≡ Menu

Pesakit Kanser Dinasihatkan Jangan Taksub dengan Dukun, Bomoh

KOTA BHARU: Kebanyakan penghidap kanser payudara di negeri ini dikesan lebih cenderung berubat secara tradisional, termasuk menggunakan khidmat bomoh tempatan dan Thailand, berbanding mendapatkan rawatan di hospital.

Pakar Perunding Bedah Kanser Payudara dan Endokrin Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Imi Sairi Ab Hadi, berkata majoriti penghidap penyakit itu lewat mendapatkan rawatan di hospital kerana bimbang perlu menjalani pembedahan, selain risiko kehilangan payudara.

Di HRPZ II, katanya, lebih 100 pesakit didiagnosis menghidap kanser payudara setahun, dengan perangkaan itu tidak termasuk mereka yang menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan hospital swasta lain di Kelantan.

“Mereka lebih taksub dan percaya kepada rawatan tradisional, lebih-lebih lagi negeri ini terletak bersempadan dengan Thailand yang mempunyai ramai dukun dan bomoh yang kononnya boleh menyembuhkan penyakit.

“Ini menyebabkan kelewatan mereka mendapatkan mendapat rawatan di hospital dan hanya selepas keadaan sudah teruk, barulah mereka merujuk ke hospital,” katanya ketika ditemui selepas Program Pink Oktober Walk di Taman Perbandaran Tengku Anis, di sini semalam

Hadir sama Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin dan Pengarah Hospital HRPZ II, Datuk Dr Selasawati Ghazali.

Imi Sairi berkata, mengikut statistik di Kelantan, kebanyakan pesakit kanser payudara yang datang mendapatkan rawatan di hospital terdiri daripada mereka yang sudah berada pada tahap tiga dan empat penyakit itu.

“Berdasarkan jangkaan kita, bagi pesakit yang berada pada tahap tiga dan empat, jangka hayat mereka dalam tempoh lima tahun sahaja. Bagi pesakit yang berada pada tahap tiga peluang jangka hayat mereka hanya 50 peratus dan tahap empat pula antara 20 hingga 25 peratus sahaja,” katanya.

BACA:  Pemanis Tiruan Dan Sintetik Menyebabkan Rasa Cepat Lapar

 

Sumber: bharian.com.my

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel