
Tengah malam habis ceramah siaran langsung TV Al Hijrah. Pusing berdua dengan staf saya di tengah kota raya macam biasa, jam menunjukkan 12.00 malam.
Kelihatan anak-anak muda duduk melepak, terus kami singgah berhenti kereta. Saya turun dulu dan minta staf saya memandu mencari parking.
Ketika saya mendekati mereka ada beberapa yang saya pernah jumpa sebelum ini. Terus saya menghulurkan salam kepada mereka 12 orang remaja. Mereka menyambut salam dan memeluk saya.
Saya bertanya;
“Kamu semua sudah makan? Jom ustaz belanja makan. “
Mereka ceria sekali mengikut cadangan saya, saya bersembang untuk mengenali mereka. Ada yang tinggal di Selayang, Wangsa Maju, Danau dan Cheras. Merata-rata tempat tinggal mereka.
Sedih pula saya lihat ramai yang ukir tatu di belakang badan. Walaupun tatu tidak kekal. Mereka lukis belakang badan kawan-kawan. Ada yang lukis juga di tangan.
Masing-masing membuat pesanan makanan dan air. Mereka malu-malu bila nak order, sebab mungkin risau nak order. Bila makanan sampai, saya mula suap mereka. Mereka kelihatan gembira bila saya suapkan.
Setelah selesai makan saya mengajak mereka solat. Ada yang berkata;
“Ustaz, mandi wajib pun belum dah lama tak mandi wajib.”
Sedih mereka masih muda, bergelumang dengan rokok dan gam. Tetapi mereka semua baik-baik sangat. Benar bila dalami mereka semua ada masalah keluarga. Tekanan hidup dan jiwa anak yang ingin kebebasan.
Mereka kadang-kadang tersalah pilih jalan. Saya mengajak mereka naik kereta memang mereka suka, sambil itu saya bersembang dengan mereka, agar lebih mengenali seorang demi seorang.
“Wah best kereta ustaz. Tak pernah naik kereta macam ni.”
Saya bertanya kepada mereka tidur mana malam ni. Mulalah mendengar gurau mereka. Tetapi sedih campur risau. Ada yang berkata tanpa berslah;
“Tidur rumah Dato gay, lumayan dapat RM3000 dan kadang-kadang RM10 000.”
Mereka ada paras rupa. Ya Allah sedih saya mendengar. Ada juga yang menjawab pertanyaan itu dengan berkata;
”Tidur rumah nyonya ibu ayam ini lah.”

Walaupun mereka bergurau tetapi saya risau mendengar. Saya pernah melihat mereka beberapa kali tidur tepi bank. Tidur tepi bangunan. Sedih sangat rasa. Saya menawarkan kepada mereka;
”Jom, Ustaz check in kan hotel nak tak.”
Mereka semua kelihatan gembira. Pergi hotel pertama tak bagi sebab ramai sangat. Alhamdulillah jumpa juga satu hotel ni, dengan kelengkapan 2 katil king Rm220.
Kami pun masuk bilik, meriahnya macam pergi camping. Masuk je bilik mereka bergilir-gilir mandi. Ada seorang antara mereka kasut sudah tercabut.
Ada seorang tu baju itulah dia pakai setiap kali jumpa. Lama mereka tidak mandi. Mandi ramai-ramai. Haha.. macam duk asrama. Tuala ada 3 je disediakan dan baju sehelai sepinggang.
Masa tunggu mandi mereka buka tv ada program agama. Mereka tengok Hafiz dan hafizah Al-Quran. Seorang meluahkan kepada saya;
“Mak saya ada cuba hantar saya ke sana. Selepas 2 hari saya lari ustaz. “
Habis mandi kami solat bersama. Semua solat dengan tertib sekali. Sedap suara salah seorang dari mereka bila iqamah.
Usai solat,saya memberi tazkirah dan dengar kisah hidup mereka. Sedih mendengar kisah mereka. Saya sedar ada 2 orang di antara mereka, selepas sesi tu asyik senyap. Dia menangis, saya peluk.
Seorang baru 14 tahun dan seorang lagi 16 tahun. Mendengarlah kisah awal remaja mereka, ada orang ini ajak bergaduh, ada yang berputus cinta dan macam-macam. Sedihkan, siapa sangka dikala umur begitu segala susah datang.
Lepas solat dan berbual. Mereka kelihatan lapar, saya turun bungkus nasi goreng ayam dan milo ais. Mereka makan dan selepas itu semua lena.
Masa tengok anak ini lena. Saya tidak boleh tidur, saya cuma menangis ,kerana ramai anak-anak begini di luar sana. Ujian dan tekanan hidup. Menangis saya dalm kegelapan malam dan otak saya tidak berhenti fikir semua ini.
Mungkin sekali tengok semua orang rasa takut tengok remaja begini. Tetapi apabila mereka makan, tidur, berbual mereka cuma anak-anak yang dahagakan kasih sayang dan didikan.
“Ya Allah maafkanlah diriku. Ini semua salah diriku kerana tidak bersungguh berdakwah. Ya Allah maafkanlah kami semua. Bimbinglah semua anak remaja kami.
Saya yakin dengan iman dan sunnah manusia akan jadi baik, sebab Allah yang menjadikan manusia. Setakat ini saya tidak jumpa lagi orang yang tidak boleh menjadi baik.
Jika mereka bermula dengan niat untuk memperbaiki diri, berusaha belajar dan duduk dalam suasana iman, mereka pasti berjaya. Mereka semua baik-baik.
Sumber: Tazkirah.net
