SOALAN :
Seorang yang duduk tahyat awal tersalah dia duduk seperti tahyat akhir atau duduk tahyat akhir dia duduk seperti tahyat awal bagaimana hukum sembahyangnya?
Dan satu lagi adakah wajib dirikan tapak kaki kanan serta melipat jari kaki masa duduk tahyat?
JAWAPAN :
Ketika duduk membaca tahyat awal disunatkan duduk iftirasy yaitu duduk di atas tapak kaki yang kiri dan tegakkan tapak kaki yang kanan.
Manakala ketika membaca tahyat akhir disunatkan duduk tawaruk yaitu kaki kiri dikeluarkan dari bawah betis yang kanan manakala tapak kaki kanan ditegakkan dan dilipat segala jari kaki yang kanan itu ke arah kiblat.
Berkata Imam Nawawi :
قال أصحابنا لا يتعين للجلوس في هذه المواضع هيئة للإجزاء بل كيف وجد أجزأه سواء تورك أو افترش
Artinya : “Telah berkata Ashab kami tidak tertentu bagi duduk pada segala tempat duduk ini bagi sahnya bahkan macamana dia duduk pun nescaya sah samada duduk iftirasy atau duduk tawaruk.” (Kitab Al-Majmu’)
Maksudnya ketika duduk di dalam sembahyang samada duduk antara dua sujud atau duduk tahyat awal atau duduk istirahah atau duduk tahyat akhir adalah boleh duduk dengan duduk iftirasy atau dengan duduk tawaruk.
Cuma ketika duduk tahyat awal atau duduk antara dua sujud itu disunatkan duduk iftirasy. Dan ketika duduk tahyat akhir itu disunatkan duduk tawaruk.
Berkata Syeikh Zaindudin Malibari :
(وسن فيه) الجلوس بين السجدتين، (و) في (تشهد أول) وجلسة استراحة، وكذا في تشهد أخير إن تعقبه سجود سهو. (افتراش) بأن يجلس على كعب يسراه بحيث يلي ظهرها الارض
Artinya : “Dan disunatkan duduk antara dua sujud dan duduk tahyat awal dan duduk istirahah dan begitu juga duduk tahyat akhir yang ada sujud sahwi selepasnya dengan duduk iftirasy yaitu duduk atas buku lalinya yang kiri sekira-kira sebahagian kaki kirinya itu di atas lantai.” (Kitab Fathul Muin)
KESIMPULAN
Ketika duduk tahyat awal disunatkan duduk iftirasy tetapi jika seorang itu tersalah duduk tawaruk maka tidak mengapa.
Ketika tahyat akhir disunatkan duduk tawaruk tetapi jika seorang itu tersalah duduk iftirasy maka tidak mengapa.
Ketika duduk iftirasy pada tahyat awal dan duduk tawaruk pada tahyat akhir disunatkan dia tegakkan tapak kaki yang kanan dan melipatkan segala jarinya. Maka jika duduk seorang dengan tidak menengakkan tapak kakinya yang kanan itu atau tidak melipat jarinya maka tidak mengapa.
wallahua’lam
ustaz azhar idrus