≡ Menu

Orang Yang Mengganggu Jiran Tidak Akan Masuk Syurga

Orang Yang Mengganggu Jiran Tidak Akan Masuk Syurga

Dalam Islam, jiran adalah mereka yang tinggal dalam lingkungan 40 buah rumah daripada rumah anda. Bagi mereka yang tinggal di kampung, jiran adalah mereka yang tinggal berdekatan dalam suatu kawasan. Bagi mereka yang tinggal di bandar pula, contohnya di rumah flat atau bangunan yang tinggi, jiran adalah mereka yang berada di tingkat-tingkat lain atau di blok-blok berdekatan.

Meskipun hidup kita kadang-kadang hanya berfokus kepada kehidupan sendiri sahaja – keluar pagi, balik pula sudah malam. Hari bekerja, kadang-kadang kita hanya berselisih di dalam lif atau di tangga. Tiba hari minggu, masa dihabiskan di dalam rumah atau keluar pula melakukan aktiviti lain.

Walau bagaimanapun, keharmonian hidup berjiran mesti tetap di jaga meskipun interaksi dengan jiran tetangga tidak begitu rancak.

Masih ada cara lain yang boleh dilakukan untuk memastikan hak dan keperluan jiran dipenuhi.

Bagi yang tinggal di rumah flat atau pangsapuri, mungkin anda pernah mendengar cerita (atau mengalami sendiri) sikap jiran yang tidak ada ‘common sense’ seperti tidak menjaga kebersihan, membuat bising, membuang sampah dari tingkat atas bangunan sesuka hati, double-parked kenderaan, membiarkan kucing peliharaan berkeliaran dan berak pula merata-rata.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Atau mungkin anda sendiri pernah melakukan kesilapan seperti yang dinyatakan di atas. Ketahuilah, hal-hal ini boleh mengundang rasa sakit hati jiran, rasa terganggu dan tidak dihormati.

Dalam satu hadis sahih, Nabi SAW mengingatkan bahawa orang yang mengganggu jirannya sehingga membuatkan mereka berasa tidak aman dan tenteram, maka dia tidak akan masuk syurga.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ لَا يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ

BACA:  Apakah Dalil Al Quran Mengenai Aurat Wanita?

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga, orang yang membuat jirannya tidak merasa aman daripada gangguannya.” (Riwayat Muslim, no.73)

Gangguan ini merangkumi pelbagai bentuk sama ada melalui kata-kata, perbuatan, secara langsung atau tidak langsung. Malah, jika ada seorang yang alim dan gemar beribadah sekalipun, jika hak dan adab kepada jiran tetangganya tidak dijaga, ibadah itu semua tetap tidak akan membantu apa-apa.

Abu Hurairah RA berkata:

قَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ فُلَانَةَ يُذْكَرُ مِنْ كَثْرَةِ صَلَاتِهَا، وَصِيَامِهَا، وَصَدَقَتِهَا، غَيْرَ أَنَّهَا تُؤْذِي جِيرَانَهَا بِلِسَانِهَا، قَالَ: هِيَ فِي النَّارِ

Maksudnya: Telah berkata seorang lelaki kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya wanita ini terkenal dengan banyaknya solat, berpuasa dan bersedekah tetapi dia sentiasa menyakiti jirannya dengan lidahnya.” Lalu Nabi SAW bersabda: “Dia akan masuk ke dalam neraka.” (Riwayat Ahmad, no.9675 – Sanadnya adalah hasan berdasarkan penilaian daripada Syeikh Syu’aib al-Arna’outh)

Beringatlah dalam apa jua yang anda lakukan di kawasan rumah. Anda tidak hidup berseorang di kawasan itu. Siapa tahu, pada masa hadapan, anda memerlukan pertolongan jiran jika berlaku apa-apa kesusahan. Bermulalah dengan diri sendiri dalam menjaga adab dan keharmonian hidup berjiran. Jangan sampai mereka terganggu dengan sikap dan apa yang kita lakukan.

 

Sumber: tzkrh.com

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel