Pasti anda sudah sebati dengan surah tiga Qul, bukan? Ia juga dikenali dengan empat Qul yang merangkumi surah Al-Kafirun, surah Al-Ikhlas, surah Al-Falaq dan juga An-Nas.
Ia digelar sebagai empat Qul kerana permulaan surah ini dimulai dengan kalimah Qul. Dalam keempat-empat surah ini, ada 2 surah yang diturunkan secara serentak, iaitu surah Al-Falaq dan juga An-Nas yang merupakan dua surah terakhir dalam Al-Quran.
Menariknya mengenai surah ini adalah ia diturunkan berikutan peristiwa Rasulullah SAW yang telah disihir oleh seorang lelaki Yahudi, iaitu Labid bin Al-A’sham.
Penangan sihir itu cukup hebat sehingga membuatkan Baginda SAW merasa was-was terutamanya dalam perbuatan ibadah. Ada ketika, Baginda membayangkan melakukan sesuatu, namun rupanya ia belum lagi dilakukan.
Perkara itu sehingga merisaukan para sahabat dan isteri-isterinya. Namun, Baginda SAW tetap kuat melawannya dengan meminta petunjuk dan pertolongan dari Allah sehinggalah Allah mendatangkan Jibril AS untuk meruqyah (merawat) Baginda SAW.
Dari Abu Said Al-Khudri RA berkata – “Jibril AS pernah mendatangi Nabi SAW dan berkata: “Wahai Muhammad, adakah engkau sakit?” Kemudian, Nabi SAW menjawab: “Benar.” Lalu, Jibril berkata:
بِسْمِ اللهِ أَرْقِيْكَ، مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيْكَ، مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ حَاسِدٍ اللهُ يَشْفِيْكَ، بِسْمِ اللهِ أَرْقِيْكَ
Maksud: “Dengan nama Allah, aku meruqyahmu dari segala sesuatu yang mengganggumu dan dari keburukan penyakit ‘ain yang timbul dari pandangan mata orang yang dengki. Semoga Allah menyembuhkanmu. Dengan nama Allah, aku meruqyahmu.” (HR Muslim, no. 2186)
Pelajaran Dari Surah Ini
Melalui surah ini, kita mengetahui bahawa Rasulullah SAW pernah disihir akibat rasa tidak puas hati kaum Yahudi terhadapnya.
Imam Jalaluddin al-Mahali menyebut bahawa sihir yang dihantar kepada Baginda adalah diikat melalui tali busur dengan 11 ikatan. Lalu, Allah memberi petunjuk mengenai sihir tersebut dengan diturunkan ayat ini sebagai bacaan perlindungan.
Diriwayatkan juga ketika Nabi SAW membaca dua surah ini, iaitu surah Al-Falaq dan An-Nas, maka ikatan dari busur tersebut terlepas dan badan Baginda terasa ringan dari pengaruh sihir tersebut sehingga terlepaslah semua ikatan yang ada. (Tafsir Al-Jalalain, hlm. 615)
Kedua-dua surah ini juga diajarkan kepada kita untuk dibaca sebagai langkah melindungi diri daripada sihir serta penyakit was-was. Sebab itu, setiap kali sebelum menunaikan solat, kita boleh mengamalkan surah ini agar terhindar dari rasa tidak khusyuk.
Bahkan, ia juga digunakan dalam rawatan rukyah bagi membantu membaskan diri dari pengaruh sihir.
Ibnu Qayyim menyebut – “Mengenai sirah Baginda SAW yang terkena sihir, ia bukanlah aib kepada kemaksuman Baginda. Hal ini kerana, sihir merupakan sebuah penyakit, iaitu penyakit ‘ain dan ia boleh tertimpa kepada sesiapa bahkan juga Rasulullah. Nabi SAW menderita sakit ini sebagaimana Baginda menderita penyakit lain.” (Zaad Al-Ma’ad, 4:113-114)
Kesimpulan
Hasad dengki, sihir dan penyakit ‘ain adalah perkara yang berlegar dalam masyarakat kita, bahkan dari zaman para nabi lagi diriwayatkan telah berlaku perkara ini.
Iblis merupakan makhluk pertama yang dirudung permasalahan hasad dengki sehingga menyebabkan beliau sombong.
Kita lihat kesannya sehingga boleh memberi impak buruk kepada orang lain. Sebagai manusia yang beriman, kita tidak boleh mengelak dari perbuatan sihir itu, namun kita boleh mencegah dengan sentiasa mengamalkan ayat pelindung agar bebas dari penyakit ‘ain ini.
Salah satu caranya adalah dengan mengamalkan bacaan empat Qul ini.
Wallahu a’alam.
Sumber: tzkrh.com