Islam amat mengutamakan adab dalam setiap aspek kehidupan, bahkan ia dianggap lebih penting berbanding ilmu. Kenapa? Hal ini kerana adab merupakan asas untuk mendapatkan ilmu yang diberkati.
Jika kita lihat akhlak ulama terdahulu, mereka sangat menitikberatkan soal adab seperti Syeikh Abdullah bin Mubarak yang mempelajari adab selama 30 tahun sebelum menuntut ilmu (Al-Kafi #862).
Begitu juga dengan menziarahi perkuburan, ia memerlukan adab tidak kira ketika melawati kubur Muslim ataupun bukan Muslim.
Hukum bergambar perkahwinan di perkuburan
Sebelum kami menjawab persoalan yang dikemukakan, ingin kami menjelaskan bahawa menziarahi kubur adalah harus sama ada kubur tersebut adalah kubur muslim ataupun yang bukan muslim. Ini adalah pandangan yang telah dikemukakan oleh Imam Al-Nawawi.
Beliau menyebut bahawa harus bagi orang muslim untuk mengiringi jenazah sahabat atau kerabatnya. Begitu juga harus untuk menziarahi kuburnya. Beliau (Imam Al-Nawawi) menyatakan bahawa ini adalah pandangan kebanyakan para ulama. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 5/144).
Bahkan tujuan menziarahi tidak lain tidak bukan adalah untuk mengingatkan kita kepada kematian yang sememangnya akan dirasai oleh setiap manusia. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW. Baginda bersabda :
إِنِّي كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الآخِرَةَ
Maksudnya : “Sesungguhnya aku melarang kalian daripada menziarahi kubur, maka (sekarang ini) ziarahlah kubur kerana (menziarahi kubur itu) mengingatkan kepada akhirat.”
Riwayat Muslim (1977), Al-Tirmizi (1054) & Abu Daud (3235)
Ini membawa makna bahawa tujuan menziarahi bukan untuk bersuka ria atau berseronok akan tetapi ia sepatutnya mengingatkan kita kepada alam kematian dan akhirat yang bakal tiba.
Begitu juga dalam meziarahi kubur ada adab-adab yang perlu dipatuhi. Antara adab-adab tersebut ialah :
1. Jika yang diziarahi adalah kubur muslim, maka disunatkan untuk memberi salam dan berdoa untuknya. Doa tersebut sepertimana yang diriwayatkan ialah
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَلاَحِقُونَ أَسْأَلُ اللَّهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ
Maksudnya : “ Salam sejahtera ke atas kalian wahai ahli kubur daripada kalangan orang mukmin. Kami dengan izin Allah akan menyusul. Kami memohon kepada Allah agar diberikan kesejahteraan untuk kalian dan juga untuk kami.”
Riwayat Muslim (2302)
Jika yang diziarahi itu adalah kubur orang yang bukan islam maka tidak boleh untuk memberi salam apatah lagi mendoakan mereka.
2. Tidak boleh untuk duduk di atas kubur.
Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda :
لأَنْ يَجْلِسَ أَحَدُكُمْ عَلَى جَمْرَةٍ فَتُحْرِقَ ثِيَابَهُ فَتَخْلُصَ إِلَى جِلْدِهِ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَجْلِسَ عَلَى قَبْرٍ
Maksudnya : “ Kalian duduk di atas bara api kemudian terkoyak bajunya sehingga tersiat kulitnya lebih baik dari duduk di atas kubur.”
Riwayat Muslim (2292)
Dan banyak lagi adab-adab lain ketika hadir menziarahi kubur seperti tidak bercakap perkataan yang buruk, tidak melakukan perkara yang boleh menimbulkan fitnah dan lain-lain yang tidak perlu untuk kami memanjangkannya di sini.
Kembali kepada persoalan yang dikemukan, kami melihat perbuatan mengambil gambar perkahwinan di perkuburan orang Kristian dengan alasan suka-suka dan ingin buat kelainan adalah satu perbuatan yang tidak dibenarkan dan boleh mengundang fitnah.
Bahkan perbuatannya adalah bercanggah dengan nas yang memerintahkan kita untuk menghormati perkuburan dan mayat sekalipun yang bukan Islam. Ini berdasarkan firman Allah SWT :
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِىٓ ءَادَمَ
Maksudnya :
“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam..”
(Surah Al-Isra’ : 70)
Imam Jalaluddin Al-Suyuti dan Imam Jalaluddin Al-Mahalli menyebut bahawa tidak boleh dihinakan mahupun dikotori mayat mereka. (Rujuk Tafsir Al-Jalalain, 5/108)
Kami melihat perbuatan mengambil gambar perkahwinan di atas perkuburan bukan muslim dengan pelbagai gaya adalah satu perbuatan yang boleh dianggap sebagai satu penghinaan terhadap mayat-mayat bahkan perbuatannya itu boleh menyinggung perasaan waris si mati.
Nabi SAW pernah bersabda :
كَسْرُ عَظْمِ الْمَيِّتِ كَكَسْرِهِ حَيًّا
Maksudnya : “Mematahkan tulang mayat adalah seperti mematahkannya ketika hidup.”
Riwayat Abu Daud (3207), Ibnu Majah (1616)
Maulana Sheikh Syamsul Haq ‘Azim Abadi menukilkan pandangan AL-Tibi berkenaan hadis tersebut. Al-Tibi berkata tidak boleh untuk menghina mayat dengan cara apa sekalipun. Penghinaan terhadap mayat adalah seperti menghina ketika dia masih hidup.” (Rujuk ‘Aun Al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 14/27).
Ini menunjukkan bahawa apa sahaja bentuk penghinaan terhadap mayat sama ada perbuatan atau percakapan maka tidak dibenarkan.
Apatah lagi jika mengambil gambar dengan pelbagai gaya yang tidak sepatutnya dilakukan di tanah perkuburan. Ia juga boleh dianggap sebagai satu bentuk penghinaan.
Tambahan lagi, apa yang perlu diperhatikan adalah kesan dari setiap perbuatan yang kita lakukan. Perbuatan tersebut jika dilihat lebih jauh, ianya boleh menimbulkan kemarahan penganut agama Kristian yang akhirnya nanti mereka akan melakukan perkara yang sama di perkuburan orang islam.
Perkara ini boleh difahami menerusi firman Allah SWT :
وَلَا تَسُبُّوا۟ ٱلَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ ٱللَّـهِ فَيَسُبُّوا۟ ٱللَّـهَ عَدْوًۢا بِغَيْرِ عِلْمٍ
Maksudnya : “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan…”
(Surah Al-‘An’am : 108)
Maka dapat kita fahami dari ayat ini, tidak dibenarkan untuk melakukan atau menyebut perkara yang menunjukkan penghinaan terhadap mereka. Perbuatan tersebut akan mengundang kemarahan mereka dan melakukan perkara yang sama terhadap kita.
Kita sedia maklum bahawa penganut Kristian mempunyai ritual atau upacara tertentu ketika menghadiri kematian atau menziarahi perkuburan. Ini adalah satu perkara yang perlu kita hormati sebagaimana kita memohon agar mereka menghormati agama Islam.
Kesimpulan
Kesimpulannya, kami tegaskan bahawa perbuatan mengambil wedding photoshoot atau gambar perkahwinan di perkuburan orang Kristian seperti yang tular adalah tidak dibenarkan.
Jangan kerana inginkan kelainan sehingga kita melakukan perkara yang boleh mengundang fitnah dan cerca orang ramai. Apatah lagi jika ianya dibuat untuk suka.
Carilah tempat lain yang lebih sesuai. Perbuatan seumpama ini boleh menyebabkan islam dan penganutnya dipandang serong oleh penganut agama lain. Sekaligus menjauhkan mereka dari Islam.
Semoga Allah memberikan kita kefahaman di dalam agama-Nya. Wallahu’alam.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan