≡ Menu

Orang Ketiga – Hukum Merosakkan Rumah Tangga Orang Lain

Media sosial hari ini masih lagi dikecam hebat dengan tindakan beberapa orang artis mahupun pendakwah yang menceraikan isteri sekali gus melangsungkan perkahwinan dengan wanita lain.

Apabila timbulnya isu-isu sedemikian, ramai juga di kalangan netizen yang membuka kisah sendiri yang pernah dilalui dan mempunyai jalan cerita yang hampir sama dengan mereka. Yang paling menyedihkan ialah, kisah penceraian ini kebanyakannya berlaku terhadap isteri yang sedang hamil atau mempunyai anak-anak kecil.

Apabila diamati, kebanyakan daripada kisah mereka juga adalah disebabkan oleh orang ketiga yang tiba-tiba muncul dalam rumah tangga.

Menjadi tanggungjawab suami untuk membuat keputusan dengan rasional apabila ditimpa ujian seperti ini sama ada berbincang dengan cara baik dengan si isteri. Kesihatan emosi isteri perlu dititikberatkan. Seeloknya tangguh lah dahulu hasrat untuk membina rumah tangga lain.

Islam tidak pernah mengharamkan poligami, tetapi ia perlu dilakukan dengan cara yang baik. Perkahwinan itu sendiri merupakan sebuah ikatan cinta yang suci, jadi ia perlu diikat dengan cara yang suci juga, bukan dengan sesuatu yang boleh mencemarkan nama baik sesebuah perkahwinan tersebut.

Untuk entri kali ini, penulis tidak ingin menghurai dengan lebih lanjut mengenai dosa si suami atau hukum berpoligami, namun mari kita lihat apa pandangan mufti dan para agamawan terhadap ‘orang ketiga’ yang menjadi salah satu asbab kepada penceraian dan fitnah yang melanda.

Cinta Tidak Salah, Tapi Cara Mencintai Yang Menentukannya

Islam tidak pernah melarang umatnya untuk saling mencintai kerana cinta itu sendiri fitrah yang boleh tumbuh dalam jiwa manusia pada bila-bila masa sahaja tanpa dipinta.

Namun, perlu dilihat bagaimana cara anda mengungkapkan cinta dan mengawalnya. Adakah ia dilakukan dengan cara yang betul mahupun tidak.

BACA:  5 Perkara bawa wanita ke Syurga

Anda cintakan suami orang atau wanita yang sudah berkahwin, mungkin perasaan itu datang tiba-tiba. Sebaiknya, dicuba untuk mengawal perasaan tersebut kerana mereka merupakan insan yang sudah mempunyai gelaran kepada orang lain.

Ia akan menjadi sebuah kesalahan jika anda cuba merosakkan rumah tangga mereka demi merealisasikan hubungan cinta anda.

Malah, apabila dilihat perbahasan ulama, hukum merebut pasangan orang atau mengganggu-gugat rumah tangga orang lain adalah haram. Hal ini ada diterangkan di dalam kitab Al-Fatawa Al-Kubra oleh Ibnu Taimiyah yang bermaksud:

“Usaha seseorang untuk memisahkan isteri dengan suaminya adalah di antara dosa yang berat yang termasuk amalan tukang sihir dan perbuatan syaitan.” (Al-Fatawa Al-Kubro, 2/313)

Dalam Islam, terdapat sebuah istilah takhbib yang bermaksud seorang lelaki yang merosakkan hamba atau isteri kepada orang lain, manakala maksud ‘al-khabb’ pula ialah kerosakan, kekejian dan penipuan.

Melalui kitab Mausu’ah Al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyebut bahawa – Islam melarang seseorang itu merosakkan hubungan suami isteri. Hal ini juga adalah berdasarkan sabda Baginda SAW yang berbunyi:

مَنْ خَبَّبَ زَوْجَةَ امْرِئٍ أَوْ مَمْلُوكَهُ فَلَيْسَ مِنَّا
Maksud: “Barangsiapa yang melakukan takhbib terhadap isteri seseorang atau terhadap hamba yang orang itu miliki, maka dia bukan daripada kalangan kami.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 5170)

Jumhur ulama bersepakat bahawa perbuatan takhbib dan merosakkan rumah tangga orang lain adalah haram. Hal ini juga termasuk dengan orang yang memperdaya isteri tersebut atau menyebabkan isteri tersebut menuntut cerai terhadap suaminya supaya lelaki tersebut boleh mengahwininya.

Kesimpulan

Tuntasnya, jika anda sudah jatuh cinta dengan suami atau isteri orang, cuba untuk kawal perasaan tersebut daripada terus mekar. Perasaan itu juga merupakan sebuah ujian kepada anda sama ada anda akan terus melayannya atau berusaha mencari jalan penyelesaian daripada meroskkan rumah tangga orang.

BACA:  Peranan ibu dalam melahirkan anak soleh

Jika diyakini bahawa kehadiran anda dalam rumah tangga boleh menambah seri dan diterima oleh isteri pertama serta ahli keluarganya dan anda juga seorang yang boleh berpoligami, maka istikharahlah untuk mencari jawapannya.

Namun, sebelum mengambil sebarang keputusan, fikir terlebih dahulu perasaan isteri pertama dan keluarganya serta apa yang akan terjadi di masa hadapan terhadap rumah tangga anda.

Wallahu a’alam.

Rujukan: tzkrh.com

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel