8 Mac 2015. Anfield. Liverpool menentang Blackburn Rovers. Rehat separuh masa pertama.
Dua orang penyokong Liverpool, Asif Bodi dan Abubakar Bhula turun ke bawah. Dan menghampiri “steward” stadium. Mereka meminta kebenaran untuk menunaikan sembahyang Asar di sebuah ruang berhampiran tangga. “Steward” memberikan tikar untuk mereka berdua.
Tak lama kemudian, seorang lagi penyokong Liverpool, Stephen Dodd ternampak Asif dan Abubakar sedang bersembahyang. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan mengambil gambar Asif dan Abubakar.
Keesokan harinya, Dodd memuat naik gambar itu di dalam akaun twitternya. Bersama kapsyen,
“Muslim bersembahyang semasa rehat separuh masa perlawanan semalam. #Memalukan”
Apa yang terjadi selepas itu adalah viral. Ada netizen yang bersetuju dengan Dodd. Tak kurang juga ada yang mengecam kata-kata Dodd. Ini termasuklah kelab pujaan mereka sendiri, Liverpool. Kop ternyata tak puas hati dengan tindakan Dodd sehingga melaporkan isu ini kepada polis Merseyside supaya diambil tindakan.
Pada September 2016, Liverpool akhirnya menyiapkan satu ruang yang dipanggil sebagai “multifaith prayer room” dalam Anfield. Ini bagi memberi kemudahan kepada penganut mana-mana agama untuk bersembahyang.
Mo Salah Jambatan Penghubung Islam
9 bulan selepas “multi faith prayer room” itu siap, Liverpool membawa masuk Mohamed Salah dari AS Roma. Dia menjadi pemain beragama Islam yang ketiga dalam skuad Liverpool sedia ada. Selepas Emre Can dan Sadio Mane.
Prestasi Salah sangat mengagumkan. Dia mengungguli carta kasut emas dalam Liga Perdana Inggeris dan juga peringkat Eropah. Dengan jumlah jaringan 28 gol.
Ini bukan saja membantu Liverpool atas padang. Tapi juga di luar padang. Latarbelakang agama Salah merupakan satu “plus point” bagi Liverpool untuk mengembangkan “fan base” nya di kalangan negara-negara Islam. Sehinggakan aksinya bersujud meraikan gol menjadi gambar ikonik.
Salah kini juga telah menjadi pujaan peminat atau “fan favorite”. Bukan saja di kalangan peminat Liverpool, malah juga dari kalangan peminat pasukan lain. Walhal masih belum cukup semusim di Anfield.
Para penyokong Liverpool sendiri telah mencipta satu sorakan atau “chant” yang bersadurkan elemen agama buat Salah. Ianya diinspirasikan dari lagu hit dari band Dodgy, Good Enough.
“If he’s good enough for you he’s good enough for me, if he scores another few then I’ll be Muslim too. If he’s good enough for you he’s good enough for me, he’s sitting in the mosque that’s where I wanna be.”
Rakaman video penyokong Liverpool menyanyikan lagu ini dimuatnaik dalam twitter. Dan menjadi viral. Serta hit di kalangan netizen. Sehingga mendapat liputan media antarabangsa.
Perkembangan ini jelas berbeza dengan apa yang berlaku di Anfield pada tahun 2015. Kehadiran Salah seolah-olah menjadi jambatan di antara penganut bukan Islam dan penganut Islam. Dan seterusnya mampu mengurangkan sentimen Islamophobia.
Kesimpulan
Bagi Asif dan Abubakar, mereka bangga dengan perkembangan ini. Lebih-lebih lagi mengambil kira Liverpool merupakan tempat di mana William Henry Quilliam membuka masjid dan pusat Islam yang pertama di UK pada akhir 1890-an.
Cumanya tak pastilah samada penyokong Liverpool yang pernah mengecam Asif dan Abubakar dahulu, adalah orang yang sama melaungkan sorakan Mo Salah ini.
Sumber:
1. The Guardian, 2015, Tusdiq Din, Premier League clubs are making progress over prayer rooms for fans
2. BBC, 2018, Tusdiq Din, Mohamed Salah: Is Liverpool striker’s success improving engagement with Muslim fans?
Kredit: Tazkirah.net