≡ Menu

Tidak Kira Apa Alasan Diberi, Perkahwinan Jarak Jauh Bukan Perkara Digalakkan

Tidak Kira Apa Alasan Diberi, Perkahwinan Jarak Jauh Bukan Perkara Digalakkan

RAMAI pasangan berkahwin kini mengeluh kerana terpaksa tinggal berjauhan daripada suami atau isteri dan anak kerana terikat dengan kerjaya.

Bukan sedikit yang menyimpan angan-angan untuk melepaskan jawatan dan kembali ke pangkuan keluarga. Namun hasrat hati diketepikan begitu saja kerana bimbang tidak mendapat pekerjaan di tempat baharu.

Bagi mereka yang tidak pernah berjauhan, perkahwinan jarak jauh (PJJ) mungkin dianggap mudah. Apalagi jika isteri mampu berdikari dan menguruskan segala keperluan sendirian.

Penulis sendiri pernah merasai pengalaman menjadi isteri hujung minggu. Walaupun hanya tiga tahun, ia menjadi tempoh paling sukar apabila diri disahkan ham1l. Beban emosi juga bertambah apabila terpaksa membesarkan bayi sendirian, tanpa bantuan pasangan.

Menjelaskan isu yang kini dianggap trend dalam perkahwinan, Perunding Motivasi Dan Kaunseling Keluarga, Dr Robiah K Hamzah berkata, PJJ bukan kaedah perhubungan digalakkan dalam Islam.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

“Ada banyak impak negat1f dalam PJJ. Sebab itulah kita selalu menggalakkan pasangan yang mahu berkahwin berunding terlebih dulu. Mereka perlu merancang dan mengenal jenis kehidupan yang hendak dilalui selepas bernikah.

“Jika boleh, elakkan berkahwin dan hidup berasingan. Usah duduk berjauhan dan selagi mampu usahakan untuk tinggal bersama, kecuali disebabkan kecemasan,” ujarnya.

Jelas Dr Robiah, penelitian dan perancangan masa depan cukup penting dalam membina perkahwinan bahagia. Tambahan, bukan mudah untuk lelaki atau wanita mengekalkan kesetiaan dalam hubungan jarak jauh.

“Kita tahu buruk baik dalam satu-satu hubungan itu tidak berkait dengan PJJ. Ia bergantung kepada tahap kekuatan dan keyakinan kita kepada Allah SWT, bagaimana rasa tanggungjawab kita terhadap pasangan dan sejauh mana ikhlasnya seseorang itu menjalinkan hubungan perkahwinan.

BACA:  Kalau Mak dan Ayah Dah Tiada Nanti, Selepas Kebumikan, Jangan Balik Lagi..

“Jika kita berkahwin kerana nafsu, rupa dan harta, hubungan jarak jauh mungkin sukar untuk bertahan lama. Begitu juga dengan perkahwinan yang dijodohkan orang tua.

“Ini kerana PJJ itu sendiri boleh mendorong campur tangan pihak ketiga. Iblis pasti akan mengambil kesempatan. Mana mungkin dia membiarkan manusia, sedangkan ada jurang di tengah yang boleh diisi.

“Oleh itu, saya suka menasihatkan pasangan PJJ sekarang, jika boleh, janganlah lama-lama berjauhan. Usahakan untuk dekat dengan pasangan. Kalau terpaksa berhenti kerja, berhentilah. Kalau boleh merayu pertukaran, bertukarlah. Kalau lama sangat melalui fasa PJJ, kita bimbang hubungan yang baik akan rosak di tengah jalan,” katanya.

RUANG JENAYAH

Menurut Dr Robiah, tidak kira sama ada suami atau isteri, masing-masing perlu berbincang dan mengambil sikap toleransi dalam mengukuhkan hubungan perkahwinan.

“Mungkin ada yang kata mereka mampu bahagia dengan PJJ. Namun, tidak kira apa pun alasan diberi, PJJ bukanlah pilihan yang digalakkan dalam membina keluarga harmoni.

“Bahkan PJJ berupaya membuka ruang jenayah seks, curang dan menjerumuskan lelaki serta wanita dalam perlakuan sumbang. Mungkin mereka tidak terfikir untuk membina hubungan baru, tetapi ingatlah iblis tidak akan berhenti menghasut.

“Pokok pangkalnya, ia terpulang kepada iman dan pegangan seseorang. Andai tiada pilihan selain berjauhan, cubalah untuk mengadakan banyak masa untuk pasangan.

“Walaupun teknologi moden kini menawarkan banyak platform maya, aplikasi sembang dan panggilan video untuk mendekatkan mereka yang jauh, sentuhan tetap lebih berharga dalam hubungan suami isteri,” katanya.

Kata Dr Robiah, pasangan yang sudah terlalu lama berjauhan lazimnya mudah jemu dengan hubungan cinta di dalam talian. Justeru, masing-masing perlu tahu memainkan peranan untuk menghidupkan suasana.

BACA:  Jadilah Yang Menyebarkan Kebaikan, Bukan Menagih 1001 Kebaikan

“Suami mungkin kena tunjuk keprihatinan pada isteri, kerap bertanya khabar, beri sokongan dan nasihat jika diperlukan. Kata orang, biar pun jauh, namun hati dan jasad terbawa sama.

“Isteri juga kena tunjukkan minat pada suami. Berkongsi apa saja yang dirasakan wajar. Usah memantau pasangan secara berlebihan. Kita bimbang pasangan akan mudah rasa bosan, tidak dipercayai hingga mencetuskan perbalahan.

“Paling penting, sentiasa dekatkan diri dengan Allah SWT. Usah buka ruang pada iblis untuk menghasut. Bahagia atau tidak, bergantung kepada kukuhnya iman kita.

“Selain pasangan, ibu bapa juga boleh memainkan peranan. Sesekali, aturkan pertemuan untuk anak-anak menghabiskan masa bersama. Komunikasi baik antara menantu dan mentua juga penting dalam mengekalkan hubungan bahagia untuk pasangan yang melalui PJJ,” katanya.

JANGAN KEDEKUT

Memandangkan alam PJJ memerlukan persediaan mental dan fizikal, Dr Robiah turut menasihatkan pasangan supaya sentiasa mementingkan keperluan dan kehendak pasangan masing-masing.

“Usah kedekut mengeluarkan duit untuk menampung kos perjalanan bertemu pasangan. Tidak kira sejauh mana pun suami atau isteri, usahakan untuk dekat dengan mereka sekerap mungkin.

“Jika mampu memandu setiap minggu, jenguklah mereka dan habiskan masa bersama. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang berjauhan atas faktor kerjaya dan gaji. Sentuhan penting dalam perkahwinan. Jangan biarkan pasangan mencari ruang alternatif yang boleh mero sakkan hubungan dan perkahwinan,” katanya.

TIP PJJ

Beri sokongan – Emosi biasanya mudah tercalar dalam hubungan PJJ. Ada masanya suami mungkin memerlukan lebih perhatian dan sebaliknya. Berilah sokongan dan semangat antara satu sama lain demi masa depan keluarga anda sendiri.

Saling percaya – Ia antara kunci utama dalam perhubungan tidak kira dekat atau jauh. Sentiasa prihatin dan dekat dengan pasangan. Jika timbul rasa gusar, suarakan kepada pasangan dengan baik. Sentiasa berfikir secara positif demi kebaikan serta kebahagiaan berkekalan.

BACA:  Gusi Bayi Perlu Dijaga Walaupun Belum Tumbuh Gigi. Ini 8 Tips Penting!

Isi masa – Sunyi tanpa pasangan bila tiba cuti atau waktu senggang. Usahakan untuk melawat pasangan atau sibukkan diri dengan melakukan aktiviti yang berfaedah seperti menghadiri kuliah agama, aktiviti persatuan dan sebagainya.

Sentiasa berhubung – Bahagikan masa untuk berkomunikasi menerusi telefon, e-mel, menghantar sistem pesanan ringkas atau bersembang di laman media sosial. Ketahui serba sedikit jadual pasangan supaya dia tidak terganggu.

Babitkan anak-anak – Anak adalah pengikat kasih. Ajaklah mereka bersembang menerusi panggilan video. Ini dapat mengingatkan pasangan bahawa dia sudah mempunyai keluarga yang memerlukannya.

Rancang kejutan – Kekangan masa dan jarak mungkin mengehadkan kesempatan untuk bertemu. Tempah jambangan bunga atau kejutan ringkas untuk menceriakan pasangan. Dia mungkin rasa anda lebih dekat secara tiba-tiba.

Saling mendoakan – Jangan lupa mendoakan pasangan terutama selepas solat lima waktu. Doakan juga semoga anda dan pasangan beroleh kesempatan untuk menjalani kehidupan normal sebagaimana pasangan lain.

 

Sumber:  rentas.asia 

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel