْتِمُ بِ (قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ) فَلَمَّا رَجَعُوا ذُكِرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فَقَالَ « سَلُوهُ لأَىِّ شَىْءٍ يَصْنَعُ ذَلِكَ ». فَسَأَلُوهُ فَقَالَ لأَنَّهَا صِفَةُ الرَّحْمَنِ فَأَنَا أُحِبُّ أَنْ أَقْرَأَ بِهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : أَخْبِرُوهُ أَنَّ اللَّهَ يُحِبُّهُ

“Bahawa Rasulullah SAW telah mengutuskan seorang lelaki sebagai pemimpin kepada satu pasukan tentera. Dalam mengerjakan solat berjemaah, beliau (menjadi imam dan) selalu membacakan al-Quran lalu mengakhirinya dengan bacaan surah al-Ikhlas. Apabila mereka kembali, perkara tersebut telah dilaporkan kepada Rasulullah SAW, lalu Baginda SAW bersabda: “Mintalah penjelasan daripadanya kenapa beliau berbuat demikian?” Mereka pun bertanya kepada Sahabat berkenaan lalu beliau menjawab: “Kerana surah tersebut (mengandungi penjelasan berkenaan) sifat Allah, sebab itulah saya suka untuk sentiasa membacanya.” Lantas Rasulullah SAW pun bersabda: “Beritahukanlah kepada beliau bahawa Allah mengasihinya.” [Riwayat al-Bukhari (7375) dan Muslim (1926)]

Ibn al-‘Arabi berkata: “Hal ini menjadi dalil bahawa dibolehkan mengulangi surah pada setiap rakaat.” (Lihat Ahkam al-Quran, 4/468)

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah dinyatakan: “Jumhur ulama’ dari kalangan Hanafiyyah, Syafi’iyyah dan Hanabilah berpendapat bahawa tidak mengapa bagi seseorang yang solat untuk mengulangi surah daripada surah-surah dalam al-Quran yang dibacanya pada rakaat yang pertama.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 25/290)

Kesimpulan

Harus bagi seseorang untuk membaca surah tertentu selepas al-Fatihah pada rakaat yang pertama, kemudian dia membaca surah yang sama pada rakaat yang kedua. Walaupun begitu, kami berpendapat adalah afdhal membaca surah yang berlainan atau ayat yang berlainan berdasarkan kebanyakan amalan Nabi SAW ketika membaca selepas Fatihah dalam solat. Justeru, keharusan bukan bermakna menjadi adat yang diulang pada setiap kali solat, tetapi perbuatan yang ghalib hendaklah dilakukan oleh para imam ketika solat.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman yang tepat kepada kita dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel