Tidak berapa lama lagi, bulan Ramadan akan berlalu dan bulan Syawal pula akan menjengah. Rutin makanan kita pula akan berubah semula. Daripada rutin puasa – tidak makan daripada pagi hingga ke lewat petang, kita akan kembali kepada rutin asal – sarapan, makan tengah hari dan juga makan malam.
Seringkali apabila berlalu sahaja bulan puasa, ramai orang akan terperangkap dalam amalan pemakanan yang tidak sihat. Kita cenderung untuk makan sepuas-puasnya. Moto kita; “Raya kan sebulan!”
Namun bagaimana caranya untuk menguruskan rutin sebegini dan kekal sihat walaupun selepas Ramadan?
#1- Berpuasa Sunat Dua Hari Seminggu
Antara puasa sunat yang dianjurkan oleh Rasulullah ialah puasa sunat dua kali dalam seminggu iaitu pada hari Isnin dan Khamis.
Sementara kita masih lagi mempunyai momentum berpuasa, apa kata sebaik sahaja musim perayaan telah berlalu, kita kekalkan rutin berpuasa dengan mengamalkan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis.
Jika anda berpuasa pada hari Isnin, anda mempunyai dua hari untuk makan seperti biasa sebelum tiba hari Khamis, seterusnya kembali ke rutin makan yang biasa selama tiga hari sebelum tiba hari Isnin kembali. Amalan ini akan menyeimbangkan rutin makan anda sepanjang minggu.
#2- Peraturan Makan ‘ 80/20’
Peraturan 80/20 bermaksud anda memilih hidangan yang sihat dalam kadar 80 peratus contohnya makanan tanpa kalori atau bergula manakala 20 peratus lagi diperuntukkan untuk hidangan yang lebih pelbagai.
Menurut pakar pemakanan, teknik ini boleh diguna bagi mengelakkan anda ‘terseksa’ menahan diri daripada makan makanan yang anda suka tetapi kurang sihat. Sebahagian orang pula memilih untuk mengamalkan peraturan pemakanan yang ketat pada hari biasa, dan memilih ‘cheat day‘ pada hujung minggu.
#3- Makan Buah-Buahan Sebagai Snek
Biasanya setelah berlalu hari raya, masih ada lebihan makanan yang akan dibawa pula ke pejabat. Pada waktu rehat atau lapang, kita cenderung untuk makan makanan manis, snek yang tidak sihat seperti kerepek berperisa, donat, kek, ais krim atau coklat.
Apa kata gantikan makanan tersebut dengan buah-buahan yang segar atau yang telah dikeringkan seperti kurma dan kismis. Pilihan ini pastinya lebih sihat kerana kaya dengan serat yang dapat membantu sistem pencernaan.
#4- Satu Pertiga Untuk Makanan
Rasulullah SAW bersabda:
“Anak Adam tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk berbanding perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (yakni memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka (paling maksimum hendaklah) sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk pernafasan.” (Sahih Sunan al-Tirmizi, no. 2302/2380)
Islam telah mengajarkan bagaimana untuk makan secara seimbang iaitu memperuntukkan satu pertiga untuk makanan, satu pertiga air dan satu pertiga udara.
Dalam ilmu anatomi badan, perut manusia ibarat kantung yang boleh mengembang. Menurut Dr Zubaidi Haji Ahmad, isipadu perut kita ketika dalam keadaan rehat adalah 500ml. Apabila diisi dengan makanan dan minuman, ia boleh mengembang kepada 1500 ml dan isipadu perut yang maksimum boleh mencecah 2000ml.
1500ml kandungan kira-kira bersamaan satu botol air mineral besar. Maka peruntukkanlah hanya satu pertiga daripada bahagian tersebut untuk makanan mengikut sunnah yang telah diajar oleh Rasulullah.
#5- Kesihatan Emosi
Kesihatan emosi juga sebenarnya sangat berkait rapat dengan kesihatan fizikal seorang manusia. Berdasarkan banyak kajian yang telah dilakukan, keadaan badan yang stres dapat mengganggu proses pencernaan dan juga dapat memudahkan seseorang itu dijangkiti penyakit. Manakala ketenangan dapat meningkatkan sistem ketahanan tubuh badan.
Oleh itu bagi memastikan badan kita kekal sihat, aspek dalaman seperti emosi juga perlu diambil kira.
#6- Teruskan Bersedekah
Jika difikirkan sekali imbas, sedekah seperti perbuatan yang melibatkan aktiviti fizikal sahaja. Sumbangkan duit atau sebarang benda, habis cerita. Namun jika diperhatikan dengan lebih mendalam, sedekah juga melibatkan elemen emosi dan psikologi.
Hal ini dibuktikan dengan kajian sosial yang menunjukkan bahawa perbuatan baik seperti memberi sumbangan, sedekah atau aktiviti sukarela akan mendatangkan perasaan puas hati, gembira dan senang. Ia juga akan memberi kesan yang baik kepada perkembangan psikologi seperti meningkatkan rasa yakin diri.
Demikian enam langkah mudah untuk anda mengekalkan gaya hidup sihat walaupun tidak lagi berpuasa setiap hari. Jika diamalkan secara konsisten, ia pasti dapat memberi kesan yang positif kepada diri.
Sumber: tzkrh.com