≡ Menu

Perbetulkan Cara Berzikir Selepas Solat

Perbetulkan Cara Berzikir Selepas Solat

Biasanya kita akan berzikir seperti berikut selesai sahaja solat,

– Istighfar sebanyak 3 kali.
– Zikir لا إله إلا الله وحده لا شريك له sampai habis.
– Selepas itu barulah اللهم أنت السلام sampai habis.

Sebenarnya, ada kesilapan daripada sudut tertib berzikir jika kita bandingkan dengan sunnah s.a.w.

Berikut hadith yang disampaikan oleh Thauban r.a.,

كانَ رَسولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ، إذَا انْصَرَفَ مِن صَلَاتِهِ اسْتَغْفَرَ ثَلَاثًا وَقالَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ، تَبَارَكْتَ ذَا الجَلَالِ وَالإِكْرَامِ.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

“Rasulullah s.a.w. selalu selesai sahaja solat, beristighfar sebanyak 3 kali, dan membaca اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ، تَبَارَكْتَ ذَا الجَلَالِ وَالإِكْرَامِ.” (Sahih Muslim)

Istighfar digandingkan dengan zikir اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ bukannya لا إله إلا الله وحده لا شريك له.
Ini perkara pertama.

Yang kedua, zikir yang warid daripada Nabi s.a.w. ialah,

اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ، تَبَارَكْتَ ذَا الجَلَالِ وَالإِكْرَامِ.

Bukannya

اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ وإليك يعود السلام فحينا ربنا بالسلام وأدخلنا الجنة دار السلام، تباركت ربنا وتعاليت، يا ذا الجلال والاكرام.

Zikir ini tidak diketahui usulnya. Ada yang mengatakan ia merupakan zikir Ummuna Khadijah r.a. yang dibaca berdekatan saat wafatnya. Ada 2 kritikan,

a- Tiada sumber sahih menyatakan kisah tersebut. Entahlah kisah itu datang daripada mana.
b- Jika benar sekalipun, ia tiada kaitan dengan zikir selepas solat.

Tiga, ramai Imam yang saya perhatikan, akan berpaling ke kanan semasa sedang membaca zikir اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ. Ini merupakan kesilapan yang amat halus dan perlu diperbetulkan.

Menurut Ummuna ‘A’isyah r.a.,

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا سَلَّمَ لَمْ يَقْعُدْ إِلَّا مِقْدَارَ مَا يَقُولُ : اللهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ ، تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ. رواه مسلم (592)

“Nabi s.a.w. selalunya selepas memberikan salam, baginda tidak akan duduk (menghadap kiblat) kecuali sekadar bacaan اللهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ ، تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ.” (Sahih Muslim)

Ertinya, Imam perlu membaca zikir tersebut sampai habis dahulu, barulah Imam berpaling ke kanan atau ke kiri. Bukannya berpaling semasa sedang membacanya.

Dan inilah yang diamalkan oleh ramai ulama antaranya Imam Shafi‘i, al-Kasani, al-Buhuti, Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim.

Rumusan:

1- Selepas istighfar, bacalah zikir اللهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ bukannya لا إله إلا الله وحده لا شريك له.
2- Tinggalkan zikir اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ وَمِنْكَ السَّلَامُ وإليك يعود السلام فحينا ربنا بالسلام وأدخلنا الجنة دار السلام، تباركت ربنا وتعاليت، يا ذا الجلال والاكرام yang tidak diketahui sumbernya daripada mana.

Usah sekali-kali menggunakan alasan “Salahkah kami memanjangkan zikir dan berdoa?” atau “Nak berzikir pun salah. Lebih baik saudara berjuang perangi rasuah.”

Ini alasan yang terlalu lapuk dan tidak ilmiah. Lebih baik kita amalkan zikir Nabi s.a.w. dan sama-sama berjuang perangi rasuah.

3- Bagi Imam, hendaklah istighar dulu sebanyak 3 kali dan membaca zikir اللهُمَّ أَنْتَ السَّلَامُ sampai habis, barulah berpaling ke kanan atau ke kiri.

Bukannya berpaling semasa sedang membaca zikir tersebut. Atau, bukan berpaling semasa membaca اللهم أجرني من النار.

Wallah a‘lam.

Saudaramu,
Khair.

 

Sumber: Kempen Semak Hadis Sebelum Sebar

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel