≡ Menu

Disebalik Kenakalan Anak Kecil, Ada Kesedihan Tersembunyi

Keadaan di Wad Kecemasan hospital pada pagi itu agak lengang. Belum ramai pelawat yang hadir untuk melawat pesakit atau pun mungkin tidak ramai pesakit di wad tersebut untuk dilawati.

Saya melihat anak itu bermain-main dengan ‘sliding door’ pintu utama untuk masuk ke wad kecemasan. Anak tersebut memetik suis ‘sliding door’ elektronik di bahagian luar untuk masuk ke dalam.

Dia kemudiannya memetik suis di bahagian dalam untuk keluar. Masuk, keluar, masuk, keluar, itu saja yang dilakukannya. Tidak ada ahli keluarga yang melarangnya.

Apabila terpandang saya memerhatikannya dari tadi, dia tersenyum. Melihat saya membalas senyumannya, dia kembali masuk keluar, masuk keluar seperti tadi tanpa mempedulikan orang lain yang semakin ramai.

Dia kelihatan tidak terkawal. Mungkin dia mengganggu laluan utama wad kecemasan walaupun pada ketika itu orang tidak ramai. Perbuatannya mungkin boleh menyebabkan kerosakan pada pintu elektronik tersebut.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Namun jauh di sudut hati, saya gembira kerana tidak ada petugas atau orang awam yang memarahinya.

Saya teringatkan kisah yang diceritakan oleh Steven Covey dalam buku beliau “7 Habits of Highly Effective People” tentang ‘Paradigm Shift’. Berikut adalah kisah tersebut yang telah saya terjemahkan;

Kisah ini berlaku pada suatu pagi Ahad di atas keretapi bawah tanah di New York. Penumpang-penumpang duduk dengan santai, ada yang membaca surat khabar, ada yang jauh mengelamun dan ada yang berehat dengan mata terpejam.

Keadaan sungguh damai dan tenang sehinggalah seorang lelaki dan anak-anaknya menaiki keretapi tersebut. Anak-anaknya sungguh riuh rendah dan tidak terkawal sehinggakan keadaan tenang dalam keretapi terus bertukar kecoh.

BACA:  Anak Remaja Itu Dahagakan Kasih Sayang Kita

Lelaki tersebut duduk bersebelahan saya dan memejamkan matanya seolah-olah tidak peka dengan apa yang berlaku. Dia tidak menghiraukan persekitarannya.

Anak-anaknya terjerit-jerit ke sana ke mari, melontar apa saja yang dicapai oleh tangan dan merampas surat khabar yang dibaca oleh penumpang lain.

Mereka benar-benar mencetuskan huru-hara dalam keretapi namun lelaki yang duduk di sebelah saya langsung tidak berbuat apa-apa. Sukar untuk sesiapa saja untuk tidak merasa marah dalam situasi sebegitu.

Bagaimana seorang ayah boleh membiarkan anak-anaknya bertindak liar tanpa melakukan apa-apa dan langsung tidak bertanggungjawab?

Sangat jelas kelihatan penumpang-penumpang lain juga merasa tidak selesa dengan apa yang berlaku. Kesabaran saya juga ada batasnya.

Akhirnya saya menoleh memandang lelaki di sebelah saya itu lantas bersuara;

“Tuan, anak Tuan benar-benar mengganggu penumpang-penumpang lain. Tidakkah Tuan boleh mengawal mereka walaupun sedikit?”

Lelaki tersebut memandang saya dengan pandangan yang kosong. Dia seolah-olah baru tersedar tentang apa yang sedang berlaku.

“Oh, benar kata saudara. Saya perlu melakukan sesuatu. Sebenarnya kami baru pulang dari hospital. Ibu mereka meninggal sejam yang lalu. Saya tidak dapat berfikir dan saya rasa mereka juga tidak tahu bagaimana hendak menghadapi situasi ini.”

Dapatkah anda bayangkan bagaimana perasaan saya ketika itu? Tiba-tiba saya melihat situasi tersebut dengan pandangan yang berbeza. Tingkah laku saya juga berbeza.

Rasa marah saya terus hilang. Saya tidak perlu risau tentang kawalan diri dan tingkah laku saya kerana hati saya dipenuhi dengan kedukaan yang dialami oleh lelaki tersebut.

Rasa kasihan dan simpati terus mengalir dalam diri saya. Segalanya berubah serta-merta.

“Isteri Tuan meninggal? Oh, maafkan saya. Boleh saya tahu apa yang berlaku? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?”

BACA:  Benarkan Dua Pusar Kepala Bererti Anak Anda Degil?

Inilah sebabnya saya gembira tidak ada yang memarahi anak yang masuk keluar masuk keluar wad kecemasan itu. Entah apa yang bermain di fikirannya.

Seperti dalam kisah di atas, dia mungkin juga tidak tahu bagaimana untuk menghadapi situasi yang sedang dilaluinya. Dia menemani ibunya yang tidak sedarkan diri di wad tersebut.

Tahukah anda kanak-kanak berkomunikasi dengan kita melalui tingkah laku mereka?

Setiap tingkah laku negatif yang kita lihat pada kanak-kanak adalah disebabkan oleh keperluan mereka yang tidak tertunai. Ketenangan emosi adalah juga satu keperluan yang penting bagi kanak-kanak.

Fahamilah apa yang mendorong tingkah laku kanak-kanak sebelum kita mencemuh, memarahi ataupun menghukum mereka. Bimbing mereka.

 

Sumber: Tazkirah.net

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel