≡ Menu

Roh perjuangannya terus mekar

As Syahid Ahmad Yassin adalah ikon ummah

As Syahid Sheikh Ahmad Yassin adalah nama yang sentiasa berada di bibir masyarakat Palestin dan pencinta kemuliaan perjuangan pembebasan Palestin. Nama dan gambarnya kelihatan di sana sini lantaran beliau begitu popular dan menjadi ikon masyarakat Gaza dan Palestin serta ramai di kalangan umat Islam antarabangsa.

Alhamdulillah, saya bersama teman delegasi berpeluang meziarahi masjid tempat Sheikh Ahmad Yassin mengerjakan solat subuh dan lokasi beliau ditembak oleh helikopter Apache Israel. Beliau menempa sejarah kesyahidan pada tanggal 22hb Mac 2004 sekembaliannya daripada masjid tersebut.

Kami juga berkesempatan melihat rumah as Syahid dan disambut gembira oleh anak lelakinya yang bernama Sheikh Abdul Ghani dan juga cucu lelakinya.

Bersama Sheikh Abdul Ghani (anak as Syahid) dan Abdul Hamid (cucunya)

Bukan sahaja rupa parasnya sangat menyerupai as Syahid Sheikh Ahmad Yassin suaranya juga akan mengingatkan kita kepada ayahnya yang merupakan pengasas kepada Pergerakan HAMAS.

Anaknya Sheikh Abdul Ghani, memulakan penceritaan tentang keadaan bising dan kelam di langit Gaza pada malam sebelum serangan tersebut. Semenanjung Gaza dipenuhi dengan pesawat temput dan helicopter Apache terutamanya di ruang udara berdekatan rumah Sheikh Ahmad Yassin.

Malam yang luar biasa

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Bersama pembantu yang sehidup dan semati dengannya....

Keadaan yang luar biasa dan merbahaya itu telah menyebabkan isteri Sheikh Ahmad Yassin menasihati beliau agar bersolat Isya di rumah sahaja. Seorang tua yang lumpuh, berumur 67 tahun, serta memiliki pelbagai keuzuran serta memerlukan kerusi roda untuk bergerak itu lantas menjawab dengan suara yang serak,” Kenapa kamu menyuruh saya bersolat di rumah? Adakah hanya kerana pesawat dan helikopter tersebut? Kalau saya ditakdirkan mati syahid malam ini, inilah malam yang saya tunggu-tunggukan seumur hidup saya. Insya Allah saya akan mati syahid malam ini….”.

BACA:  Buat si cerdik yang berfikir panjang

Jarak di antara rumahnya yang sederhana dengan Masjid Al-Mujamma’ Al-Islami di seberang jalan raya tersebut hanyalah sekitar 200 meter. Masjid ini terletak di wilayah Ash Sabra, yang merupakan sebuah pusat tarbiah di Gaza yang diketuai oleh Syeikh Yasin sendiri sejak 40 tahun sebelumnya.

Seusai solat Isya secara berjamaah, beliau tidak terus pulang ke rumah. Gaza pada ketika itu masih dikuasi oleh Zionis Israel dan tali-barutnya dari kalangan sebahagian kecil orang Palestin. Atas cadangan beberapa orang para jamaah terutamanya para pemuda, Sheikh Ahmad Yassin memutuskan untuk beriktikaf di masjid sehingga menjelangnya subuh. Seorang anaknya bersama Abdul hamid menemaninya di masjid dan memerhatikan bahawa ayahnya hanya menghabiskan malamnya untuk berqiamul lain.

Mereka kemudianya terdengar bunyi bising dari arah atas masjid sebaik sahaja menunaikan solat subuh di masjid tersebut. Sheikh Ahmad Yassin diingatkan bahawa bunyi tersebut adalah bunyi daripada beberapa buah helikopter yang mungkin sedang memburu beliau.

Sheikh hanya menjawab : “Biarlah, memang sudah lama aku menunggu mereka.”

Cita-citanya Berjaya

Apache Israel

Sebaik sahaja beliau keluar daripada masjid dan diiringi oleh beberapa teman rapatnya, Sheikh Ahmad Yassin telah ditembak syahid oleh 3 buah helikopter apache yang telah memuntahkan 3 buah peluru berpandu sehingga bersepai anggota dan tubuh-badan as syahid.

Allah Akbar….!

Kematian adalah satu yang telah pasti, tidak dipercepatkan dan tidak pula dilambatkan walau pun sesaat. Beruntunglah buat si syahid kerana beliau berjaya mengakhirkan kehidupannya dengan sebesar-besar kemuliaan. Rohnya riang gembira di syurga walau pun jasadnya kelihatan berderai merata-rata bersama lempahan tompokan darah yang memenuhi bumi.

Allah amat menyayangi Sheikh Ahmad Yassin sehingga membenarkan cita-citanya selama ini. Kasih sebenar Sheikh Ahmad Yaasin adalah kepada Allah, NabiNya, agama Islam dan umatnya.

Penghormatan terakhir buat jenazah as Syahid...

Allah menjadikan kematiannya sebagai suatu yang begitu besar. Lebih daripada 200 ribu orang-orang di Gaza telah berkerumun mengiringi jenazahnya ke maqam syuhada. Umat Islam seluruh dunia bercerita tentang kesyahidan dan masing-masing meluahkan rasa penghargaan yang begitu besar terhadap kehebatan perjuangannya.

BACA:  7 Keperibadian Ustaz Ebit Lew Yang Boleh Kita Contohi

Majlis Keselamatan PBB juga telah mengutuk pembunuhannya. Kerajaan-kerajaan Arab juga telah berbuat demikian. Negara-negara Eropah juga tidak berkecuali bercakap mengenainya.

As Syahid Sheikh Ahmad Yaasin bukanlah seorang menteri, tidak juga raja atau pembesar negara tetapi ketokohannya sebagai pemimpin Islam menjadikan kawan dan lawan memandang hebat kepadanya.

Sekalipun umat Islam kelihatan lemah dan hanya mampu melihat pemimpin gerakan Islam dibunuh, namun untuk menyerah kalah atau menggadaikan prinsip perjuangan atau mengiakan segala perjanjian-perjanjian yang sia-sia adalah tidak sama sekali.

Sheikh Ahmad Yassin juga mengajar umat ini bahawa mereka yang benar-benar mahu menggerakkan ummah, tidak perlu menunggu kelayakan akademik yang tinggi dan hebat seperti Master atau PhD atau menunggu jawatan yang hebat sebelum menerajui atau mendokong perjuangan memertabatkan kebenaran. As Syahid hanyalah seorang guru yang mempunyai latar belakang pendidikan yang begitu sederhana.

Perjuangan untuk memertabatkan kemuliaan Islam tidak terhenti dengan syahid atau perginya para pemimpin. Rasulullah saw wafat, para sahabat juga meninggal dunia, para ulama dan pejuang Islam terdahulu juga telah menunaikan janji masing-masing dengan Allah.

Rasulullah saw juga telah memberi khabar gembira dengan adanya umat ini yang terus melangsungkan perjuangan menegakkan Islam sehingga berlakunya di antara dua ketentuan iaitu samada menang atau syahid di jalan Allah.

Walau pun kini as Syahid telah tiada di muka bumi, namun Allah telah menggantikannya ratusan ribu para pejuang yang bersedia untuk meneruskan kesinambungan perjuangan yang mulia ini.

Di rumah as Syahid yang kini dijadikan muzium

Rumah as Syahid kini dijadikan muzium bagi memperingati sejarah perjuangannya dan Sheikh Abdul gani menjadikannya sebagai pusat khidmat masyarakat bagi meneruskan kerja-kerja yang amal yang begitu dititik-beratkan oleh As Syahid Sheikh Ahmad Yassin.

BACA:  7 Tips Pantas Bangkit Selepas Anda Gagal

Rumah peninggalan as Syahid, bahan-bahan penulisan perjuangannya dan generasi muda yang ditinggalkannya akan menjadi saksi terhadap kemenangan yang bakal diperolehi oleh umat ini walau pun as Syahid pun telah terlebih dahulu menghirup kasih sayang Allah dengan nikmat kesyahidannya.

“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.

(Surah al Imran – 169)

Telah bersabda Rasulullah yang bermaksud:

“Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu:

  1. diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar
  2. melihat tempatnya di dalam surga
  3. dilindungi dari azab kubur
  4. terjamin keamanannya dari malapetaka besar
  5. merasakan kemanisan iman,
  6. dikahwinkan dengan bidadari,
  7. dan diperkenankan memeberikan syafa’at bagi 70 orang kerabatnya”

(Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

MK-8 AP ke Gaza, 16hb April 2012

By: Dr Zainur Rashid Zainuddin

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel