SOALAN:
Adakah disunatkan membaca ayat qursi ketika hendak tidur dan apakah kelebihannya?
JAWAPAN:
Diantara perkara yang sunat dibaca ketika hendak tidur ialah ayat Qursi.
Dan kelebihanyya ialah sepanjang dia tidur itu dia berada dalam penjagaan Allah dan syaitan tidak dapat datang kepadanya.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya Nabi saw telah berkata bagiku:
إذا أويتَ إلى فراشِكَ فاقرأ آيةَ الكرسي ، فإنه لن يزالَ معكَ من اللّه تعالى حافظ ، ولا يقربَك شيطانٌ حتى تُصْبِحَ
artinya : “Apabila kamu meletakkan belakangmu pada tempat tidurmu maka bacalah ayat Qursi maka sungguhnya sentiasalah atasmu itu penjagaan Allah Taala dan syaitan tidak akan menghampirimu sampai waktu subuh.” (Hadith Imam Bukhari)
Dan dikatakan bahawa seorang yang tidur pada malam hari tanpa membaca ayat Qursi adalah orang yang tidak cerdik.
Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib r.a. kata beliau:
ما أرَى أحَدًا يَعقِلُ دخَلَ الإسلامَ يَنامُ حتى يَقرأَ آيةَ الكُرسيِّ.
Artinya : “Tidak aku lihat seorang pun yang cerdik di dalam Islam tidur sebelum membaca ayat Qursi.” (Riwayat Al-Hafiz Imam Ibnu Hajar pada Al-Futuhat Rabbaniah)
Dan begitu juga selain ayat Qursi disunatkan sama membaca surah Al-Ikhlas dan Al-Falaq dan An-Nas dan akhir surah Al-Baqarah sebelum tidur.
Berkata Imam Nawawi:
يُستحبّ أن يقرأ عند النوم آية الكرسي، وقل هو الله أحد، والمعوذتين ،وآخر سورة البقرة، فهذا ممّا يهتمّ له، ويتأكّد الإعتناء به، فقد ثبت فيه أحاديث صحيحة
Artinya : “Disunatkan membaca ketika hendak tidur akan ayat Qursi dan Al-Ikhlas dan Al-Falaq dan An-Nas dan akhir surah Al-Baqarah. Maka ini adalah perkara yang sangat penting dan diambil berat dengannya. Maka sungguhnya telah datang beberapa hadith yang sahih pada menyebutnya.” (Kitab At-Tibyan fi Adabi Hamalatil Quran)
wallahua’lam
ustaz azhar idrus