
Nota Editor: Artikel ini asalnya telah dikongsikan oleh Ustaz Abu Basyer di Blog Tanyalah Ustaz.
Soalan : Ustaz nak tanya hukum menghadiri majlis yang terang-terang menyediakan arak kepada bukan Islam dalam majlis tersebut…yang juga dhadiri ramai orang muslim…terima kasih
Jawapan :
Orang mukmin di larang hadir di dalam majlis yang di sediakan arak oleh orang yang bukan Islam. Jika terpaksa kerana sebahagian daripada program majikan saudara maka ada ruksyah dan hati saudara kena membencinya. Hadis yang menjelaskan tentang 40 hari tidak diterima solat adalah merujuk kepada minuman keras. Salah satu hadisnya adalah dari Abdulllah ibn ‘Amr berkata, bahawa Nabi SAW bersabda :-
مَنْ شَرِبَ الْخَمْرَ وَسَكِرَ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاةٌ أَرْبَعِينَ صَبَاحًا وَإِنْ مَاتَ دَخَلَ النَّارَ
“Barangsiapa yang meminum ARAK dan MABUK, solatnya tidak diterima selama 40 hari dan jika dia mati, dia akan masuk neraka” [Hadis Riwayat Ibn Maajah no. 3377].
Dalam konteks kedai makan atau restaurant yang menyediakan makanan halal, pada masa yang sama ada menjual meninum keras, menurut Dr Abdul Fattah ‘Ashoor (Profesor Jabatan Aqidah Universiti Al-Azhar), tidak dilarang seseorang dari memasukinya asalkan dia tidak melibatkan diri dalam meminum (termasuk membeli) arak. Lebih-lebih lagi didalam keadaan saudara yang terpaksa melayan kerenah orang atasan, perkara tersebut boleh dianggap dharurat.
Akan tetapi, menurut Dr Abdul Fattah, jika restaurant tersebut memang semata-mata menjual Arak, maka seorang Islam di larang menghampiri tempat-tempat yang sedemikian. Orang Islam tidak boleh membantu kearah kemaksiatan. Firman Allah SWT :-
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya, ” Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan” [Surah al-Maa’dah ayat 2]
Kesimpulannya, hadis 40 hari tidak diterima solat merujuk kepada peminum arak. Tempat makanan halal yang ada menjual arak, tiada larangan untuk orang Islam memasukinya melainkan tempat tersebut khas menjual arak. Yang jelas disini adalah saudara tidak terlibat didalam membeli dan meminum arak, dan kehadiran saudara disana adalah semata-mata dalam skop ‘pekerjaan’.
Jika terdapatnya peluang untuk menjelaskan kepada boss-boss saudara tentang orang Islam dilarang terlibat didalam aktiviti arak, majlis yang melibatkan minuman arak bolehlah saudara jelaskan kepada mereka secara berhikmah. Jika terdapat halangan semasa menjelaskan kepada mereka, maka hati saudara tidak sekali-kali redha dengan hal yang sedemikan, itulah selemah-lemah Iman.
Didalam keadaan yang saudara mempunyai pilihan untuk memilih (choice), adalah lebih baik bagi saudara meninggalkan function tersebut. Akan tetapi, jika tidak terdapat apa-apa pilihan (disebabkan desakan majikan yang bukan Islam dan sebagainya), saudara boleh menyertai function tersebut dengan minum dan makan makanan yang halal.
