“Doktor, kuku saya ni dia tumbuh tak cantik. Kenapa eh?”
Saya pun periksa kuku dia satu persatu. Rupa-rupanya dia menghidapi onychomycosis, atau jangkitan kulat pada kuku. Tahu tak apa tanda-tanda jangkitan kulat pada kuku?
◾Kuning gelap / hitam
◾Menggerutu dan tebal
◾Melengkung ke atas
◾Tertanggal dari isi
◾Rapuh dan bergerigi
◾Berbau busuk
Jangkitan kulat pada kuku ni berlaku atas beberapa sebab, antaranya kerana terdapat kecederaan pada kuku, masalah kebersihan, imuniti rendah, kencing manis dan lain-lain.
Macam mana nak rawat jangkitan kulat pada kuku ni? Sejujurnya, rawatannya tak sukar tapi ramai tak sanggup nak turuti saranan doktor kerana:
◾Ubat anti-kulat(antifungal) topikal disapu atau dititiskan pada kuku pada setiap hari, selama 4-6 bulan atau sehingga kuku baru yang bebas jangkitan tumbuh sepenuhnya. Ia perlukan disiplin tinggi.
◾Ubat anti-kulat oral (pil) dimakan setiap hari selama 2-4 bulan. Pil ini tak sesuai jika anda ada masalah hati. Jika anda dibeei pil ini, kadangkala doktor perlu pantau fungsi hati.
◾Kombinasi ubat anti-kulat topikal dan oral. Gabungan dua jenis ubat ini boleh menambahkan keberkesanan rawatan, namun lazimnya masih perlukan masa berbulan-bulan.
◾Cabut kuku yang dijangkiti kulat dan menyapu ubat anti-kulat pada isi di bawah kuku yang dicabut tadi. Prosedur ini biasa dilakukan untuk kes jangkitan kulat pada kuku yang agak parah.
◾Laser atau rawatan cahaya. Ia jenis rawatan yang masih baharu dan belum tersedia di kebanyakan fasiliti kesihatan di Malaysia. Biasanya terdapat di pusat rawatan pakar kulit.
Rawatannya memakan masa yang lama dan perlukan keazaman yang tinggi. Jadi, adalah lebih elok jika kita cegah jangkitan kulat pada kuku. Macamana nal cegah masalah ini?
Jaga kebersihan: pastikan kuku sentiasa dipotong pendek dan dicuci bersih setiap kali mandi. Gunakan pemgetip kuku yang bersih ketika memotong kuku.
Jaga kuku: elakkan risiko kecederaan kuku dengan memakai sarungan tangan dan kasut yang sesuai ketika melakukan aktiviti lasak.
Jaga kesihatan: penghidap kencing manis, atau apa-apa penyakit yang mengakibatkan imuniti menurun akaneninghikan risiko jangkitan kulat.
Semoga bermanfaat!
Sumber: Kamarul Ariffin Nor Sadan