Kurma sering disebut-sebut sebagai salah satu makanan sunnah. Kurma atau tamr ada disebut dalam Al-Quran dan beberapa hadis sahih, bahkan manusia turut mengkajinya sehingga sekarang. Apa sebenarnya yang terkandung dalam sebiji kurma sehinggakan kajian ilmu terhadap makanan ini tidak pernah berhenti? Mari kita mulakan dengan hadis daripada Rasulullah SAW.
Dari Umar RA; “Ketika kami duduk-duduk di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba diberikan jummar (umbut) pohon kurma. Rasulullah SAW pun berkata;
“Sesungguhnya terdapat satu pokok, barakahnya seperti barakah seorang Muslim” Lalu aku meneka, ia adalah pokok kurma. Lalu aku pun mahu menyatakannya (kepada Rasulullah) ia adalah pohon kurma, wahai Rasulullah. Tetapi kemudian aku memerhatikan dan mendapati bahawa aku orang yang kesepuluh dan yang paling kecil. Lalu aku pun diam. Maka Nabi SAW pun berkata, “Ia adalah pohon kurma”
(Sahih Al-Bukhari No. 5444)
Di dalam Kitab Fathul Bari, Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani menghuraikan bahawa barakah pokok kurma ada pada semua bahagiannya dan berterusan dalam apa pun keadaannya. Seluruh bahagian pokok tersebut boleh diambil manfaatnya, hinggakan bijinya juga boleh dimakan oleh haiwan ternakan, manakala sabutnya boleh dijadikan tali.
#1- Melancarkan Proses Bersalin
Saintis di barat bahkan ada melakukan kajian tentang pengambilan kurma dan kesannya kepada proses bersalin. Kajian dilakukan ke atas beberapa ratus wanita mengandung yang makan kurma enam biji sehari selama beberapa minggu sebelum tarikh jangkaan bersalin.
Keputusan menunjukkan bahawa pematangan servik (proses yang memudahkan proses bersalin)lebih senang berlaku bagi mereka yang makan kurma. Masa yang diambil untuk bersalin juga lebih singkat.
Kajian lain juga menunjukkan pengambilan kurma dapat mengurangkan risiko ‘cervical hemorrhage’ atau pendarahan servik selepas bersalin berbanding penggunaan ‘oxcytosin’ . Hal ini membuktikan kurma boleh menjadi pilihan yang baik dalam persediaan untuk bersalin secara normal.
#2- Kandungan Lemak, Kolestrol Dan Gula Yang Rendah
Dari sudut saintifik, kurma atau nama lainnya Phoenix dactylifera ini mempunyai khasiat yang sangat bagus iaitu kandungan lemak, kolestrol dan gula aslinya sangat rendah. Makanan ini sesuai dijadikan menu diet yang sihat dalam masa yang sama boleh membekalkan tenaga kepada badan terutama pada bulan puasa.
#3- Kandungan Mineral Yang Baik Untuk Kesihatan Tulang
Kandungan mineral yang tedapat di dalam kurma seperti fosforus, potassium, magnesium dan kalsium juga mampu menguatkan tulang dan mengelakkan osteoporosis (pereputan tulang). Ianya sesuai diambil sejak dari awal lagi, bukan hanya ketika diri sudah dimamah usia. Usaha penjagaan tubuh badan perlu dilakukan dari awal kerana kesihatan tubuh badan manusia secara biologinya akan mula mengalami penurunan setelah mencapai usia 20-an.
Kesimpulannya, kurma bukan hanya sesuai diambil pada bulan puasa, tetapi ia boleh dimasukkan dalam menu harian juga. Pilihlah makanan yang halalan toyyiban, yang halal dan juga baik untuk tubuh badan kita.
Sumber: Tazkirah.net