≡ Menu

Adakah Azab Kubur Dihentikan Sepanjang Bulan Ramadan?

Adakah Azab Kubur Dihentikan Sepanjang Bulan Ramadan

Sebagai seorang Muslim dan Mukmin, kita wajib mempercayai hal-hal ghaib contohnya pahala dan dosa, kewujudan malaikat yang mencatat amalan serta perihal syurga dan neraka.

Keimanan kepada hal-hal ghaib terabadi juga dalam rukun Iman ke-5 iaitu mempercayai hari akhirat. Bermakna kehidupan kita di dunia ini bukanlah selama-lamanya. Perjalanan kita akan bersambung pula di sana kelak.

Namun sebelum itu, kita bakal melalui kehidupan di alam kubur atau dipanggil alam barzakh terlebih dahulu apabila telah meninggal dunia. Ia umpama ‘stesen perhentian’ bagi semua roh yang telah dijemput oleh Allah meninggalkan dunia ini sebelum meneruskan perjalanan ke akhirat.

Fitnah Dan Seksa Kubur Sememangnya Ada

Melalui hadis-hadis Nabi SAW kita mengetahui bahawa fitnah dan azab kubur itu sememangnya ada. Nabi SAW juga kerap berdoa agar dijauhkan daripada fitnah dan azab kubur.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

“Ya Allah, aku berlindung dengan kekuasaanMu dari azab neraka dan fitnah neraka dan dari fitnah kubur dan azab kubur”.
(Sahih Bukhari, no.6014)

Imam Mubarakfuri menyebutkan fitnah kubur diceritakan sebagai kesulitan ketika menjawab pertanyaan oleh dua malaikat iaitu Munkar dan Nakir. Manakala azab lainnya seperti diperlihatkan dengan seksaan yang bakal diterima di akhirat kelak. Seperti ayat 45 dan 46 dalam Surah Ghafir, yang menceritakan tentang azab seksa yang dihadapi oleh Firaun dan kaumnya.

“Dan Firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya. Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam barzakh), dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): “Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!”

BACA:  Tanda rezeki itu berkat

Adakah Seksa Kubur Dihentikan Sepanjang Ramadan

Kemudian ada pula perkhabaran yang menyebutkan bahawa azab kubur akan dihentikan sebaik sahaja Ramadan tiba. Ia dikatakan bersandar kepada sebuah hadis dari sahabat Anas R.anhu yang meriwayatkan,

أن عذاب القبر يرفع عن الموتى في شهر رمضان

Sesungguhnya azab kubur diangkat dari orang yang meninggal selama bulan Ramadhan (HR. Al-Qurthubi)

Walau bagaimanapun menurut Ibnu Rajab, hadis ini diriwayatkan dengan sanad dhaif. Dan tidak ada lagi hadis lain yang kuat yang membicarakan perihal ini.

Sebahagian ulama pula berpendapat bahawa azab seksa tidak akan terhenti sehigga hari kiamat buat mereka yang kafir dan tidak beriman seperti mana yang ditimpakan kepada Firaun dan kaumnya.

Manakala bagi orang yang beriman namun berdosa, hukuman adalah sesuai dengan kesalahan yang dilakukan atau boleh jadi diringankan kerana doa orang lain atau amal jariah yang dilakukan ketika masih di dunia.

Contohnya, seperti hadis yang pernah kita dengar tentang doa Rasulullah SAW ke atas dua orang yang diseksa di dalam kubur kerana menyebarkan namiimah dan tidak menjaga diri dari kencing. Rasulullah bertindak mengambil pelepah kurma basah lalu menusukkan di atas kuburan tersebut lalu berdoa agar seksa kubur diringankan seketika sehingga pelepah kurma itu kering.

Berkenaan amal ibadah pula, disebutkan dalam satu hadis hasan bahawa seksa kubur boleh dielakkan sekiranya seseorang itu sentiasa beramal dengan Surah Al-Mulk ketika masih di dunia.

“Dari ‘Abdullah bin Mas’ud, ia berkata, “Barangsiapa membaca “Tabarokalladzi bi yadihil mulk” (surat Al Mulk) setiap malam, maka Allah akan menghalanginya dari seksa kubur. Kami di masa Rasulullah SAW menamakan surat tersebut “al Mani’ah” (penghalang dari seksa kubur)…” (Hadis dinilai hasan oleh Al-Albani)

BACA:  Tips Bagi Mereka Yang Susah Untuk Khusyuk Ketika Solat

Kesimpulannya, azab kubur adalah perkara ghaib dan kita tidak diberi pengetahuan tentangnya melainkan sekelumit sahaja. Yang mampu kita lakukan adalah meyakini apa yang telah disebutkan dalam dalil-dalil yang sahih serta meneruskan amalan serta ketaatan kepada Allah.

Wallahua’lam.

 

Sumber: tzkrh.com 

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel