≡ Menu

Doa Lebih Mudah Terkabul Pada 4 Waktu Ini

Pasti anda pernah mendengar kata-kata yang menyebut bahawa – ‘Doa ialah senjata orang mukmin.’

Mengapa kata-kata ini sangat popular di kalangan kita sehinggakan sangat dianjurkan untuk berdoa dan meminta kepadaNya tanpa segan silu kerana ia merupakan senjata utama kita untuk menjalani kehidupan ini.

Jika kita melihat senjata seperti anak panah, pistol atau senapang – apabila diajukan kepada target atau sasarannya, maka secara langsung ia akan mengeluarkan pelurunya. Terkena pada sasaran atau tidak, itu merupakan persoalan yang kedua.

Namun, yang paling utama untuk dilihat di sini ialah kegunaan senjata tersebut sebagai sebuah alat untuk menembak atau menyasarkan target yang dimahukan.

Cuba anda letakkan ia di dalam realiti kehidupan anda. Doa anda itu merupakan peluru sebagai senjata yang menyasarkan apa yang dimahukan.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Keluarkan sahaja seberapa banyak peluru yang ada untuk mendapatkan apa yang anda mahukan kerana ia juga dikira sebagai salah satu usaha dalam perjuangan anda.

Hidup ini memerlukan usaha, bukan? Tanpa usaha yang jitu, maka Allah akan memberi balasan sesuai dengan kemampuan anda.

Maka, berdoalah untuk menunjukkan usaha anda mendapatkan sesuatu. Jangan malu untuk meminta dan merintih, kerana Tuhan Maha Mengetahui setiap apa yang ada di hati hambaNya.

Kalau kita malu untuk merintih kepadaNya, kepada siapa lagi kita mahu meluahkan masalah dan meletakkan pengharapan?

Bayangkan, anda mempunyai ibu bapa, namun tidak berani untuk meluahkan masalah yang dihadapi disebabkan segan atau malu dengan mereka. Lantas, dengan cara yang bagaimana mereka akan dapat memahami dan mendalami isi hati anak mereka?

Walaupun mereka mempunyai naluri sebagai orang tua kita, namun dalam masa yang sama, mereka juga ingin mendengar dari mulut anak mereka sendiri mengenai apa permasalahan dan aktiviti yang terjadi dalam kehidupan anak-anak mereka.

BACA:  5 Doa Ini Akan Membuat Anda Dikejar-Kejar Rezeki Berkah dan Melimpah

Begitulah perumpamaannya. Kita mengetahui, Allah itu sifatnya Maha Mengetahui setiap sesuatu. Tiada apa yang boleh disembunyikan daripadaNya walau di lubuk hati yang paling dalam.

Namun, dengan doa itu akan membuatkan kita makin dekat dan rapat denganNya. Doa itu bukti pengabdian manusia kepadaNya. Maka, berdoalah dan luahkanlah kepadaNya.

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Mafhum: Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.
(Surah Al-A’raf, 7:55)

Walau bagaimanapun, timbul juga persoalan mengenai doa yang tidak dikabulkan. Ada yang merungut dan bertanyakan mengapa doa tidak makbul atau lambat makbul.

Adakah disebabkan oleh hijab dosa atau doa yang diutarakan tidak menusuk kalbu kerana keikhlasannya belum sampai?

Mungkin anda pernah dihujani dengan pelbagai persoalan seperti ini atau mungkin anda sendiri pernah mengajukan soalan-soalan ini kepada diri anda, bukan?

Mungkin kita pernah mendengar bahawa, terdapat tiga waktu terkabulnya doa, sama ada Allah akan mengabulkan secara terus atau Allah menyimpannya untuk dikabulkan pada waktu yang sesuai dan tepat.

ما مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلاَ قَطِيعَةُ رَحِمٍ إِلاَّ أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلاَثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِى الآخِرَةِ وَإِمَّا أَنُْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا

Maksud: “Tidaklah seorang Muslim memanjatkan doa kepada Allah selama tidak melakukan dosa dan memutuskan silaturahim (antara kerabat) melainkan Allah akan memberi kepadanya tiga keadaan; Allah akan segera mengabulkan doanya, Allah akan menyimpannya untuk akhirat kelak dan Allah akan menggantikannya dengan menghindarkannya daripada keburukan dan bencana.” Para sahabat lalu bertanya: “Kalau begitu, kami akan memperbanyakkan berdoa.” Nabi SAW bersabda lagi: “Allah nanti akan memperbanyakkan untuk mengabulkan doa kalian.” (Hadis Riwayat Ahmad, 3/18)

Allah itu Maha Adil dan Mengetahui. Ada sebab kenapa doa kita lambat dikabulkan atau mungkin kita merasakan ia tidak dikabulkan langsung olehNya.

BACA:  BACA Doa Ini Jika Anda Selalu Dibenci Orang, Doa Pengasih Niatkan Kepada Siapa Yang Hendak Disayangi

Namun, tanpa sedar, mungkin Allah telah menggantikan ia dengan sesuatu yang lebih baik. Sebagai contoh, mungkin anda pernah berdoa untuk dijodohkan dengan ‘crush‘ atau orang yang anda idamkan dari dulu.

Namun, Allah akhirnya memutuskan perhubungan anda atau menjauhkan anda darinya. Mungkin, si dia bukanlah jodoh yang terbaik untuk anda atau mungkin Allah ‘menyimpan’ anda buat seseorang yang lebih layak dan baik untuk dijadikan pasangan.

Perancangan Tuhan itu adalah lebih baik dan kita akan mengetahui hikmahnya apabila kita menerima setiap sesuatu itu dengan hati dan minda yang ikhlas.

Waktu Terkabulnya Doa

Kita disyariatkan untuk berdoa pada bila-bila masa sahaja dan di mana jua dengan apa-apa doa yang kita inginkan asalkan bukan doa yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa waktu yang diriwayatkan sebagai waktu yang sesuai untuk berdoa dan juga merupakan waktu yang digemari Baginda untuk berdoa.

Antaranya ialah:

#1 – Doa Ketika Hujan

Setiap titisan hujan itu dikatakan pembawa rahmat. Kadang-kadang, apabila turunya hujan, sebahagian daripada kita akan mengeluh kerana jemuran yang tidak sempat kering, tak boleh balik kerja awal akibat terlupa membawa payung dan pelbagai lagi alasan.

Untuk kali ini, apa kata anda tukarkan keluhan itu kepada doa. Berdoalah apa sahaja, insya Allah dikabulkan malah anda akan mendapat pahala lagi kerana berdoa.

Berdasarkan hadis yang telah diriwayatkan oleh Baginda SAW:

ثِنْتَانِ لَا تُرَدَّانِ: الدُّعَاءُ عِنْدَ النِّدَاءِ، وَتَحْتَ الْمَطَرِ

“Doa tidak tertolak pada dua waktu, iaitu ketika azan berkumandang dan ketika hujan turun.” (Hadis Riwayat Al-Hakim, no. 2534)

#2 – Doa Ketika Sahur Dan Berbuka Puasa

Hebatnya orang yang berpuasa, mereka bukan sahaja mendapatkan pahala sepanjang sehari menahan hawa nafsu serta lapar dan dahaga, namun dalam masa yang sama, doa yang diujarkannya tiada hijab.

Sementara menunggu masa untuk berbuka atau ketika sedang bersahur, berdoalah sama ada secara diam (di dalam hati) atau doa yang diujarkan ramai-ramai.

BACA:  6 Doa Ketika Rindu Seseorang Dalam Islam

Tidak kiralah jika anda sedang berpuasa fardhu atau sunat, tiada perbezaan yang dikenakan.

إِنَّ لِلصَّائِم عِندَ فِطْرهِ دَعْوَةً لا تُرَدُّ

Maksud: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka, mempunyai doa mustajab yang tidak akan ditolak.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Al-Hakim)

#3 – Doa Antara Azan Dan Iqamah

Selepas mendengar azan dan sementara menunggu imam melaungkan iqamah, berdoalah sekejap. Ia adalah waktu yang makbul terutamanya jika anda sedang berada di dalam masjid. Dari Anas bin Malik RA, ia berkata Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الدُّعَاءَ لاَ يُرَدُّ بَيْنَ الأَذَانِ وَالإِقَامَةِ فَادْعُوا

“Sesungguhnya doa yang tidak tertolak adalah doa antara azan dan iqomah, maka berdoalah (kala itu).” (Hadis Riwayat Ahmad)

#4 – Doa Ketika Hari Arafah

Para salaf zaman dahulu suka memperingatkan hari Arafah kerana pada hari itu terdapat banyak kelebihannya yang tersendiri, antaranya ialah dikabulkan doa baik orang yang sedang wukuf di arafah ataupun tidak.

Dari ‘Amr bin Syua’aib, dari datuknya, Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Kesimpulan

Berdoalah dengan doa yang baik-baik untuk kesejahteraan semua orang pada bila-bila masa sahaja serta yakinlah bahawa Allah akan memperkenankan doa kita kerana Allah telah berfirman yang berbunyi:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Mafhum: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.” (Surah Ghafir, 40:60)

Kita tidak akan pernah tahu, dengan doa yang mana yang akan mendatangkan kebaikan kepada kita sama ada dalam bentuk menghalang diri kita daripada bencana atau untuk menyelamatkan kita di akhirat kelak.

Wallahu a’lam.

 

Sumber: tzkrh.com 

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel