Prof Dr John Gottman melalui institusi beliau Gottman Intitute Research ada mencipta sebuah teori tentang pergaduhan yang boleh mengakibatkan pasangan berpisah atau bercerai. Tidak kira sama ada status hubungan ketika sebelum atau selepas kahwin, keadaan ini hampir dilalui oleh kebanyakan mereka yang pernah berpisah.
Teori ini dinamakan sebagai “The Four Hoursemen” iaitu metafora yang diambil dari kitab bible. Ia sebuah metafora yang diambil tentang peperangan dalam Apocalypes yang melibatkan empat jenis ekor kuda.
Pun begitu bukan itu yang hendak diutarakan, ia sekadar pengenalan mengapa teori ini diberi nama demikian.
Baiklah kita pergi terus pada isinya:-
#1- Criticism (Kritikan)
Menurut Gottman, kritikan ada dua jenis iaitu mengadu tentang apa yang patut ditegur seperti sikap dan yang kedua kritikan bersifat peribadi seperti gaya Ad-Hominem yang mana lebih pada serangan peribadi bukannya menjurus pada tingkah laku atau sikap pasangan yang perlu ditegur. Contohnya :
Aduan : “Saya takut bila awak balik terlalu lewat tanpa memberitahu saya. Saya fikir kita sudah bincang hal ini sebelum ini lagi.”
Kritikan : “Awak tak pernah fikirkan apa yang awak buat beri kesan pada orang lain. Saya tak percaya yang awak lupa, awak cumalah pentingkan diri sahaja. Awak tak fikirkan saya pun.”
Namun bilamana kita berada dalam situasi saling mengkritik, jangan fikir bahawa hubungan kita bakal berakhir, Cuma kita perlu mahir kendalikan kritikan itu kembali pada asasnya seperti aduan yang tidak begitu menyakitkan hati.
Kita boleh kurangkan sakit hati itu, cuma terpulang pada kita sama ada untuk terus angkuh atau bertolak ansur.
#2- Contempt (Hinaan)
The Four Hoursemen jenis kedua ini pula ialah apabila setiap kali berlaku perseteruan kita mengambil sikap untuk mengherdik, sarkastik dan menggunakan laras bahasa yang mengejek beserta dengan bahasa tubuh seperti menggunakan jelingan mata.
Kesan dari penggunaan gaya ini memang berniat untuk melahirkan rasa tidak berharga dan penyesalan pada pasangan.
Apa yang membezakan kritikan dengan hinaan ialah kritikan lebih pada peribadi manakala hinaan lebih bertujuan untuk menjatuhkan motivasi seseorang dan kita pula mungkin tanpa sedar memaparkan sikap angkuh (superior). Contohnya :
“Awak kata letih? Letihlah sangat! Sedangkan saya seharian bersama dengan anak memasak basuh baju jaga rumah supaya semuanya terjaga. Awak pula baru pulang dari tempat kerja tahu nak baring atas sofa macam budak kecil dan bermain permainan bodoh dalam telefon. Saya tiada masa untuk diri saya sendiri sebab sibuk jaga anak. Tak bolehkah awak lebih bersimpati?”
Kajian oleh Greta Hysi dari University Of Tirana dari Albania Jabatan Psikologi dan Pendidikan ada menerbitkan sebuah jurnal tentang kesan pergaduhan menggunakan gaya hinaan dan cercaan sebegini.
Ia mampu menyebabkan seseorang itu jatuh sakit seperti demam dan lesu badan. Menurut John Gottman juga, pertelingkahan sebegini selalunya paling banyak menjadi punca kepada masalah perceraian.
#3- Defensiveness (Mempertahankan Diri)
Gaya pertelingkahan yang ketiga ini selalunya cara yang tipikal yang digunakan kebanyakan orang apabila berdepan dengan apa jua isu bersama pasangan sebagai mekanisma untuk berasa selamat.
Kaedah cara pertahanan diri seperti ini tidak berkesan kerana kita seolah-olah nak selamatkan diri seorang sahaja lalu kita abaikan keadaan yang belum selesai itu pada pasangan kita. Sebagai contoh:
Soalan: “Awak dah hubungi Nora dan Aiman untuk beritahu mereka yang kita tak akan datang malam ini seperti yang dijanjikan tadi pagi?”
Respons pertahanan: “Saya terlalu sibuk hari ini. Bukannya awak tak tahu betapa sibuknya jadual saya. Kenapa bukan awak yang beritahu sahaja?”
Pasangan ini bukan sahaja memberi respon pertahankan diri, tetapi dia juga mengalihkan kesalahan itu pada pasangan hingga membuatkan pasangan berasa bersalah.
Sebaliknya, jika kita amalkan gaya non-defensiveness (tidak mempertahankan diri) seperti mengambil sikap mengambil rasa tanggungjawab bersama, pengakuan salah serta memahami keadaan pasangan seperti :
“Oops, saya terlupa. Saya sepatutnya beritahu pada awak pagi tadi sebab saya baru tahu yang jadual saya sibuk. Ianya salah saya. Baiklah, saya hubungi mereka segera.”
Cara sebegini lebih mengharmonikan keadaan, jika kita praktikkan cara defensif ianya lebih memberatkan hukuman atau kesalahan pada sebelah pihak semata-mata. Yang penting beban kesalahan itu patut dipikul bersama.
#4- Stonewalling (Melarikan Diri Dari Masalah)
Dengan bahasa mudahnya The Four Hoursemen yang terakhir ini ialah cara memalingkan diri dari pasangan yang sedang mengkritik anda.
Anda tidak berhadapan dengan isu yang sedang dihadapi, dan memalingkan diri terus tanpa tahu bila lagi hendak berbincang semula. Ini memberi kesan pada psikologi pasangan yang agak berat sebab pasangan akan ternanti-nanti dimanakah penghujung masalah tersebut.
Keletihan emosi yang sentiasa membanjiri akal fikiran setiap kali melarikan diri sebegini akan mengakibatkan emosi pasangan terlalu letih lalu akhirnya putus asa untuk meneruskan hubungan sebab kekurangan tenaga emosi lagi.
Sekiranya anda merasa seperti anda tidak mampu berbuat apa-apa semasa konflik, hentikan perbincangan dan minta pasangan anda berehat:
“Baiklah, saya terlalu marah untuk terus bercakap tentang perkara ini. Bolehkah kita berehat dan kembali selepas ini? Ia lebih mudah untuk saya kendalikan emosi selepas saya kembali tenang. ”
Kemudian ambillah masa 20 minit untuk melakukan perkara yang boleh melegakan emosi anda seperti membaca buku atau majalah, berjalan-jalan, berlari, benar-benar melakukan apa saja yang membantu anda berhenti dari membanjirkan emosi dengan fikiran yang sesak, dan kemudian kembali kepada perbincangan tadi sebaik sahaja anda sudah bersedia.
Dalam setiap perhubungan, kita semua akan diuji dengan konflik komunikasi, perspektif yang salah, dan ekspetasi yang salah. Ingatlah kita pada firman Allah SWT ini:
“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri kamu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (berasa) benci kepada mereka (kerana tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak untuk kamu.” (Surah an-Nisa, ayat 19)
Marilah kita insafi tentang tujuan sebenar perkahwinan itu untuk apa. Bukan untuk pentingkan diri kerana perkahwinan diibaratkan seperti sebuah kapal yang kita kemudi untuk mengharungi ombak lautan dan ribut taufan. Jika kapten dan anak kapal tidak bekerjasama tentu kapal lebih mudah tenggelam dan tidak dapat mempertahankan kedudukan dengan selamat.
Sumber: tzkrh.com