≡ Menu

Kaitan Antara Penyakit Gout & Gula

Kaitan Antara Penyakit Gout & Gula

GULA FRUKTOSA DAN GOUT: APA KAITANNYA?

Kebanyakan kita telah faham dan tahu kaitan diantara GULA dengan masalah diabetes dan kegemukan. Tetapi masih ramai lagi yang keliru diantara kaitan gula dengan GOUT.

Secara khususnya kaitan diantara gula dengan gout adalah kerana kandungan FRUKTOSA didalam gula tersebut. Kajian menunjukkan pengambilan gula fruktosa secara berlebihan adalah punca yang menyebabkan masalah asid urik meningkat dan akhirnya menyebabkan penyakit gout.

Penyakit GOUT adalah masalah keradangan dan sakit bengkak sendi akibat pengumpulan asid urik yang berlebihan. Selalunya berlebihan asid urik ini disalahkan kepada makanan yang tinggi asid urik iaitu makanan berpotin tinggi seperti sotong,udang,kerang,daging dan kekacang.

Kaitan Antara Penyakit Gout & Gula
Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Kajian menunjukkan pengambilan makanan atau minuman yang tinggi gula fruktosa seperti sirap jagung tinggi fruktosa (High Fructose Corn Syrup;HFCS), minuman manis berkarbonat,minuman kordial, jus buah-buahan dan makanan proses adalah punca sebenarnya berlaku masalah keradangan sendi GOUT ini. Oleh kerana secara statistiknya, masyarakat Malaysia adalah pengguna gula pasir yang tertinggi di Asia dengan penggunaan purata melebihi 50 sudu, maka insiden gout ini adalah tinggi dalam masyarakat kita. Makanan proses seperti jem, mentega kacang, gula-gula, cokelat sebenarnya banyak mengandungi HFCS didalamnya.

Fruktosa sebenarnya adalah ‘gula buah’ yang menyebabkan gula berasa manis dan ia ada dalam buah-buahan dan madu secara natural. Dalam buah-buahan dan madu, fruktosa ini tidak menjadi masalah kerana adanya serat dan zat-zat lain yang mengawal penyerapan fruktosa dalam usus. Frukosa yang diserap daripada usus akan dihantar ke organ hati (liver) untuk di metabolisma kan kerana ianya tidak boleh digunakan secara terus oleh sel-sel tubuh kita.

Apabila kita mengambil makanan atau minuman yang tidak mempunyai serat dan hanya mengandungi kandungan fruktosa yang tinggi, maka penyerapan fruktosa daripada usus menjadi sangat cepat dan ‘membanjiri’ organ hati dalam masa yang singkat. Gula pasir dan sirap jagung tinggi fruktosa (HFCS) yang banyak digunakan dalam makanan proses akan menyebabkan masalah ‘kebanjiran’ fruktosa dalam hati seseorang.

Didalam organ hati, semasa frukosa akan di pecahkan dan di metabolismakan, bahan ‘purina’ akan di keluarkan yang akan akhirnya membentuk ‘asid urik’ melalui laluan ‘cyclic AMP’.(sila rujuk gambarajah). Pengambilan fruktosa yang berlebihan akan menyebabkan penghasilan asid urik yang tinggi. Asid urik ini akan membentuk kristal yang akan melekat kepada lapisan pembalut sendi yang menyebabkan keradangan, bengkak dan sakit pada sendi-sendi tubuh. Kajian menunjukkan selepas beberapa minit mengambil makanan atau minuman dengan kandungan HFCS yang tinggi akan menyebabkan paras asid urik meningkat dengan cepat didalam darah.

BACA:  Daun Daripada Pokok Sukun Mampu Mengubati Pelbagai Penyakit Kronik
Kaitan Antara Penyakit Gout & Gula Big Toe

KAITAN MINUMAN MANIS DENGAN GOUT

Gout dahulunya dikatakan sebagai penyakit ‘orang kaya’ kerana selalunya orang kaya sahaja yang mampu makan udang, sotong dan daging yang lebih mahal. Tetapi sekarang semakin lama semakin ramai yang kena penyakit gout walaupun tidak makan makanan mahal tersebut tetapi mereka banyak mengamalkan makanan atau minuman yang tinggi gula dan HFCS yang murah sahaja dan berlambak-lambak dipasaran.

Sugar & Gout Boston University School of Medicine

Kajian menunjukkan penderita gout ini telah meningkat bekali ganda sejak kebelakangan ini. Dalam satu kajian yang dijalankan di USA tahun 2008, menunjukkan seseorang yang minum 2 botol atau lebih minuman manis soda bergula tinggi (minuman berkarbonat) akan mempunyai 85% risiko lebih tinggi mendapat penyakit GOUT berbanding dengan seseorang yang minum kurang dari satu botol minuman manis bersoda dalam sebulan.

KAITAN FRUKTOSA DENGAN OBESITI

Pengambilan minuman manis dan makanan proses bergula tinggi adalah penyumbang utama kepada masalah sindrom metabolik dan obesiti diseluruh dunia. Ia juga menjadi punca kepada masalah gout kerana kajian menunjukkan seseorang yang mempunyai masalah obesiti selalunya mempunyai masalah gout juga. Kajian menunjukkan seseorang yang mempunyai berlebihan berat badan akan mengahsilkan lebih banyak asid urik dalam tubuh mereka dan buah pinggang mereka tidak mengeluarkan lebihan asid urik ini dengan cepat.

Kajian juga menunjukkan, risiko relatif untuk mendapat penyakit gout adalah dua kali ganda di kalangan mereka yang mempunyai masalah obesiti berbanding dengan mereka yang tiada masalah obesiti. Secara purata seseorang yang ada masalah obesiti akan mendapat masalah gout, 3 tahun lebih awal daripada seseorang dengan berat badan yang normal.

High Fructose Corn Syrup is Dangerous for Health

ADAKAH MAKAN BUAH AKAN MENYEBABKAN GOUT?

Kajian menunjukkan pengambilan secara sederhana tidak akan menyebabkan masalah gout kerana makan buah-buahan mengandungi kandungan serat yang tinggi yang membantu melambatkan penyerapan fruktosa. Ia tidak menyebabkan organ hati di banjiri oleh fruktosa dan ia juga tidak menyebabkan penghasilan asid urik yang berlebihan. Tetapi pengambilan buah-buahan manis secara berlebihan masih boleh menyebabkan gout terjadi.

Berdasarkan kajian , pengambilan jus buah-buahan boleh menyebabkan penghasilan asid urik meningkat dan menyebabkan masalah radang sendi gout. Kajian menunjukkan orang lelaki yang mengambil jus buah-buahan 2 gelas atau lebih dalam sehari akan mempunyai risiko mendapat gout sebanyak dua kali ganda berbanding seorang lelaki yang minum kurang daripada satu gelas jus buah-buahan sehari.

BACA:  7 Tips Agar Sunat Cepat Sembuh Untuk Kanak-kanak Lelaki – Perkongsian Doktor

Ini tidak bermakna anda tidak makan buah-buahan lansung dalam pemakanan seharian, tetapi anda perlu menghadkan pengambilan buah-buahan yang terlalu manis dan elakkan terus pengambilan jus buah-buahan tanpa serat. Jika anda ingin membuat jus, pastikan anda tidak membuang seratnya dan yang lebih baik adalah membuat jus buah-buahan yang dicampur dengan sayur-sayuran seperti contohnya jus epal dengan seleri, atau jus tembikai dengan brokoli, jus oren dengan lobak merah dan sebagainya. Yang perlu dikawal dalam pengambilan buah-buahan adalah kuantiti buah yang di makan terutamanya buah-buahan yang manis.

MENGAWAL PENYAKIT GOUT DENGAN PEMAKANAN.

Mengawal pengambilan minuman manis bersoda dan bergula tinggi adalah langkah yang utama untuk mencegah gout. Minimakan pengambilan makanan proses terutama makanan bergula tinggi dan makanan yang mengandungi HFCS.

Apabila anda telah mengidap penyakit gout, maka anda masih perlu mengawal pengambilan makanan dengan asid urik yang tinggi seperti udang, sotong, daging dan kekacang . Jika anda mendapat masalah radang sendi gout dan mengalami bengkak dan radang sendi, maka anda masih perlu mengambil rawatan dengan doktor di klinik. Doktor akan memberikan ubat-ubatan yang sesuai untuk mengurangkan radang sendi dan menghilangkan rasa sakit dan mengawal paras asid urik seperti allopurinol, colchicine, diclofenac, naproxen,ibuprofen, probenacid, febuxostat.

Tetapi pergantungan kepada ubat semata-mata tanpa menjaga pemakanan tidak akan membantu menyelesaikan masalah gout ini untuk jangkamasa panjang. Mengawal gout ialah dengan mengawal paras asid urik dalam tubuh. Kaedah yang betul untuk mengawal paras asid urik dalam darah ialah dengan mengelakkan makanan yang tinggi fruktosa seperti gula pasir (sukrosa), gula jagung tinggi fruktosa(HFCS), jus buah-buahan, jem, mentega kacang, minuman berkarbonat, minuman manis bergula tinggi dan sebagainya .

Terdapat juga beberapa kajian menunjukkan pengambilan suplemen vitamin C juga boleh membantu dalam masalah gout ini kerana vitamin C boleh menurunkan paras asid urik. Pengambilan lebih banyak makanan berasaskan tumbuhan iaitu buah-buahan dan sayur-sayuran juga amat baik untuk mengawal paras asid urik dalam tubuh. Cuma pastikan anda tidak mengambil buah-buahan yang terlalu manis secara berlebihan.

Menurunkan berat badan dengan mengambil lebih banyak lemak sihat dalam pemakanan seharian dan mengawal pengambilan makanan dan minuman proses juga amat baik untuk membantu memulihkan masalah penyakit gout ini. Insyaallah.

BACA:  Doktor Dedah Kelebihan Nanas, Makan Setiap Hari!

Dr Norman Mohd Norawi
MBBS (Manipal), MScAARMMA(UCSI)
MNM(ACNEM), FAGE

RUJUKAN:

1. https://www.arthritis.org/diseases/gout
2. Jamnik J, Rehman S, Blanco Mejia S et al. Fructose intake and risk of gout and hyperuricemia: a systematic review and meta-analysis of prospective cohort studies. BMJ Open. 2016 Oct 3;6(10):e013191. doi: 10.1136/bmjopen-2016-013191.
3. Choi HK, Curhan G. Soft drinks, fructose consumption, and the risk of gout in men: prospective cohort study. BMJ. 2008 Feb 9;336(7639):309-12. doi: 10.1136/bmj.39449.819271.BE. Epub 2008 Jan 31.
4. Thottam GE, Krasnokutsky S, Pillinger MH et al. Gout and Metabolic Syndrome: a Tangled Web. Curr Rheumatol Rep. 2017 Aug 26;19(10):60. doi: 10.1007/s11926-017-0688-y.
5. Saag KG, Choi H. Epidemiology, risk factors, and lifestyle modifications for gout. Arthritis Res Ther. 2006;8 Suppl 1:S2. Epub 2006 Apr 12.
6. Ayoub-Charette S, Liu Q, Khan TA et al. Important food sources of fructose-containing sugars and incident gout: a systematic review and meta-analysis of prospective cohort studies. BMJ Open. 2019 May 5;9(5):e024171. doi: 10.1136/bmjopen-2018-024171.
7. Nakagawa T, Lanaspa MA, Johnson RJ. The effects of fruit consumption in patients with hyperuricaemia or gout. Rheumatology (Oxford). 2019 Jul 1;58(7):1133-1141. doi: 10.1093/rheumatology/kez128.
8. Choi HK, Liu S, Curhan G. Intake of purine-rich foods, protein, and dairy products and relationship to serum levels of uric acid: the Third National Health and Nutrition Examination Survey. Arthritis Rheum. 2005 Jan;52(1):283-9.
9. Choi JW, Ford ES, Gao X, Choi HK. Sugar-sweetened soft drinks, diet soft drinks, and serum uric acid level: the Third National Health and Nutrition Examination Survey. Arthritis Rheum. 2008 Jan 15;59(1):109-16. doi: 10.1002/art.23245
10. Gao X, Curhan G, Forman JP, Ascherio A, Choi HK. Vitamin C intake and serum uric acid concentration in men. J Rheumatol. 2008 Sep;35(9):1853-8. Epub 2008 May 1.
11. Jakše B, Jakše B, Pajek M, Pajek J. Uric Acid and Plant-Based Nutrition. Nutrients. 2019 Jul 26;11(8). pii: E1736. doi: 10.3390/nu11081736.
12. Evans PL, Prior JA, Belcher J, Mallen CD, Hay CA, Roddy E. Obesity, hypertension and diuretic use as risk factors for incident gout: a systematic review and meta-analysis of cohort studies. Arthritis Res Ther. 2018 Jul 5;20(1):136. doi: 10.1186/s13075-018-1612-1.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel