SOALAN :
Kalau orang lelaki pakai baju yang ada sedikit campuran sutera adakah masih haram?
Betulkah orang kata kanak-kanak lelaki tidak haram pakai baju sutera?
Apakah hukumnya orang perempuan bersukan tunggang basikal tetapi pakaiannya tidak menutup sekelian auratnya dan lagi ketat sehingga nampak bentuk badannya?
JAWAPAN :
SUTERA BAGI LELAKI
Yang diharamkan ke atas kaum lelaki memakai sutera itu ialah sutera murni yaitu sutera seratus peratus atau yang kandungan suteranya lebih banyak seperti kain yang dibuat dari benang sutera dan benang kapas yang kandungan benang suteranya lebih banyak dari kandungan benang kapas.
Sutera diharamkan ke atas lelaki dewasa dengan kesepakatan ulamak akan tetapi sebahagian ulamak mengharuskan sutera dipakai olih kanak-kanak lelaki.
Berkata Syeikh Ibnu Qasim :
ويحل للوليّ إلباس الصبي الحرير قبل سبع سنين وبعدها
وإذا كان بعض الثوب إبريسماً أي حريراً (وبعضه) الآخر (قطناً أو كتاناً) مثلاً (جاز) للرجل (لبسه ما لم يكن الإبريسم غالباً) على غيره فإن كان غير الإبريسم غالباً حلّ
Artinya : “Dan harus bagi penjaga memakaikan kanak-kanak lelaki pakaian sutera sebelum umurnya tujuh tahun dan selepasnya.
Dan apabila adalah sebahagian pakaian itu sutera dan sebahagian lagi kapas atau benang misalnya nescaya harus bagi lelaki memakainya selama tidaklah sutera itu lebih banyak. Maka jika selain dari sutera yang lebih banyak maka halal ia.” (Kitab Fathul Qarib)
PAKAIAN WANITA BERBASIKAL
Kaum wanita apabila hendak keluar dari rumahnya yang akan dilihat dirinya itu olih lelaki yang bukan mahram adalah diwajibkan keluar ia dalam keadaan berhijab samada keluarnya itu dengan berjalan kaki atau menaiki kenderaan seperti basikal.
Dan syarat berhijab itu ialah perempuan tersebut wajib memakai pakaian yang menutup auratnya dan tidak ketat dan tidak berhias yang menarik perhatian lelaki memandangnya.
Berkata Syeikh Ali As-Sobuni :
Syariat Islam mewajibkan beberapa syarat yang mesti pada berhijab :
أن يكون الحجاب ساتراً لجميع البدن
أن يكون كثيفاً غير رقيق، لأنّ الغرض من الحجاب السترُ، فإذا لم يكن ساتراً لا يسمّى حجاباً لأنه لا يمنع الرؤية ولا يحجب النظر
ألاّ يكون زينة في نفسه، أو مبهرجاً ذا ألوان جذابه يلفت الأنظار
أن يكون فضفاضاً غير ضيّق، لا يشفّ عن البدنن ولا يجسّم العورة، ولا يظهر أماكن الفتنة في الجسم
ومعنى قوله عليه السلام: «كاسيات عاريات»
أي كاسيات في الصورة عاريات في الحقيقة، لأنهنّ يلبسن ملابس لا تستر جسداً، ولا تخفي عورة، والغرض من اللباس السترُ، فإذا لم يستر اللباس كان صاحبه عارياً
Artinya : “Bahawa adalah hijab itu menutup bagi sekelian badan perempuan itu. Dan bahawa pakaiannya itu tebal tidak nipis kerana sungguhnya tujuan dari berhijab itu ialah menutup. Maka apabila pakaiannya tidak menutup pandangan maka tidaklah dinamakan sebagai hijab kerana bahawasanya ia tidak menghalang penglihatan dan tidak membatas pandangan.
Dan bahawa bukanlah pakaiannya itu kerana berhias diri atau hebat dengan pelbagai warna yang menjadikan berpaling segala mata melihatnya.
Dan bahawa adalah pakaiannya itu longgar tidak ketat yang mendedahkan badan dan mengsifatkan bentuk aurat dan tidak menonjolkan segala tempat fitnah pada tubuh.
Dan adalah makna sabda Nabi saw perempuan berpakaian tapi telanjang itu ialah segala perempuan yang pada rupa sahaja berpakaian tetapi pada hakikatnya dia telanjang kerana mereka memakai pakaian yang tidak menutup badan mereka dan tidak menyembunyikan aurat mereka sedangkan tujuan berpakaian ialah menutup. Maka apabila pakaian mereka tidak menutup nescaya adalah pemakainya itu telanjang.” (Kitab Tafsir Rawai’ul Bayan)
KESIMPULAN
Ketika seorang perempuan hendak keluar dari rumahnya samada untuk keperluan atau beriadah dia tetap wajib memelihara peraturan yang ditetapkan olih agama.
Antara peraturan yang wajib ditaati ialah dengan berhijab yaitu memakai pakaian yang menutup sekelian auratnya dari dilihat olih bukan mahram dan berpakaian longgar agar tersembunyi bentuk aurat pada badannya dari kelihatan.
Berpakaian menampakkan sebahagian aurat atau menampakkan bentuk aurat pada badan adalah haram dan berdosa.
wallahua’lam
Sumber: Ustaz Azhar Idrus