Seringkali kita mendengar tentang insan terpilih yang menerima Hidayah dari mimpi mahupun peristiwa yang mengesankan jiwa. Berbeza dengan kisah Jana Petersen seorang gadis dari Hamburg, Jerman. Hidayah itu tidak datang kepadanya secara tiba-tiba.
Jana (sebutannya Yana) menjejakkan kaki di Malaysia buat pertama kalinya pada tahun 2003 melalui program pertukaran pelajar AFS (American Field Service) ketika dia berusia 16 tahun. Jana ditempatkan dengan sebuah keluarga angkat Melayu di Keramat. Sebelum datang ke Malaysia Jana tidak begitu tahu tentang Islam dan tidak pernah mengenali orang Islam.
Tempoh setahun berada di Malaysia membuatkan Jana jatuh cinta dengan budaya, bahasa dan cara hidup masyarakat Melayu. Jana tertarik dengan sikap masyarakat Melayu yang masih berpegang teguh kepada budaya dan adat resam tidak seperti suasana di German. Paling dikaguminya ialah bagaimana orang Islam percaya kepada qada’ dan qadar dan redha dengan segala apa yang menimpa mereka.
Meskipun keluarganya beragama Protestan, Jana pula membesar sebagai seorang Atheis. Melihat keluarga angkatnya yang percaya kepada Allah membuatkan Jana tertarik kepada konsep ketuhanan dan keimanan.
Tiba bulan Ramadhan, Jana menyatakan hasratnya ingin cuba berpuasa kepada ibu angkatnya, Fauziah. Lalu Fauziah mengajar Jana supaya berniat untuk berpuasa kerana Tuhan, tidak kira apa jua Tuhan yang dipercayainya. Setelah berniat Jana merasakan lebih senang untuk berpuasa dan akhirnya berjaya berpuasa selama sebulan.
Jana pulang ke Hamburg, German pada tahun 2004. Setelah pulang, Jana tidak henti-henti bercerita tentang Islam kepada rakan-rakan dan keluarga. Jana mula cuba mendekati rakan-rakan beragama Islam dari Bosnia dan Arab.
Jana mula merindui keluarga angkat, rakan-rakan-rakan dan suasana kehidupan di Malaysia. Jana juga teringin untuk merasakan keindahan Ramadhan sekali lagi. Setelah tamat persekolahan pada tahun 2006, Jana kembali ke Malaysia untuk bercuti dan sekaligus menikmati puasa di bulan Ramadhan.
Di pertengahan bulan Ramadhan Jana kembali ke Hamburg dan menyambung puasanya di sana. Jana merasa yakin bahawa dia telah menemukan “Tuhan-nya” dan jalan kebenaran. Pada 15 Oktober 2006 Jana mencapai usia genap 18 tahun dan dia sedar dia kini boleh membuat pilihannya sendiri. Pada malam Aidil Fitri, Jana melafazkan dua kalimah syahadah di sebuah surau di Hamburg, Jerman.
Jana memberitahu ibu dan bapanya bahawa dia telah memeluk Islam. Ibunya tidak menentang dan mengharapkan Jana bahagia dengan pilihannya. Namun dia sedikit bimbang akan laporan media Barat yang sering menggambarkan Islam sebagai agama yang tidak menghormati hak wanita dan suami yang suka memukul isterinya. Manakala ayah Jana pula hanya mendiamkan diri dan tidak memberikan sebarang reaksi sebagai tanda kurang bersetuju.
Secara perlahan-lahan Yana menjelaskan kepada keluarganya tentang keindahan Islam dan tidak tergesa-gesa menunjukkan perubahan diri. Akhirnya ibu dan bapanya dapat menerima malahan berusaha memastikan dia selesa menganuti agama Islam seperti memastikan dia mendapat makanan yang halal.
Cintanya terhadap Islam mendorong Jana untuk melanjutkan pelajaran peringkat sarjana di dalam jurusan pengajian Asia Tenggara sebagai kursus major dan Kajian Perbandingan Agama untuk kursus minor di Universiti Hamburg.
Hampir setiap tahun Jana akan kembali ke Malaysia, tempat di mana dia menemukan hidayahnya. Dia pernah menjalani latihan amali di Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mendalami Bahasa Malaysia. Jana tidak melepaskan peluang untuk mempelajari tajwid Al-Quran setiap kali berada di Malaysia. Jana juga baru sahaja pulang dari menjalankan kajian tentang Persijilan Halal untuk thesisnya di Universiti. Jana turut belajar bahasa Arab di Syria selama 3 bulan dan boleh bertutur di dalam bahasa Arab dengan agak baik.
Jana adalah lambang wanita Islam yang moden, bijak dan berpendidikan tinggi. Tutur katanya yang lembut, ramah dan merendah diri menggambarkan dirinya yang sentiasa menjunjung cara hidup Islam yang sederhana dan cintakan kedamaian.
Jana merasakan dia telah menemukan dirinya yang sebenar di dalam Islam. Dia merasa amat tenang dan bahagia dengan pilihannya. Seperti katanya…”I have found my place in Islam….this is where I belong”.
*Saksikan kisah Jana Petersen di dalam dokumentari “4 Hidayah 4 Hijrah” pada hari Sabtu, 10 Disember 2011, 10 malam di TV AlHijrah (ASTRO114).
Anda juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai dokumentari ini di 4 Hidayah 4 Hijrah
Manakal video promo untuk episod tersebut boleh ditonton di bawah.
httpv://www.youtube.com/watch?v=BYpzhREoozw
By: Era Ramly