≡ Menu

Hukum Cabut Rumput Atas Kubur

Hukum Cabut Rumput Atas Kubur

SOALAN :

Apakah hukumnya mencabut rumput di atas kubur?

JAWAPAN :

Sebelum masuk kepada perbahasan hendaklah diketahui bahawa maksud rumput di atas kubur yang dibahaskan oleh ulamak ialah segala yang tumbuh di atas tempat yang di tanam mayat di bawahnya yang dinamakan sebagai kubur.

Ada pun kawasan yang tidak ada ditanam dibawahnya mayat seperti jalan yang ada dikeliling kubur dan tanah lapang yang ada di dalam sempadan tanah perkuburan itu bukan termasuk kubur yang dibahaskan dalam masalah ini.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Hukum mencabut rumput dan pokok yang tumbuh di atas kubur ini berlaku khilaf dikalangan ulamak mazhab padanya.

PENDAPAT ULAMAK MAZHAB SYAFIE

Haram Cabut Tumbuhan Di Atas Kubur.

Tersebut pada kitab Fathul Mu’in :

ويحرم أخذ شيء منهما ما لم ييبسا لما في أخذ الأولى من تفويت حظ الميت المأثور عنه صلى الله عليه وسلم

Artinya : “Dan haram mengambil (cabut) suatu dari keduanya (yaitu pelepah kurma atau pokok yang ditanam diatas kubur) selama ia belum kering (mati) kerana mengambil (umpama pelepah kurma yang ditanam di atas kubur) itu menghilangkan hak mayat yang datang kisahnya dari hadith Nabi saw.”

Yang dimaksudkan haram di sini ialah jika yang mencabut rumput yang ada di atas kubur itu ialah bukan pemiliknya (waris atau penjaganya). Ada pun pemiliknya maka tidak haram mencabutnya.

HARUS PEMILIKNYA MENCABUT TUMBUHAN ATAS KUBUR

Tersebut pada kitab Hasyiah Al-Qalyubi :

وَلَا يَجُوزُ لِغَيْرِ مَالِكِهِ أَخْذُهُ مَا دَامَ رَطْبًا لِتَعَلُّقِ حَقِّ الْمَيِّتِ بِهِ، وَإِذَا جَفَّ جَازَ لِكُلِّ أَحَدٍ أَخْذُهُ

Artinya : “Dan tidak harus mencabut tumbuhan di atas kubur oleh selain pemiliknya selama tumbuhan itu masih hidup kerana bergantung hak mayat dengannya. Dan apabila tumbuhan itu telah mati nescaya harus bagi sesiapa sahaja mencabutnya.”

BACA:  Solat Wanita Yang Tidak Bertudung Keluar Rumah

Maka difahami dari perkataan Syeikh Qalyubi ini bahawa kalau pemilik kubur yang mencabutnya maka tidaklah haram.

Dan tersebut pada kitab An-Nihayah bagi Syeikh Ramli :

ويمتنع على غير مالكه أخذه من على القبر قبل يبسه

Artinya : “Dan tertegah atas selain pemiliknya mencabut tumbuhan di atas kubur sebelum tumbuhan itu mati.”

Dan tersebut pada kitab Hasyiah Syarwani ala At-Tuhfah :

وَ (قَوْلُهُ وَيَحْرُمُ أَخْذُ ذَلِكَ) أَيْ عَلَى غَيْرِ مَالِكِهِ

Artinya : “Dan maksud perkataan Syeikh Ibnu Hajar haram mencabut tumbuhan atas kubur itu ialah atas yang bukan pemiliknya.”

Dan tersebut pada kitab Al-Iqna’ bagi Syeikh Khatib As-Syarbini :

وَلَا يَجُوزُ لِلْغَيْرِ أَخْذُهُ مِنْ عَلَى الْقَبْرِ قَبْلَ يُبْسِه

Artinya : “Dan tidak harus bagi selain pemilik kubur mencabut tumbuhan atas kubur itu jika ia belum kering (mati).”

PEMILIK DIHARAMKAN MENCABUT TUMBUHAN ATAS KUBUR

Dan maksud pemilik atau waris empunya kubur boleh mencabut tumbuhan atau rumput di atas kubur itu ialah selama masih ada tinggal sebahagiannya.

Ada pun mencabut semuanya hingga tidak ada satu pun yang tumbuh di atas kubur itu hukumnya tetap haram.

Berkata Syeikh Al-Bujairimi :

وَحَاصِلُهُ أَنَّهُ إنْ كَانَ الشَّيْءُ الْأَخْضَرُ قَلِيلًا كَخُوصَةٍ أَوْ خُوصَتَيْنِ مَثَلًا لَا يَجُوزُ لَهُ أَخْذُهُ وَهُوَ أَخْضَرُ لِأَنَّهُ صَارَ حَقًّا لِلْمَيِّتِ فَحُرِّمَ أَخْذُهُ، أَمَّا إذَا كَانَ كَثِيرًا فَإِنَّهُ يَجُوزُ الْأَخْذُ مِنْهُ

Artinya : “Dan kesimpulannya jika adalah sedikit yang tumbuh di atas kubur itu seperti beberapa helai sahaja nescaya tidak harus bagi pemiliknya mencabutnya ketika masih hidup kerana ia menjadi hak mayat maka haram mengambilnya. Ada pun jika banyak yang tumbuh hidup maka sungguhnya harus bagi pemiliknya mengambil sebahagian daripadanya.” (Hasyiah Bujairimi)

BACA:  Tidak Sempat Menggantikan Puasa Kerana Mengandung, Menyusukan Anak Atau Sentiasa Sakit?

Maksudnya jika banyak tumbuh rumput atau pokok di atas kubur itu maka pemiliknya hanya boleh mencabut sebahagian sahaja bukannya kesemuanya. Dan jika hanya sedikit yang tumbuh maka tidak boleh mengambilnya kerana akan hilang kesemua yang ada.

MAZHAB HANAFI MEMAKRUHKAN CABUT RUMPUT ATAS KUBUR

Berkata Syeikh Al-Khadimi Al-Hanafi :

: ومنها قلع الشوك والحشيش الرطبين على القبر، فإنه مكروه، فإن النباتات ما دامت رطبة تسبح الله، فحينئذ ينتفع الميت ويستأنس بتسبيحها

Artinya : “Dan setengah dari yang dilarang itu ialah mencabut pokok dan rumput yang masih hidup keduanya yang tumbuh di atas kubur maka sungguhnya hukumnya adalah makruh. Dari kerana bahawsanya segala yang tumbuh itu selama ia hidup ia bertasbih akan Allah maka pada ketika itu akan memberi guna kepada mayat dan menumpang rahmat dari tasbihnya itu.” (Kitab Bariqah Mahmudiyyah)

KESIMPULAN

Haram atas bukan pemilik atau waris penghuni kubur mencabut atau mengambil tumbuhan yang hidup di atas kubur orang lain daripada rumput atau pokok-pokok.

Harus ke atas pemiliknya mengambil atau mencabut rumput dan pokok yang tumbuh di atas kubur dengan syarat ditinggalkan hidup sebahagiannya. Jika dicabut semuanya sekali maka hukumnya adalah haram.

Harus memotong atau membuang pokok-pokok dan rumput yang bukan di atas kubur yang tumbuh di sekeling kubur kerana memudahkan orang lalu dan ziarah atau supaya tidak tinggal haiwan yang berbisa padanya.

wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Gambar: Harian Metro

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel