Doa merupakan salah satu kalimat bagi menzahirkan permintaan atau luahan hati kepada sang Pencipta. Allah itu Maha Mengetahui, namun tugas kita sebagai hambaNya adalah dengan sentiasa update setiap kemahuan dan perkara yang terjadi kepadaNya sendiri.
Setiap agama punya cara yang tersendiri untuk menghubungkan hati-hati hamba kepadaNya. Islam amat menganjurkan umatnya untuk berdoa walau dalam apa jua situasi.
Malah, Rasulullah dikatakan sentiasa berdoa dan tidak pernah lupa untuk mengingatkan sahabat agar tidak meninggalkan doa.
Malah, doa juga dikatakan salah satu bentuk perbuatan merendah diri dan usaha kepada Allah kerana di dalamnya terkandung pelbagai kelebihan.
ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
Mafhum: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.” (Surah Al-A’raf, 7:55)
Adab Berdoa Dengan Menadah Kedua Tangan
Menurut pandangan jumhur ulama’, mereka mengatakan bahawa tiada dalil yang sahih mengenai kewajipan mengangkat tangan ketika berdoa.
Namun, ia dilakukan sebagai adab untuk meminta. Jika dengan manusia kita akan meminta dengan cara yang terbaik, apatah lagi dengan sang Pencipta Manusia.
Menadah tangan ketika berdoa hukumnya sunat dan tidak berdosa jika tidak melakukannya. Namun, diingatkan untuk tidak mengabaikan adab-adab dalam berdoa agar kita tidak dianggap berdoa sekadar meminta bukan untuk menghayatinya.
إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ
Maksud: “Sesungguhnya Allah itu sangat pemalu dan Maha Pemurah. Ia malu jika seseorang lelaki mengangkat kedua tangannya untuk berdoa kepadaNya, lalu Ia mengembalikannya dalam keadaan kosong dan hampa.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi, no. 3556)
Menurut Ustaz Abdullah Mahmud, terdapat beberapa adab yang boleh dilakukan ketika berdoa, antaranya ialah:
#1 – Mulakan dengan Basmallah dan pujian kepadaNya serta selawat ke atas Baginda SAW.
#2 – Mengakui kelemahan diri.
#3 – Meminta dan meluahkan dengan sepenuh hati.
#4 – Mengaminkan doa dan meletakkan sepenuh pengharapan kepadaNya.
Doa itu akan dimakbulkan oleh Tuhan, sama ada cepat atau lambat atau juga akan diberikan dengan yang lebih baik.
Oleh itu, sebagai hambaNya, kita perlu meletakkan sepenuh kebergantungan kepadaNya dengan berdoa dan meluahkan.
Wallahu a’lam.
Sumber: tzkrh.com