SOALAN:
Adakah boleh seorang yang mandi hadas besar mengerjakan solat tanpa mengambil wuduk?
JAWAPAN:
Apabila seorang itu ada dua hadas yaitu hadas besar dan hadas kecil kemudian dia melakukan bersuci dari hadas besar nescaya hadas kecilnya itu turut terangkat sama.
Maka sah dia kerjakan solat tanpa diwajibkan lagi mengangkat hadas yang kecil yaitu berwuduk akan tetapi disunatkan ke atasnya mengambil wuduk juga.
Berkata Imam Taqiyuddin Ad-Dimasyqi:
إِذا اجْتمع على الشَّخْص حدث أَصْغَر وَهُوَ الْوضُوء وَحدث أكبر وَهُوَ الْغسْل فَفِيهِ خلاف منتشر الصَّحِيح الْمُفْتى بِهِ يَكْفِيهِ غسل جَمِيع بدنه بنية الْغسْل وَلَا يجب عَلَيْهِ الْجمع بَين الْوضُوء وَالْغسْل وَلَا تَرْتِيب فِي ذَلِك وَالله أعلم
Artinya : “Apabila berhimpun atas seseorang itu hadas kecil yaitu wuduk dan hadas besar yaitu mandi maka padanya berlaku khilaf. Pendapat yang sahih yang difatwakan dengannya memadai baginya oleh mandi sekelian badannya dengan niat mandi dan tidak wajib atasnya menghimpunkan antara wuduk dan mandi dan tiada perlu tertib pada yang demikian itu.” (Kitab Kifayatul Akhyar)
Dan berkata Imam Suyuthi:
ﺇﺫﺍ ﺍﺟﺘﻤﻊ ﺃﻣﺮﺍﻥ ﻣﻦ ﺟﻨﺲ ﻭﺍﺣﺪ ، ﻭﻟﻢ ﻳﺨﺘﻠﻒ ﻣﻘﺼﻮﺩﻫﻤﺎ ، ﺩﺧﻞ ﺃﺣﺪﻫﻤﺎ ﻓﻲ ﺍﻵﺧﺮ ﻏﺎﻟﺒﺎ
فَمِنْ فُرُوعِ ذَلِكَ إذَا اجْتَمَعَ حَدَثٌ وَجَنَابَةٌ, كَفَى الْغُسْلُ عَلَى الْمَذْهَبِ, كَمَا لَوْ اجْتَمَعَ جَنَابَةٌ وَحَيْضٌ
Artinya : “Apabila berhimpun dua perkara dari jenis yang sama dan tiada bersalahan oleh tujuan keduanya nescaya masuklah salah satunya pada yang satu lagi secara ghalib. Maka setengah dari furu’ yang demikian itu apabila berhimpun hadas kecil dan janabah nescaya memadai oleh mandi atas pendapat mazhab sebagaimana berhimpun oleh janabah dan haidh.” (Kitab Al-Asybah Wa Nazha_ir)
Kesimpulannya siapa mandi hadas maka tidak wajib lagi dia berwuduk untuk solat atau seumpamanya.
Akan tetapi jika dia mengambil wuduk sahaja tanpa mandi hadas nescaya dia masih berhadas besar dan tidak boleh mengerjakan solat.
Dan yang afdhal ialah dia melakukan kedua-duanya yaitu melakukan wuduk dan mandi kerana mengikut perbuatan Rasulullah saw yang mengambil wuduk dahulu kemudian mandi hadas.
wallahua’lam
ustaz azhar idrus