![Mencukur Rambut Bayi vs Aqiqah – Mana Dahulu?](https://www.islamituindah.my/wp-content/uploads/2020/08/Mencukur-Rambut-Bayi-vs-Aqiqah-Mana-Dahulu.png)
Mencukur rambut bayi merupakan salah satu perkara sunat yang digalakkan dalam Islam selain aqiqah.
Hikmahnya bagi membuang rambut bayi yang pernah diselaputi darah di dalam kandungan dan melindunginya daripada sebarang jangkitan penyakit. Rambut tersebut kemudian ditimbangkan dan dinilaikan dengan emas atau perak, seterusnya disedekahkan.
Anjuran cukur rambut dan aqiqah adalah pada hari ketujuh selepas bayi dilahirkan. Namun bagaimana pula jika masih tidak mampu melakukan aqiqah pada hari ketujuh. Adakah boleh terlebih dahulu mencukur rambut bayi dan adakah ia dikira sunat?
Mengikut urutan yang paling disarankan, ia bermula dengan sembelihan binatang aqiqah, kemudian proses mencukur rambut dan akhir sekali memberikan nama buat anak pada hari ketujuh.
Walau bagaimanapun, jika terdapat kekangan untuk melakukannya sekaligus, boleh mencukur rambut terlebih dahulu pada hari ketujuh sekalipun masih belum melakukan aqiqah. Ia selari dengan sebuah hadis Rasulullah SAW bahawa:
Diriwayatkan oleh Samurah bin Jundub RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda,
كلُّ غُلامٍ رَهينةٌ بعَقيقةٍ تُذبَحُ عنه يومَ سابعِهِ، ويُحلَقُ رأسُهُ، ويُسَمَّى
Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Disembelih (aqiqah) untuknya pada hari yang ketujuh, dicukur rambutnya, dan diberikan nama.” (Riwayat Abu Daud, no.1522)
Pahala sunnah masih diperoleh kerana telah mengikuti anjuran baginda. Manakala aqiqah pula boleh ditangguhkan ke hari yang ke-14 atau hari ke-21.
Jika masih tidak berkelapangan juga dan masih belum mampu maka tidak mengapa untuk melakukan aqiqah pada bila-bila waktu sebelum umur bayi mencapai akil baligh.
Kesimpulannya, tiga perkara yang disunnahkan dalam hadis di atas – aqiqah, cukur rambut dan memberikan nama pada hari ketujuh adalah sunnah yang berbeza dan tidak terikat melakukannya secara serentak. Wallahua’lam.
Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan
![Kambing Aqiqah Murah Indonesia](https://i.imgur.com/mIXcSv5.gif)