≡ Menu

Kesejahteraan Itu Yang Utama Meskipun Berbeza Ideologi Politik

Suatu penilaian, jika BN menang sedikit dan PAS menjadi ‘King maker’, lalu terbentuklah kerajaan campuran, maka PAS akan menjadi penasihat.

Ini bagus, rakyat boleh menilai bagaimana respon BN terhadap nasihat-nasihat Islamik daripada PAS bagi memberi kebaikan dan kebajikan yang lebih baik untuk rakyat.

Kita boleh melihat bagaimana sinergi ulama PAS dan ulama UMNO untuk melahirkan umara’/pemimpin yang lebih bertaqwa. ‘King maker’ mudah-mudahan akan berjaya mengurangkan imej ‘Cash is King’.

Jika PAS menang semua kerusi dan menjadi parti yang paling dominan, maka kita berpeluang melihat bagaimana prinsip dan dasar-dasar Islam dalam kerajaan pimpinan PAS diaplikasikan dalam seluruh sistem bernegara dan diterjemahkan secara syumul dalam realiti masyarakat majmuk di Malaysia.

Sudah tentu sahaja semua janji dalam manifestonya akan ditunaikan. Tentu ini sangat baik dan menarik bila umara’ dan ulama ada pada individu yang sama.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Jika Pakatan Harapan menang, baik juga kerana tentu mereka akan membentuk kerajaan yang lebih adil dan mesra rakyat dengan menunaikan segala janji dalam manifestonya.

Tentulah mereka lebih berhati-hati dan sudah belajar daripada kesalahan kerajaan yang sebelumnya bagi membina sebuah negara yang lebih berintegriti, adil dan mesra rakyat.

Ulama dalam parti Amanah dan individu yang berlatarbelakangkan pendidikan Islam dalam PKR akan menjadi penasihat supaya nilai-nilai Islam terus dipertahankan dan kedudukan Islam dalam perlembagaan akan terus dipelihara.

Rakyat akan melihat bagaimana Pakatan Harapan memenuhi harapan mereka.

Jika BN terus menang besar, kita perlu menerima dan berlapang dada kerana itulah hakikatnya sistem demokrasi, kita perlu akur kepada suara majoriti.

BACA:  Adakah Mereka yang Meninggal Kerana COVID-19 Ini Boleh Diklasifikasikan Mati Syahid Dan Tidak Perlu Dimandikan

Selagi cara ini digunakan, maka kita perlu setuju dengan peraturan pilihanraya dan keputusannya.

Kita berharap kerajaan BN nanti akan mesra rakyat, belajar daripada kesalahan lalu dan membangunkan sistem pemerintahan dan urus tadbir yang lebih berintegriti dan kompeten.

Majoriti rakyat telah memilih, maka kita perlu menerimanya. Jika ‘pisang berbuah dua kali’ maka kesabaran perlu untuk menghadapinya. Tentu ada hikmahnya, Allah takdirnya semua itu berlaku.

Jika terbentuk pula kerajaan campuran yang lain dari yang lain (kerana politik ialah bidang yang serba mungkin – kawan jadi lawan, lawan jadi kawan, boleh terjadi ‘sekelip mata’) maka apakah kita ada pilihan untuk tidak menerimanya?

Maka terimalah juga dengan berpegang kepada prinsip ‘yang menang tidak dapat semua, yang kalah tidak hilang semua.’

Apa pun marilah kita menjaga persaudaraan sesama Islam, menghormati dan menghargai yang bukan Islam, mencintai negara sepenuh hati kerana sabda Rasulullah SAW;

”Sayangilah yang ada di bumi, niscaya Yang ada di langit akan menyayangimu.”
Riwayat At Thabrani dalam al Mu’jam al Kabir, Shahihul Jaami’ no. 896

Mari kita berdoa agar Malaysia diselamatkan daripada sebarang malapetaka dan terus aman. Berhati-hati ketika mengundi.

Istikharah dengan Allah, bermesyuarat dengan manusia. Kita tidak akan kecewa. InsyaAllah. Amin. Sekadar pandangan seorang marhein yang tidak celik politik.

 

Sumber: Tazkirah.net 

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel