Nota Editor: Artikel ini asalnya telah dikongsikan oleh Ustaz Abu Basyer di Blog Tanyalah Ustaz.
Soalan : Ustaz,saya nak bertanya berkaitan tuntutan hak penjagaan anak dan harta sepencarian setelah 5 tahun penceraian.tetapi sebelum ini bekas isteri pernah membuat hubungn sulit dengan lelaki lain dan meninggalkan rumah tanpa izin suami selama 1 seminggu.. Sedangkan ketika penceraian berlaku,pihak bekas suami masih laga dalam rawatan perubatan selepas pembedahan tumor.. Bolehkah bekas suami memfailkan nusyuz terhadap bekas isteri slepas 5 tahun penceraian?
Jawapan :
Apabila suami isteri telah bercerai maka hubungan mereka sudah terputus tidak ada ikatan lagi. Sepatutnya tuntutan harta sepencarian dilakukan dimahkamah syariah sebaik saja berlaku penceraian bukannya setelah 5 tahun bercerai. Apakah yang dimaksudkan harta sepencarian? Harta sepencarian adalah pengertian yang mudah adalah harta bersama. Ia dimiliki oleh pasangan suami-isteri semasa tempoh perkahwinan mereka walaupun harta itu atas nama isteri atau nama suami atau nama kedua-duanya.
Harta sepencarian selalunya merujuk kepada rumah kediaman dan sebarang harta yang bernilai tinggi.
Suami atau isteri mempunyai hak ke atas harta yang dimiliki semasa tempoh perkahwinan kerana masing-masing ada sumbangan kewangan atau bukan kewangan ke atas harta bersama atau harta sepencarian itu.
Sebagai contoh sebuah bungalow walaupun ia di atas nama suami tetapi isteri ada hak. Isteri mungkin memberi wang pendahuluan membeli rumah, membuat ubahsuai rumah, membaiki kerosakan rumah.
Sekiranya isteri tidak bekerja dan semua perbelanjaan rumah ditanggung oleh suami, isteri tetap ada hak ke atas harta bersama itu.
Hak isteri ke atas harta adalah berasas kepada sumbangan bukan kewangan. Ini termasuk sumbangan melayani suami iaitu makan-minum, mencuci pakaian, mengembirakan suami selepas penat bekerja, mengemas dan menjaga rumah semasa suami bekerja dan membesar dan mendidik anak di rumah.
Pemilikan harta sepencarian oleh isteri boleh diberi semasa pasangan suami-isteri sedang bahagia atau melalui proses mahkamah.
Semasa pasangan sedang bahagia, suami boleh memberi sebahagian daipada harta itu kepada isterinya melalui Deklarasi Harta Sepencarian.
Cara mudah memperolehi harta sepencarian ialah pasangan membuat Deklarasi atau Perjanjian Harta Sepencarian semasa pasangan masih bahagia. Pasangan dengan sukarela menyerahkan secara sukarela sebahagian harta kepada pasangan masing-masing.
Sebagai contoh, suami bersetuju menyerahkan hakmilik rumah itu sebanyak 50% kepada isterinya melalui Deklarasi Harta Sepencarian.
Sekiranya Deklarasi Harta Sepencarian tidak dibuat, maka pasangan ada pilihan membuat tuntutan harta sepencarian melalui proses mahkamah. Bagaimanapun, si penuntut (biasanya isteri) membuktikan wujudnya harta itu dan jumlah jumlah sumbangan (peratus)nya ke atas harta itu. Ini bagi membolehkan Mahkamah Syariah memutuskan hak harta sepencarian isteri tadi. Apabila seorang suami menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain maka hendaklah disertakan dengan bukti bukan mendengar daripada pihak ke tiga kerana membuat tuduhan dengan tuduhan nusyuz perlu ada bukti-bukti yang sahih baru mahkamah akan menjatuhkan hukuman dengan adil.
Suami tidak boleh menghukum isteri sebagai nusyuz dengan menghentikan pemberian nafkah kepada isteri atas andaian isteri telah nusyuz. Sebaliknya suami perlu mengemukakan permohonan di Mahkamah Syariah untuk mensabitkan isterinya nusyuz. Jika mahkamah puas hati bahawa seorang isteri itu telah nusyuz maka hak penjagaan anak akan diserahkan kepada suami dan isteri juga tidak berhak mendapat tuntutan mutaah . Jika suami isteri telah membuat perjanjian di atas harta sepencarian maka setelah bercerai maka masing-masing berhak menuntut harta sepencarian di antara mereka .
Namun begitu, Hukum Syarak menetapkan bahawa suami tidak ada hak ke atas harta mutlak isteri, contohnya harta isteri yang diperolehi melalui harta pusaka daripada keluarganya. Selain itu, harta-harta perseorangan yang dibeli sebelum perkahwinan dan harta-harta tersebut tidak diusahakan bersama sepanjang tempoh perkahwinan juga bukan harta sepencarian. Bekas suami juga perlu memastikan bahawa harta-harta itu adalah harta perolehan bersama dan bukan hadiah atau hibah yang dihadiahkan kepada bekas isteri. Oleh itu, bekas suami tidak boleh menuntut hadiah yang telah diberikannya kepada bekas isteri sebagai harta sepencarian.
Menurut satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan al-Hakim yang bermaksud:
“Tidak halal bagi seseorang menuntut balik sesuatu pemberian atau barang yang telah dihibahkannya kepada orang lain kecuali dia adalah ayah yang mana ayah boleh menuntut balik ke atas pemberian yang diberikan kepada anaknya.” Wallahu a’lam