SOALAN :
Adakah benar Nabi kita Muhammad kalau baginda tidur tidak batal wuduk dan apakah artinya hati Nabi tidak pernah tidur walaupun masa Nabi tidur?
JAWAPAN :
Memang benar adalah Rasulullah saw tidak batal wuduknya dengan sebab tidur walaupun tidur berbaring.
Ini adalah kerana ketika Rasulullah saw tidur hanyalah mata baginda sahaja yang tidur sedangkan hati baginda sentiasa sedar.
Telah diriwayatkan daripada Aisyah r.a. katanya :
يَا رَسُولَ اللهِ أَتَنَامُ قَبْلَ أَنْ تُوتِرَ، فَقَالَ: يَا عَائِشَةُ إِنَّ عَيْنَيَّ تَنَامَانِ، وَلَا يَنَامُ قَلْبِي
Artinya : “Wahai Rasulullah! Adakah engkau tidur sebelum engkau solat witir? Jawab Rasulullah : Wahai Aisyah! Sungguhnya kedua mataku tidur dan tidak tidur oleh hatiku.” (Hadith riwayat Muslim)
Dan diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. katanya :
والنبي صلى الله عليه وسلم نائمة عيناه ولا ينام قلبه، وكذلك الأنبياء تنام أعينهم ولا تنام قلوبهم
Artinya : “Dan Nabi saw itu tidur kedua matanya dan tetapi tiada tidur hatinya. Dan demikian juga sekelian para Nabi tidur mata mereka dan tiada tidur hati-hati mereka.” (Hadith riwayat Bukhari)
Dan diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. beliau bercerita :
ثُمَّ جِئْتُ فَقُمْتُ ، عَنْ يَسَارِهِ فَحَوَّلَنِي فَجَعَلَنِي عَنْ يَمِينِهِ ، ثُمَّ صَلَّى مَا شَاءَ اللَّهُ ، ثُمَّ اضْطَجَعَ فَنَامَ حَتَّى نَفَخَ ، ثُمَّ أَتَاهُ المُنَادِي فَآذَنَهُ بِالصَّلاَةِ ، فَقَامَ مَعَهُ إِلَى الصَّلاَةِ ، فَصَلَّى وَلَمْ يَتَوَضَّأْ
Artinya : “Kemudian datang aku berdiri (untuk solat) disebelah kiri Nabi saw lalu Nabi saw mengalihkan aku ke sebelah kanannya. Kemudian Nabi saw solat (sunat) semahunya dengan kehendak Allah. Kemudian daripada itu Nabi saw berbaring lalu baginda tidur sehingga lena kemudian datang seorang memberitahu baginda telah masuk waktu solat. Maka bangun ia bersama Nabi saw mengerjakan solat. Maka Nabi saw telah solat tanpa mengambil wuduk.” (Hadith riwayat Bukhari)
Daripada dua hadith ini terjawab sudah bahawasanya Nabi saw apabila tidur nescaya tidak batal wuduknya seperti kita semua kerana sungguhnya Nabi saw sebagaimana para Anbiya’ hanya tidur mata mereka itu tetapi hati mereka itu tidak pernah tidur yakni tidak hilang ingatan mereka sekali pun mata mereka tidur.
Berkata Imam Nawawi :
هذا من خصائص الأنبياء صلوات الله عليهم وسلامه
Artinya : “Ini adalah setengah daripada keistimewaan para Anbiya’ solawatullahi ‘alaihim wasalamuhu.” (Kitab Syarah Sahih Muslim)
Dan berkata Imam Baihaqi :
ولذا كانت رؤياه وحيا ولا تنقض طهارته بالنوم ، وكذا الأنبياء لقوله صلى الله عليه وسلم : إنا معشر الأنبياء تنام أعيننا ولا تنام قلوبنا
Artinya : “Dan kerana yang demikian itulah disampaikannya wahyu dan tidak batal wuduknya dengan sebab tidur. Dan seperti itu juga sekelian Anbiya’ kerana sabdanya saw : Aku serta sekelian para Nabi hanya tidur kedua mata kami sedangkan hati-hati kami tidak tidur.” (Kitab’Aunul Ma’bud)
Dan berkata Al-‘Ubbad :
وهذا من خصائصه التي يتميز بها صلوات الله وسلامه وبركاته عليه عن الأمة
Artinya : “Dan inilah setengah dari segala keistimewaan Rasulullah saw yang terbeza dengannya selawat dan salam Allah atasnya daripada sekelian umat.” (Kitab Syarah Sunan Abi Daud)
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِّ الأُمِّيّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلم
wallahua’lam
Sumber: Ustaz Azhar Idrus