≡ Menu

Sinaran mentari pasti akan kembali

Seperti hari-hari bekerja yang lain, saya akan memulakan rutin harian dengan melakukan rondaan wad (ward round) bersama doktor-doktor muda dan para jururawat pada setiap pagi. Rutin ini adalah bertujuan untuk mempastikan perkhidmatan terbaik akan terus diberikan kepada semua pesakit di bawah kelolaan kami di Jabatan Perbidanan dan sakit Puan. Pertemuan dengan Puan NA di awal pagi ini amat menggugah hati saya sebagai seorang Muslim.

Dr Z : Assalamu’alaikum. Siapa nama puan?
Puan NA : err..wa’alaikum salam Dr. Saya, Normah Abdullah (bukan nama sebenar)

Dr Z : Puan apa khabar?
Puan NA : Sihat….(sambil menundukkan pandangan)

Dr Z : Cantik bayi ni kan? Suami puan dah tengok bayi ni ?
Puan NA : err……belum Dr

Dr Z : Puan ada apa-apa masalah?
Puan NA : err.….(mengangguk sambil mengalihkan pandangan)

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Dr Z : Kenapa puan ?
Puan NA : Saya ada masalah besar Dr.

Dr Z : Boleh saya tanya sikit lagi, di mana suami puan tu?
Puan NA : Dia ada di luar sana….

Dr Z : Jadi apa masalah puan ?
Puan NA : Anak saya ni akan hadapi kesukaran buat sijil kelahiran sebab saya belum kahwin secara rasmi lagi.

Dr Z : Apa maksud puan ?
Puan NA : Sebenarnya saya telah berkahwin di kuil tetapi sukar nak didaftarkan kerana kad pengenalan saya tulis saya beragama Islam. Saya telah mohon untuk tukar agama sejak tahun 2005 tapi tidak diluluskan. (saya tersentak seolah-olah langit gelap memenuhi ruang udara namun saya cuba untuk mengekalkan wajah tenang)

Dr Z : Siapa nama suami puan ?

BACA:  'Islamkah Kita?'

Puan NA : Nama dia Ramesh dan ini adalah anak ke dua kami setelah 5 tahun bersama.

Dr Z : Kenapa boleh jadi macam ni puan?
Puan NA : Dulu saya pernah bersama kawan lelaki saya. Saya panggil mamak je lah.

Dr Z : Puan pernah berkahwin dengan dia?
Puan NA : Saya tinggal dengan dia selama 8 tahun macam suami isteri tapi dia tak mahu kahwin dengan saya. Saya tak pernah pun Nampak dia sembahyang. Lepas 8 tahun, saya desak supaya kahwin. Dia berang dan halau saya keluar dari rumah dia. Keluarga saya pulak dah tolak saya sejak saya tinggal serumah dengan dia.

Dr Z : Puan sayangkan agama puan ?
Puan NA : Sebenarnya agama Islam dah hampir tiada makna buat saya. Saya dah bersama dengan Ramesh lebih 5 tahun tapi belum kahwin secara rasmi lagi. Saya telah mohon untuk keluar Islam sejak tahun 2005 tetapi belum diluluskan oleh Jabatan Mufti. Saya ada 5 lagi sesi kaunseling dengan Jabatan Agama tapi saya rasa malas untuk bertemu mereka lagi.

Dr Z : Bagaimana kalau saya bantu puan ?
Puan NA : Dr nak bantu saya macam mana ?

Dr Z : Biar saya berbincang dulu dengan rakan-rakan NGO yang saya kenali dan sediakan sebarang keperluan untuk puan dan anak-anak ?
Puan NA : Nanti saya fikirkan Dr. Saya dah buntu sebenarnya…..

Dr Z : Oklah puan…yang dah lepas tu sudah pun berlalu. Kita jadikan sebagai
sempadan. Yang penting ialah keinginan puan untuk kembali ke agama Allah ini.. Allah Maha Pengampun & Penerima Taubat hamba-hambaNya. Puan perlu lihat masa depan puan yang bukan sekadar di dunia ni tapi yang lebih penting bila kita mati nanti. Nanti saya carikan rakan-rakan & badan NGO yang akan bantu puan dengan bantuan kebajikan dan susun semula masa depan puan ye ! Jumpa sekejap lagi ye puan, assalamu’alaikum…

BACA:  Jangan risau apa orang kata

Puan NA : Terima kasih Dr. Wa’alaikum salam…..

Saya beredar sambil memikirkan bagaimana agaknya boleh saya membimbing Puan NA agar kembali memiliki aqidah yang sejahtera ini. Memang berat ! Walaupun tampak sukar, hati kecil ini tetap meyakini bahawa sinaran mentari pasti berpeluang untuk muncul kembali….

Ya Allah bantulah kami di dalam menentukan hala tuju kehidupan yang mencabar ini…..

By: Dr Zainur Rashid Zainuddin

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel