Antara adab apabila dibacakan ayat Al-Quran adalah mendengarnya dengan teliti dan cuba memahami makna di sebaliknya. Bahkan sekalipun kita tidak mampu memahami ia secara sepenuhnya, mendengar bacaan Al-Quran mampu menghadirkan ketenangan di dalam hati kerana ia dapat mengingatkan kita kepada Allah.
Firman Allah SWT:
وَإِذَا قُرِىءَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُواْ لَهُ وَأَنصِتُواْ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-A’raf 7:204)
Namun bagaimana pula jika seseorang itu tidak mendengar bacaan Al-Quran contohnya yang dipasang ketika berniaga mungkin kerana sibuk berjual beli. Apa pula hukumnya?
Dalam memahami anjuran mendengar bacaan ayat Al-Quran, ia boleh diperhalusi lagi dan difahami dalam beberapa keadaan.
Pertama, mendengar bacaan Al-Quran dalam solat.
Ibnu Kathir berpendapat bahawa anjuran mendengar bacaan Al-Quran di atas adalah mendengar bacaan ayat-ayat Al-Quran (selain Al-Fatihah) dalam solat fardu yang dikuatkan bacaannya oleh imam.
Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Musa Al-‘Asy’ari ra, bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya dijadikan imam itu untuk diikuti, jika dia bertakbir maka bertakbirlah, dan jika dia membaca (bacaan Al-Quran) maka diamlah.” (Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 3/484)
Kedua, mendengar bacaan Al-Quran secara terus (daripada orang yang membaca) di luar solat.
Jumhur ulama menghukumkan bahawa sunat mendiamkan diri ketika mendengar Al-Quran dibacakan di luar solat contohnya mendengar orang mengaji di dalam masjid, mendengar ibu bapa mengaji di rumah dan lain-lain.
Namun jika kita sedang berzikir secara khusus, kemudian rakan di sebelah pula sedang mengaji, maka tidak wajib juga untuk diam dan senyap ketika itu.
Ketiga, bacaan Al-Quran yang dirakam dan bukan terus daripada pembaca.
Mendengar bacaan Al-Quran daripada rakaman suara, atau radio juga akan mendapat pahala namun tidak sama hukumnya dengan bacaan Al-Quran yang didengar secara terus daripada pembaca seperti yang diberikan contoh dalam point kedua di atas. Sama juga dengan membaca Al-Quran daripada aplikasi yang terdapat dalam telefon pintar berbanding mushaf sebenar yang boleh dipegang dan dibelek, hukumnya pasti berbeza.
Justeru, berbalik kepada persoalan pada permulaan artikel di atas, tidak mengapa untuk tidak mendengar bacaan Al-Quran yang dirakam sekiranya sibuk dengan kerja atau urusan seharian yang lain. Perbuatan itu tidaklah menggambarkan seseorang itu tidak menghormati bacaan ayat Al-Quran. Mereka boleh kembali mendengarnya selepas selesai pekerjaan yang dilakukan.
Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan