Mungkin anda pernah tertanya – “Dia ini hisap rokok, tapi jadi imam masjid.”
Atau – “Dia ini jarang bergaul dengan orang, tapi setiap kali solat, mesti dia jadi imam.”
Apabila berada dalam situasi ini, pasti kita akan berfikir, bolehkah jadi imam sedangkan dia seorang yang banyak dosa atau dalam erti kata lain, fasik.
Tetapi, wujudkah manusia yang sempurna dan bebas daripada dosa? Jikalau dalam dunia ini kita disibukkan dengan persoalan yang demikian, pastinya tiada orang yang akan berbuat kebaikan.
Pastinya tiada siapa yang akan menjadi imam kerana setiap dari manusia itu pasti punya kesalahan dan dosa sendiri. Sama ada yang nampak atau tidak.
Dalam hal ini, Syaikh Al-‘Allamah Muhammad bin Shalih Al-‘Utsaimin menyebut sebuah kaedah yang berbunyi – “Setiap orang yang sah solatnya (ketika sendiri), maka sah solatnya ketika menjadi imam.” (Syarh Al-Mumti, 4:217)
Ia membawa maksud, jika seseorang itu semasa solatnya secara bersendirian adalah sah, maka sah juga solatnya jika dilakukan secara berjemaah sama ada ketika menjadi imam atau makmum.
Dikisahkan juga bahawa para sahabat pernah bersolat dengan diimami oleh Al-Hajjaj bin Yusuf Ats-Tsaqafi yang merupakan seorang pelaku dosa besar. Secara terang-terangan mereka sudah mengetahui akan perihal tersebut, namun mereka tetap bersolat di belakangnya.
Tuntasnya, jelas di sini bahawa solat berjemaah itu boleh dilakukan dan diimami oleh sesiapa sahaja kerana dosa yang dilakukan tidak menjadi penghalang untuk seseorang melakukan kebaikan.
Melainkan jika perbuatan itu boleh merosakkan solat seperti tidak tahu membaca Al-Fatihah. Maka, seeloknya belajar terlebih dahulu mengenai cara yang betul untuk menunaikan solat.
Wallahu a’alam.
Rujukan: Rumaysho.com via tzkrh.com