SOALAN :
Biasa dalam masyarakat kita yang beragama Islam apabila diadakan kenduri perkahwinan orang-orang yang datang makan ke kenduri tersebut akan memberi hadiah kepada pihak pengantin yaitu jemputan lelaki akan memberi hadiah berupa wang kepada tuan rumah manakala jemputan perempuan akan memberi hadiah kepada pengantin perempuan atau ibunya dan pihak tuan rumah membalas pula dengan hadiah-haadiah yang telah disediakan.
Apakah hukum memberi hadiah seperti itu?
Ada orang yang mengatakan tuan rumah tidak ikhlas membuat jamuan kerana mahukan hadiah dan amalan memberi hadiah adalah bida’ah lagi pula riak kerana menunjuk-nunjuk kepada manusia.
JAWAPAN :
Sunat hukumnya mengadakan jamuan kenduri dengan sebab berkahwin samada diadakan kenduri tersebut selepas aqad nikah atau pada hari aqad nikah diadakan.
Tuan rumah yang mengadakan kenduri itu mendapat pahala kerana mengikut anjuran agama dan pahala menjamu orang dan pahala bersedekah jika dia ikhlas mengadakan kenduri menjamu para hadirin tersebut.
Melangsungkan perkahwinan tanpa mengadakan kenduri adalah berlawanan dengan sunnah walau pun pernikahan tersebut sah di sisi syarak.
Sabda Rasulullah saw :
أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ.
Artinya : “Buatlah jamuan kenduri walaupun hanya dengan seekor kambing” (Hadith Bukhari)
Dalam hadith ini Rasulullah saw menganjurkan membuat kenduri sekadar kemampuan. Jika mampu maka buatlah dengan menyembelih binatang yang besar seperti unta atau kerbau atau lembu. Dan jika tidak berkemampuan maka memadai dengan hanya seekor kambing atau kurang dari itu seperti orang yang tidak mampu menyembelih kambing maka hendaklah dia menyembelih ayam dan jika tidak menyembelih ayam maka bolih sahaja dengan ikan atau seumpamanya.
Hikmah membuat jamuan adalah tanda syukur kepada Allah yang telah memberi nikmat berumahtangga dan tanda bergembira dengan memperolehi pasangan atau menantu. Maka tidak dapat tiada bagi tuan kenduri hendaklah ikhlas kerana Allah menjamu tetamu jemputan supaya beroleh ganjaran pahala dari sisi Allah.
Maka sudah menjadi adat kebiasaan pada hari kenduri tetamu yang hendak pulang akan memberi hadiah atau duit kepada tuan rumah. Hukum memberi hadiah atau duit ini adalah sunat dan sangat digalakkan dalam Islam.
Adat seperti ini dipuji syarak kerana muafakat dengan perintah syarak menggalakkan bersedekah dan memberi orang lain makan.
Diriwayatkan daripada Suhaib bin Sinan r.a. Rasulullah saw bersabda :
خِيَارُكُمْ مَنْ أَطْعَمَ الطَّعَامَ
Artinya : “Orang yang terbaik daripada kamu sekelian ialah orang yang menjamu akan makanan.” (Hadith riwayat At-Tabarani)
Dan diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr r.a. Nabis aw bersabda :
اعْبُدُوا الرَّحْمنَ، وَأَفْشُوا السَّلاَمَ، وَأَطْعِمُوا الطعَامَ، تَدْخُلُوا الْجِنَانَ
Artinya : “Sembahlah kamu sekelian akan Tuhanmu dan sebarkan salam dan jamulah akan makanan nescaya kamu sekelian akan masuk ke dalam syurga.” (Hadith riwayat Ibnu Hibban)
Jelas pada hadith ini siapa yang menjamu makanan kepada orang samada dengan membuat kenduri kawin atau lainnya adalah tergolong dalam kalangan orang-orang Islam yang terbaik dan balasan bagi mereka adalah syurga.
Dan orang-orang yang memberi hadiah kepada tuan rumah atau kepada pengantin juga termasuk orang-orang yang mengamalkan sunnah Nabi saw.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw bersabda :
ﺗَﻬَﺎﺩُﻭْﺍ ﺗَﺤَﺎﺑُّﻮْﺍ
Artinya : “Salinglah kamu memberi hadiah maka akan saling berkasih sayang di antara kamu.” (Hadith Bukhari Kitab Adab Mufrad)
Dalam hadith ini Rasulullah saw menggalakkan memberi hadiah sesama kita samada hadiah itu berupa mata benda atau duit. Maka siapa sahaja yang memberi hadiah samada besar atau kecil nilainya maka dia telah mengamalkan perintah Rasulullah saw tersebut dan baginya pahala.
Sayugianya orang yang memberi hadiah atau duit kepada tuan rumah itu berniat melakukan kebaikkan bukan kerana mengikut adat semata-mata.
Tidak benar dikatakan memberi hadiah atau duit seperti ini adalah riak atau amalan yang bida’ah. Riak adalah sifat mazmumah yang tersembunyi di dalam hati. Hanya empunya diri sahaja yang tahu niatnya yang sebenar.
Begitu juga meleset tuduhan memberi hadiah pada ketika kenduri kahwin itu amalan bida’ah kerana Rasulullah saw sendiri yang menyuruhnya dan Rasulullah saw juga ada menerima hadiah atau memberi hadiah pada ketika hayat baginda.
Dari Aisyah r.a. katanya :
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ يَقْبَلُ الْهَدِيَّةَ وَيُثِيبُ عَلَيْهَا
Artinya : “Adalah Rasulullah saw pernah menerima hadiah dan memberi hadiah.” (Hadith Bukhari)
Dan sunat bagi tuan rumah yang menerima hadiah dari tetamu membalas pemberian tersebut kerana beramal dengan hadith di atas.
Tetapi jika tuan rumah tidak membalas dengan hadiahberupa mata benda maka sebaiknya dibalas dengan ucapan yang baik seperti puji-pujian.
Dari Usamah bin Zaid r.a. katanya sungguhnya Rasulullah saw bersabda :
مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ ، فَقَالَ لِفَاعِلِهِ : جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا فَقَدْ أبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ
Artinya : “Barangsiapa yang dilakukan kepadanya suatu kebaikkan maka ucaplah kepada orang itu ‘Semuga Allah membalas akan kamu dengan kebaikkan’ maka sungguhnya ia adalah pujian yang mencukupi.” (Hadith An-Nasaai)
Kesimpulan
Mengadakan kenduri kahwin adalah sunnah Nabi saw.
Hendaklah dibuat kenduri sekadar kemampuan sahaja bukan sampai memaksa-maksa atau berlawan menunjuk-nunjuk.
Orang kaya buatlah cara orang kaya dan orang miskin buatlah cara orang miskin.
Sunat tetamu memberi hadiah kepada tuan rumah dan tuan rumah membalas pemberian tersebut dan sekurang-kurang balasan ialah dengan ucapan yang baik.
Saling memberi hadiah samada pada hari perkahwinan atau lainnya adalah sunnah Nabi saw dan bukannya bidaah.
Bida’ah yang sebenarnya ialah memandai-mandai mengeluarkan hukum dalam keadaan jahil.
Tuan rumah harus menerima hadiah atau duit yang diberi olih tetamu yang datang.
Tetamu yang datang makan tanpa memberi hadiah adalah tidak melakukan sebarang kesalahan.
Hendaklah ikhlas membuat jamuan kerana Allah dengan niat bersedekah menjamu orang ramai.
Tidak elok jika dibuat kenduri kerana tujuan mendapatkan hadiah dari para tetamu kerana ditakuti tidak mendapat pahala di sisi Allah.
Menuduh tuan rumah tidak ikhlas tanpa mengetahui niat yang sebenarnya adalah satu perbuatan maksiat dan dosa dan ia bukan dari ajaran agama Islam.
wallahua’lam
Sumber: Ustaz Azhar Idrus