≡ Menu

Apa Beza Nabi Musa Dengan Sesetengah Suami?

Apa Beza Nabi Musa Dengan Sesetengah Suami?

“Tolong ambilkan remote Astro tu!”

“Nanti gosok semua baju saya!”

“Kenapa tak kemas rumah?”

“Kenapa tak buat lagi kopi yang saya minta tadi? Kalau macam ni baik pergi kedai Mamak lagi cepat!”

Itu antara dialog biasa dalam sebuah rumah tangga. Mungkin si suami sudah terbiasa mengarah isteri tanpa menyelami letih atau sibuknya isteri sepanjang hari di rumah sebagai pengurus rumah atau di pejabat sebagai kaki tangan swasta atau kerajaan.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Pernah sekumpulan pelajar perempuan yang ditugaskan menyediakan minuman acara padang terpaksa bersusah payah mengangkat stok air dan ais yang sangat berat. Pada waktu itu beberapa pelajar lelaki sedang asyik melayan telefon pintar di tepi padang. Para pelajar perempuan terpaksa meminta bantuan mereka, lalu dengan selamba mereka menjawab:

“Itu bukan kerja kami. Angkatlah sendiri!”

Nampaknya lelaki sebegini sudah hilang harga diri atau masih keliru tentang jantina mereka!

Dalam kelas malam ini (Rabu 6 Mac 2019), Kursus Umum Tilawah al-Quran, IIUM Academy, saya dijentik sebuah ayat yang molek benar dihadam oleh semua suami atau lelaki “sado” sihat di luar sana. Ia adalah kisah nabi Musa AS menjalankan tanggung jawab sebenar seorang suami. Ayuh tadabbur ayat ini:

فَلَمَّا قَضَى مُوسَى الْأَجَلَ وَسَارَ بِأَهْلِهِ آنَسَ مِنْ جَانِبِ الطُّورِ نَارًا قَالَ لِأَهْلِهِ امْكُثُوا إِنِّي آنَسْتُ نَارًا لَعَلِّي آتِيكُمْ مِنْهَا بِخَبَرٍ أَوْ جَذْوَةٍ مِنَ النَّارِ لَعَلَّكُمْ تَصْطَلُونَ

Ertinya: Setelah Musa menyempurnakan tempoh kerjanya itu (sebagai mahar perkahwinannya) dan (mendapat izin) berjalan dengan isterinya (kembali ke Mesir), dia lihat (dalam perjalanannya itu) api dari sebelah Gunung Tursina. (Ketika itu) dia berkata kepada isterinya: “BERHENTILAH (DUDUK DI SINI); SESUNGGUHNYA AKU LIHAT API, SEMOGA AKU DAPAT MEMBAWA KEPADA KAMU SESUATU BERITA DARI SITU, ATAU SEPUNTUNG DARIPADA API ITU, SUPAYA KAMU DAPAT MEMANASKAN DIRI” (AL-QASAS 28:29).

BACA:  Anak buang ibu-bapa

Aduhai! Nabi Musa minta permaisuri hatinya yang jauh lebih lemah fizikalnya agar duduk dan tunggu. Kerja berat mencari api atau berita ketika gelap malam di sebuah padang pasir selayaknya dilakukan oleh suami yang jauh lebih kuat. NABI MUSA AS TIDAK PULA MENGARAHKAN ISTERINYA MELAKUKAN KERJA ITU.

Sikap baginda ini patut dicontohi semua suami atau lelaki termasuklah diri saya sendiri yang serba kurang. Bahkan sifat “Ithar” (Mengutamakan hak orang lain) baginda pernah dipamerkan ketika membantu 2 perempuan yang diabaikan lelaki tempatan Madyan:

وَلَمَّا وَرَدَ مَاءَ مَدْيَنَ وَجَدَ عَلَيْهِ أُمَّةً مِنَ النَّاسِ يَسْقُونَ وَوَجَدَ مِنْ دُونِهِمُ امْرَأَتَيْنِ تَذُودَانِ قَالَ مَا خَطْبُكُمَا قَالَتَا لَا نَسْقِي حَتَّى يُصْدِرَ الرِّعَاءُ وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ (23) فَسَقَى لَهُمَا ثُمَّ تَوَلَّى إِلَى الظِّلِّ فَقَالَ رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ (24)

Ertinya: Dan ketika dia (Musa) sampai di telaga air negeri Madyan, dia dapati di situ sekumpulan lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing tanpa mempedulikan orang lain), dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambingnya. Dia (Musa) bertanya: “Apa hal kamu berdua?” Mereka menjawab: “KAMI TIDAK BOLEH MEMBERI MINUM (KAMBING KAMI) SEHINGGA PENGEMBALA ITU MEMBAWA BALIK BINATANG TERNAK MEREKA; DAN BAPA KAMI SEORANG YANG TERLALU TUA UMURNYA (TAK MAMPU MELAKUKAN KERJA INI).” MUSA PUN MEMBERI MINUM KEPADA BINATANG TERNAK MEREKA, kemudian dia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan” (al-Qasas 28:23).

Hebat sekali LELAKI SEJATI bernama Musa AS ini. Walaupun keletihan menempuh perjalanan jauh dari Mesir, mata baginda sangat peka melihat orang yang susah lalu dibantu tanpa syarat.

BACA:  Tanggungjawab terhadap anak

Itu kisah nabi Musa AS, bagaimana pula Rasulullah SAW bersama isterinya? Aishah RA bercerita:

عَنْ الْأَسْوَدِ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ مَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُ فِي أَهْلِهِ قَالَتْ كَانَ فِي مِهْنَةِ أَهْلِهِ فَإِذَا حَضَرَتْ الصَّلَاةُ قَامَ إِلَى الصَّلَاةِ

Ertinya: Al-Aswad pernah bertanya Aishah apa yang biasa dilakukan oleh Rasulullah ketika bersama keluarganya. Beliau (Aishah) menjawab: “Baginda selalu membantu ahli keluarganya. Apabila masuk waktu solat, baginda akan keluar untuk solat.” (Sahih al-Bukhari).

Ayuh! Semua lelaki dan suami! Jadilah “gentleman” atau lelaki budiman! Jangan sampai kurniaan fitrah ini ditarik oleh Allah, lalu kita hilang hebat menjadi “perempuan dalam tubuh lelaki lembik yang pemalas.”

 

Sumber: Abdullah Bukhari Abdul Rahim

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel