SOALAN :
Adakah sah solat seorang wanita yang memakai pakaian yang ketat seperti seluar yang mana akan kelihatan bentuk paha dan kakinya sekalipun tidak kelihatan warna kulitnya?
JAWAPAN :
Aurat wanita di luar solat ialah seluruh badannya melainkan muka dan dua pergelangan tangan.
Haram hukumnya jika dia memakai pakaian yang ketat jika berada di luar rumah kerana mendatangkan fitnah dengan dilihat olih lelaki yang ajnabi.
Ada pun jika ia berada di tempat yang tidak ada lelaki ajnabi yang melihat seperti sedang solat di ruang solat wanita yang tertutup dari pandangan lelaki ajnabi maka hukumnya tidak haram dan solatnya adalah sah kerana maksud menutup aurat dalam solat ialah menjaga adab dengan Allah.
Menurut pandangan setengah fuqahak hukum wanita berpakaian ketat ketika solat pada tempat yang tidak dilihat akan dia olih lelaki adalah makruh tidak haram.
Berkata Syeikh Athiyah Saqr :
ستر العورة فى الصلاة لا يقصد منه بالذات منع الفتنة، فقد يصلى الإنسان وحده دون رؤية أحد له، بل القصد منه هو الأدب مع الله سبحانه، وتنفيذ أمره بقوله تعالى {يا بنى آدم خذوا زينتكم عند كل مسجد} ، الأعراف: 31،وبالمأثور عن النبى صلى الله عليه وسلم فى ذلك.
ومن هنا قال جمهور العلماء: لا مانع من ستر العورة فى الصلاة بما يحدد شكلها بالملابس اللاصقة ما دامت العورة لا تراها العين. وقال مالك: تعاد الصلاة فى الوقت بثوب غير محدد
Artinya : “Bermula menutup aurat dalam solat bukanlah dimaksudkan daripadanya menolak fitnah kerana terkadang seorang itu solat seorang diri tiada seorang melihat kepadanya. Bahkan yang dimaksudkan menutup aurat dalam solat itu ialah beradab dengan Allah Taala. Dan menurut perintah Allah dalam firman-Nya :
يا بنى آدم خذوا زينتكم عند كل مسجد
artinya : “Wahai manusia pakailah pakaian kamu yang menutup aurat setiap mengerjakan solat.” )Al-A’raf : 31)
Dan juga kerana mengambil dari yang datang daripada Nabi saw pada yang demikian itu.
Daripada sinilah berkata jumhur ulamak : Tiada halangan di dalam solat memakai pakaian yang menampakkan bentuk badan dengan baju yang ketat selama mana auratnya tidak dilihat olih orang lain.
Berkata Imam Malik : Diulangi solat di dalam waktu dengan pakaian yang tidak ketat.” (Lajnah Fatwa Negeri Mesir)
wallahua’lam
Sumber: Ustaz Azhar Idrus ( Original )