≡ Menu

Adakah Rokok Nikmat Atau Azab?

Mengapa ada yang masih menghisap rokok? Sedangkan diri sendiri sedar tentang keburukan merokok.

Menurut perokok-perokok, bukan senang untuk berhenti daripada merokok. Keadaan ini sudah menjadi tabiat dan sudah sebati dalam diri.

Namun begitu, usaha yang padu perlu diteruskan demi menjauhi rokok buat selamanya. Anda sendiri boleh melihat di skrin gajet mengenai cara-cara untuk menjauhi rokok. Atau lebih tepat lagi berhenti daripada merokok.

Sememangnya kesan rokok amat buruk, lebih-lebih lagi terhadap otak. Daripada kajian Dr Simon Ridley; Pengkaji Alzheimer UK menyatakan bahawa rokok mampu menyebabkan penyakit dementia.

Dementia bererti penyakit yang mengganggu fungsi otak secara berterusan. Dalam pada itu, antara tanda dementia menurut Dr. M Ramzdhan ialah;

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

1-Masalah memori seperti mudah lupa

2-Sukar mempelajari skil-skil baru kerana proses berfikir menjadi lambat

3-Perubahan tabiat atau personaliti

Berdasarkan Journal of Neuroscience 2002 pula, pakar Perancis menemukan bahan di dalam rokok iaitu nikotin boleh mematikan sel-sel otak serta menghalang pertumbuhan sel-sel baru.

Mengikut kajian Alvarez-Buylla; seorang neurosaintis bersama-sama kolaborasi negara lain, menyatakan bahawa orang dewasa tidak lagi menghasilkan sel-sel baru.

Namun, kanak-kanak dan remaja sehingga 13 tahun masih menghasilkan sel-sel baru tersebut. Jika mereka terhidu asap rokok, perkembangan otak mereka mampu menjadi abnormal.

Jadi di sini, fikirkanlah tentang orang lain misalnya budak-budak kecil yang memerlukan otak yang cerdas.

Menyentuh soal sel-sel otak lagi, dua orang professor iaitu Rod Plotnik dan Dr Haig menulis dalam buku mereka iaitu ‘Introduction to Psychology’ dan menyatakan jumlah sel otak manusia adalah dalam 1 trilion.

Kira-kira kuantiti sel-sel otak lebih banyak berbanding manusia di bumi yang dianggarkan dalam 7.6 bilion berdasarkan Worldometers.

Maka, lihatlah betapa bernilainya nikmat otak supaya kita berfikir. Oleh itu, renung, fikir dan bertindaklah;

BACA:  Meletakkan Ais Di belakang Tengkuk Boleh Atasi Sakit Kepala, Badan Rasa Ringan Bertenaga dan Awet Muda

#1- Haram Apabila Terlalu Banyak Merokok

Kebanyakan perokok tetap mengambil ringan tentang pengharaman rokok. Hal ini kerana hukumnya tidak berbentuk jelas dan terang daripada al-Quran. Apa yang dimaksudkan adalah seperti hukum makan daging babi atau minum arak.

Berdasarkan ungkapan daripada Ustaz Azhar Idrus, terdapat dua hukum berkenaan dengan rokok. Hukum pertama ialah haram sekiranya terlalu memudaratkan.

Contohnya, banyak sangat merokok sehinggakan sakit dan batuk-batuk. Dan ini adalah pendapat jumhur (majoriti) ulama. Dikatakan haram juga kerana kesan akan datang dan pembaziran.

Hukum seterusnya ialah makruh. Di mana seseorang hisap rokok, tetapi tidak mudarat. Misalnya, bau yang tidak disukai seperti bau busuk. Ini dapat dikiaskan dengan bawang merah mentah, bawang putih, kucai, dan sejenisnya.

Memetik kisah yang diceritakan Ustaz Khalid Basalamah pula, ada seorang guru bertanyakan tentang hukum merokok kepada seorang syeikh. Ini disebabkan ada yang mengatakan hukumnya makruh, dan ada juga yang mengatakannya haram. Soal guru itu;

“Kenapa kata rokok haram?”

Lalu, syeikh menjawab sambil diselitkan ayat daripada surah Al-A’raf, ayat 157:

“Allah halalkan semua yang baik dan haramkan yang buruk.”

Tetapi guru itu tetap mahu mempertahankan dirinya dan rokok.

“Setahu saya, tak buruk. Saya berasa nyaman. Saya percaya diri, masalah pun terasa tidak ada.”

Syeikh membalas;

“Baik. Lebih mendalam lagi, kalau kamu pulang ke rumah, kamu temukan isteri dan anak-anak sedang memegang rokok. Kamu biarkan saja atau larang mereka?”

“Saya larang syeikh. Kenapa saya larang, kerana itu tidak baik.”

Sheikh menjawab;

“Itu masuk dalam jawapan kamu sendiri. Kalau baik, biarkan saja merokok, belikan lalu sama-sama merokok,”

Sementara itu, daripada Prof Dr. Ahmad Shalibi menyebutkan pandangan bekas Mufti Mesir;

“Menurut pandangan hukum : Andainya terdapat bahaya, sama ada banyak atau sedikit dari penghisapan apa sahaja, umpamanya boleh merosakkan perasaan dan menghilangkan wang dengan sia-sia, maka hukumnya berpindah daripada halal kepada makruh atau haram menurut kadar bahaya dan tempohnya. “

BACA:  Rahsia Perubatan Islam Untuk Yang Kerap Sakit Tapak Kaki Dan Terasa Menyucuk Pijak Lantai Sejuk

Oleh itu, adalah lebih baik merokok itu ditinggalkan. Apabila kita menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh membawa kita meraih dosa, in shaa Allah hidup kita akan diberkati.

Dan yang paling utama, segalanya bergantung pada diri sendiri untuk menentukan apa-apa yang kita peroleh.

“Sesungguhnya, Allah takkan ubah sesuatu kaum, andai dia tak ubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
Surah Ar-Ra’d 13:11

#2-Mengelakkan Diri Daripada Membazir

Jika diperhatikan harga sekotak rokok, sememangnya sekotak rokok mampu menampung perbelanjaan makanan untuk sehari ataupun lebih daripada itu.

Adalah lebih baik menggunakan nikmat wang yang ada untuk makan supaya dapat beribadah dengan baik.

Bahkan, nikmat wang yang dikurniakan boleh disedekahkan ataupun membantu mereka yang memerlukan.

Sehubungan dengan pembaziran, menurut Imam Ibn. Hazm dalam kitabnya al-Muhalla telah menegaskan;

“Pemborosan adalah haram.”

Erti pemborosan yang dinyatakan itu adalah berkenaan dengan tiga perkara seperti berikut;

1. Wang untuk perkara yang diharamkan Allah S.W.T sama ada banyak ataupun sedikit.

2. Pembaziran yang tidak ada keperluannya.

3. Membuang duit, meskipun betapa kecil jumlahnya kerana dengan membuang tanpa tujuan itu menjadikannya sia-sia.

Maka, jauhilah rokok sedaya-upaya demi mengelakkan diri daripada amalan membazir. Sikap membazir itu sesungguhnya amalan syaitan. Firman Allah S.W.T;

“…dan janganlah kamu belanjakan harta kamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya, orang yang membazir (boros) itu adalah saudara syaitan, dan syaitan itu adalah makhluk yang sangat kufur (ingkar) kepada Tuhannya.”
Surah Al-Isra’ 17:26-27

Rasulullah S.A.W turut berpesan kepada umatnya agar meninggalkan apa-apa yang tidak berfaedah bagi kehidupan dunia dan agamanya.

Sama ada perkataan sia-sia atau perbuatan tiada manfaat yang hanya menghabiskan masa dan umur dengan percuma. Sabda Baginda;

“Sebahagian daripada kebaikan keislaman seseorang ialah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya.”
Riwayat al-Tirmizi

#3-Tidak Memudaratkan Diri Sendiri

Saat menjauhi rokok, si perokok akan lebih menghargai dan menghormati diri sendiri. Lebih-lebih lagi, dia bakal membuatkan orang sekeliling tidak mudarat disebabkan dirinya yang melepaskan asap rokok.

BACA:  Adakah Penggunaan Air Fryer Baik Untuk Kesihatan?

Sayangilah diri dan janganlah zalim terhadap diri sendiri. Allah S.W.T berfirman;

“Dan janganlah kamu mencampakkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan.”
Surah al-Baqarah 2:195

Seperkara lagi, si perokok dapat melindungi alam sekitar dengan baik. Tiada pencemaran udara yang akan berlaku disebabkan rokok sekiranya tiada lagi perokok. Seperti yang kita boleh lihat asap rokok tampak normal bukan?

Namun, dalam asap rokok sahaja sudah mengandungi pelbagai bahan yang membahayakan. Kira-kira dalam 70 komponen asap yang mampu menyakiti seorang manusia. Antaranya ialah nikotin, tar, karbon monoksida dan banyak lagi.

Mari kita sama-sama bayangkan sekiranya para perokok masih tidak mengendahkan dirinya dan sekeliling. Mereka tentunya telah menyeksa ‘mereka’ yang tidak bersalah.

Kira-kira, kesannya lebih kurang dalam “triple effects” (kesan kepada diri sendiri, orang lain, alam sekitar). Firman Allah S.W.T;

“Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul pembohongan dan dosa yang nyata.”
Surah Al-Ahzab 33:58

Tegasnya, berhentilah merokok sebelum rokok memberhentikanmu. Faham bukan? Ketagihan rokok boleh dikatakan mungkin lebih kuat daripada ketagihan cinta.

Tetapi ingatlah bahawa ramai yang masih menyayangi dan memerlukan diri kamu itu. Dan kita punyai tujuan di dunia ini. Kita diciptakan untuk beribadah kepada Allah S.W.T.

Jadi, sekiranya rasa tidak tenang, cepat-cepat dekatkan diri dengan Allah S.W.T. Jangan pula mencari rokok semata-mata untuk melepaskan tekanan mahupun sekadar bersuka-suka.

Itu bukanlah penyelesaian yang benar-benar baik. Banyak keburukan yang menanti jika rokok mulai mendekati. Maka lihatlah seperti burung, bukan seperti katak di bawah tempurung.

Rujukan;
Danial Zainal Abidin, Dr. (2015). Menjadi Ulul Albab. Malaysia: PTS Publishing House Sdn Bhd
https://www.doctoroncall.com.my/soalan/what-is-dementia-maksud-dementia
https://www.scientificamerican.com/article/does-the-adult-brain-really-grow-new-neurons/
http://www.worldometers.info/world-population/
https://www.youtube.com/watch?v=80ehsPkbLfA – Ustaz Azhar Idrus
https://www.youtube.com/watch?v=XYOt8Qyu9qg – Ustaz Khalid Basalamah

 

Sumber: Tazkirah.net 

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel