SOALAN :
Kalau darah haidh saya sudah berhenti pada hari ketujuh tetapi belum lagi mandi hadas adakah harus bersama dengan suami?
JAWAPAN :
Bersetubuh diharamkan ke atas suami isteri ketika isteri sedang haidh samada pada awal darah atau pada penghujung darah.
Begitu juga haram persetubuhan setelah darah berhenti tetapi belum lagi melakukan mandi hadas.
Yang menjadikan tidak lagi haram persetubuhan suami isteri ialah dengan berhenti darah haidh dan mandi hadas.
Firman Allah Taala :
فَٱعْتَزِلُواْ ٱلنِّسَآءَ فِى ٱلْمَحِيضِ ۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَ
Artinya : “Maka jauhilah isteri-isteri kamu ketika sedang haidh dan jangan kamu sekelian jimak akan mereka itu sampailah mereka mandi hadas.” (Al-Baqarah : 222)
Telah berkata Imam Ibnu Kathir :
وقد اتفق العلماء على أن المرأة إذا انقطع حيضها لا تحل حتى تغتسل بالماء أو تتيمم
Artinya : “Dan sungguhnya telah ittifak ulama atas bahawa isteri itu apabila telah berhenti darah haidhnya tidaklah halal ia sampailah mandi ia dengan air atau bertaymmum.” (Tafsir Ibnu Kathir)
Dan berkata Imam Al-Bahgawi :
وأكثر أهل العلم على التحريم ما لم تغتسل أو تتيمم عند عدم الماء لأن الله تعالى علق جواز وطئها بشرطين : بانقطاع الدم والغسل فقال ( حتى يطهرن ) يعني من الحيض ( فإذا تطهرن ) يعني اغتسلن ) ( فأتوهن )
Artinya : “Dan kebanyakkan ulamak berjalan atas diharamkan selama belum lagi mandi atau tayammum ketika ketiadaan air dari kerana sungguhnya Allah Taala gantungkan keharusan jimaknya itu dengan dua syarat yaitu berhenti darah dan mandi. Firman Allah ‘sampai suci mereka itu’ artinya suci dari darah haidh. ‘Maka apabila telah bersuci mereka itu’ artinya telah mandi hadas mereka itu maka bersamalah mereka.” (Tafsir Al-Baghawi)
Kesimpulan
Isteri yang haidh atau nifas adalah haram bersama dengan suaminya sehinggalah adanya dua perkara yaitu berhenti darah dan mandi hadas.
wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus