≡ Menu

Ujian Itu Mendekatkan Kita Dengan Pencipta

Tahun ini merupakan tahun keempat saya sebagai pesakit kanser. Pernah saya katakan kepada diri saya hidup 3 tahun pun sudah satu rahmat.

Dalam 3 tahun pertama saya sibuk dengan rawatan saya dan diizin Allah untuk melancong, umrah dan makan angin. Pada ketika ini fizikal saya masih baik.

Tahun ini tahun keempat, satu bonus bila Allah lanjutkan usia saya melepasi tahun keempat walaupun dalam keterbatasan. Saya mungkin tidak segagah dahulu.

Keputusan rawatan juga tidak menyebelahi saya. Tetapi saya ingat kali pertama saya menerima berita menjadi pesakit kanser, saya katakana pada diri saya;

“Aku insan terpilih.”

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Tidak ada sebab untuk saya mendapat kanser tetapi saya dapat. Menangis saya semahunya kerana terasa Allah memandang saya. Semakin dekat saya dengan-Nya.

Pintu hati saya pernah beberapa kali diketuk hidayah Allah. Syukur hidayah Allah datang berulang kali walaupun saya biarkan dahulu.

Pelbagai jatuh bangun saya lalui sejak kecil sehingga ke alam universiti. Kemuncaknya tahun 2009 saya bulatkan hati berhijrah meninggalkan kejahilan saya yang terlampau.

Habis semua baju lama saya dibuang. Mengeluarkan kos untuk imej baru yang saya rasa Allah dan Rasul pasti suka. Jauh saya terbang membawa diri mencari ruang untuk membina jatidiri baru.

Bukan senang menanggalkan karat jahiliah. Sampai satu ketika saya merasa manisnya bercinta hanya dengan Allah.

Tidak lama saya hanyut bercinta dengan Allah, Allah anugerahkan cinta suami dan rezeki berupa sepasang anak, kerjaya yang baik, kewangan yang baik. Tanpa saya sedar cinta saya kian beralih arah.

BACA:  Teguran Rasulullah Buat Ahli Masjid

Saya termanggu seketika merindukan hangatnya cinta Allah. Cinta itu masih terasa tetapi hangatnya tidak seperti dulu.

Dan akhirnya saya diuji dengan kanser kerana itulah saya merasakan kanser ini adalah rahmat, panggilan cinta Ilahi buat saya yang serba hina.

Merindukan Dia tetapi mendua tigakan cinta-Nya. Oleh itu, saya reda dengan ujian ini dengan harapan saya dapat kembali kepada Allah dalam keadaan reda dan mengharap diredai.

Pun begitu, ujian tidak habis di sini. Satu persatu ujian yang Allah datangkan membuatkan saya merasa ujian kanser tidaklah seberat ujian lain yang sedang saya tangani.

Kanser hanya ujian fizikal, paling teruk pun menyebabkan kematian. Malah yang berjaya hidup dengan kanser lebih ramai dari yang mati kerananya.

Ujian imanlah yang paling hebat, yang paling perlu kita fikirkan. Mati bukan mengira sihat atau sakit. Mati mungkin menamatkan kesakitan dunia, tetapi tahukah kita di alam kubur nanti kita semua akan dihimpit sampai bertemu tulang belulang.

Sehinggalah kita mampu menjawab segala jawapan Munkar dan Nakir. Beruntunglah kalau kubur kita adalah taman syurga. Kalau berupa kawah neraka? Mana lagi masa kita untuk bertaubat, berdoa, bersolat, minta ampun kalau bukan di dunia.

Ingat ujian fizikal boleh ditamatkan, tetapi ujian hati dan iman kesannya berkekalan kerana dunia hanya ibarat setitis madu dan kita adalah seekor semut yang boleh tenggelam di dalam setitis madu lalu hanyut kerana memikul titisan kecil dari setitis madu itu.

Sedangkan kalau kita lalu dan membiarkan sahaja madu di sisi, kita tidak rugi dan tidak mengambil risiko untuk hanyut di dalam titisan madu itu.

Cakap itu mudah dan memberi peringatan itu juga mudah, Namun mintalah Allah mudahkan kita untuk berbuat juga.

BACA:  10 Doa Mustajab Selepas Tahiyat Akhir dan Sebelum Salam

Sedekahkan al-Fatihah kepada penulis ini (Allahyarhamah Nor Eliyana Bt Mohd Redhuan) yang telah pergi menghadap Ilahi pada 24/12/2017. Semoga ditempatkan dalam kalangan para solehin.

 

Sumber: Tazkirah.net 

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel