≡ Menu

Kedudukan Wanita di Sisi Ajaran Agama Islam

Sejak zaman dahulu lagi, kedudukan wanita di seluruh dunia sering menjadi perdebatan umumnya dalam aspek keagamaan dan hal ini dapat diterjemahkan melalui kedudukan wanita itu sendiri pada zaman Jahiliyyah (zaman sebelum kedatangan agama Islam). Pada ketika itu, golongan Arab Jahiliyyah amat mementingkan kekuasaan dan kemuliaan kaum lelaki dan mereka menganggap bahawa hanya kaum lelaki sahaja yang berhak dan layak untuk mengetuai sesuatu puak atau kabilah yang boleh memimpin pengikut-pengikutnya.

Oleh sebab itu, golongan wanita dijadikan sebagai alat untuk melahirkan anak lelaki semata-mata dan mereka sama sekali tidak mahu zuriat dan keturunan mereka melahirkan anak perermpuan sedangkan semua ciptaan dan makhluk (termasuk Allah Taala mencipta lelaki dan perempuan untuk berpasang-pasangan) adalah urusan Allah Taala. Jadi, golongan Arab Jahiliyyah itu sanggup menanam anak perempuan mereka hidup-hidup di dalam padang pasir yang gersang kerana ingin menahan malu dan menjaga maruah dan air muka serta mereka menganggap anak perempuan ini pembawa sial dan malapetaka kepada keluarga dan kaum kerabat mereka.

Allah Taala telah berfirman di dalam Surah An-Nisaa’ ayat 32 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu terharap-harap (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian daripada kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) Orang-orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan (maka berusahalah kamu) dan mohonlah kepada Allah akan limpah Kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Berdasarkan keterangan ayat tersebut, kita dapat memahami bahawa kebahagiaan hidup di dunia seperti pangkat dan kedudukan, harta dan segala bentuk rezeki adalah datangnya daripada Allah Taala, dan semua nikmat dunia itu bukannya datang daripada diri manusia itu sendiri. Ia adalah satu lumrah dan kebiasaan manusia mendapat nikmat dunia itu melalui cara usaha dan ikhtiar yang gigih melalui tangan-tangan mereka, namun keputusan akhirnya nikmat itu bisa dinikmati oleh mereka hanya melalui keizinan atau kebenaran daripada Allah Taala. Hal ini menunjukkan bahawa nyatalah ketidakadilan yang digunapakai oleh golongan lelaki Arab Jahiliyyah dalam melabelkan golongan wanita sebagai golongan yang membawa sial, pengaruh negatif dan nasib yang malang kepada mereka dan salahnya golongan lelaki Arab Jahiliyyah itu dalam menginterpretasi atau menafsirkan kedudukan golongan wanita itu sendiri.

Sesungguhnya, Allah Taala telah berfirman dalam surah Al-Hujurat ayat ke-13 yang bermaksud, “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah adalah al-‘Alim (Maha Mengetahui), lagi al-Khabir (Maha Mengenal)”. Mengikut firman Allah Taala ini, kita dapat memahami bahawa penilaian manusia berdasarkan jantina, berbangsa-bangsa dan bersuku kaum tidak sepatutnya berlaku kerana ia merupakan ciptaan semulajadi Allah Taala telah anugerahkan kepada manusia.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Melalui keterangan ayat itu juga, kita dapat mengambil pengajaran dan iktibar bahawa Allah Taala tidak menilai manusia berdasarkan sifat luaran dan fizikal mereka ataupun bentuk material yang ada pada seseorang manusia itu, sebaliknya Allah Taala menilai manusia berdasarkan hati dan perbuatannya. Di sini kita istilahkan ia sebagai takwa. Takwa merujuk kepada sifat dalaman seseorang manusia itu sama ada dia patuh ataupun tidak kepada perintah dan larangan Allah Taala berpandu dan berlandaskan dua sumber utama dalam syariat Islam, Al-Quran dan hadis. Maka, adalah tidak tepat golongan Arab Jahiliyyah mendiskriminasikan kaum wanita hanya disebabkan sifat fizikal mereka yang lemah dan tidak sekuat orang lelaki dan manakala sifat dalaman mereka yang lemah-lembut dan penyayang mengikut fizikal mereka.

Menurut keterangan dan penjelasan yang lain pula, Rasulullah SAW telah mengangkat kedudukan dan martabat kaum wanita pada zaman Jahiliyyah itu dan mengembalikan hak-hak mereka semula mengikut syariat Allah Taala, iaitu agama Islam dan di situlah berkembangnya ajaran Islam yang harmoni, aman dan adil kepada semua manusia. Mengikut sejarah Islam, ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW mula berkembang melalui golongan hamba, fakir miskin dan mereka yang ditindas serta dizalimi oleh sistem kabilah puak Arab Jahiliyyah yang ternyata tidak adil kepada golongan yang lemah seperti wanita, orang tua dan anak-anak kecil yang tidak berdosa. Kita sebagai manusia yang hidup pada zaman kini seharusnya bersyukur kepada Allah Taala dan memperingati dan perjuangan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW serta mereka-mereka yang memperjuangkan hak wanita pada zaman ketika dulu. Tanpa perjuangan yang dibawa oleh Nabi kita, Rasulullah SAW, kita tidak mungkin dapat menikmati hak-hak untuk lelaki dan wanita bertunjangkan agama Islam yang hakiki.

Kita menyedari hakikat bahawa wanita adalah kaum yang lemah, sensitif dan berhati penyayang dan disebabkan sifat semulajadi yang terdapat di dalam diri setiap wanita itulah menyebabkan mereka sering dipergunakan dan diperalatkan oleh golongan tertentu dan tidak bertanggungjawab. Maka, Allah Taala sebagai pencipta alam dan langit semesta telah mengutuskan Rasulullah SAW dengan tujuan utama untuk memperbaik dan memperelokkan akhlak dan budi pekerti manusia. Hal ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya aku (Muhammad) diutuskan untuk menyempurnakan akhlak”. Melalui keterangan hadis ini, jelas menunjukkan kepada kita bahawa agama Islam adalah sebuah agama yang mementingkan perilaku yang baik, adab sopan yang tinggi dan berakhlak dengan sifat Mahmudah atau terpuji.

Kedatangan agama ISLAM sebagai agama pembawa rahmat, kasih sayang dan belas kasihan kepada semua manusia melalui utusan Allah Taala, Nabi Muhammad SAW adalah untuk menghapuskan budaya dan sistem diskriminasi, perkauman dan tanggapan prejudis masyarakat Arab Jahiliyyah yang wujud pada zaman itu. Hal ini disebabkan masyarakat mereka pada masa itu sering merendah-rendahkan dan memperkotak-katikkan kedudukan wanita sehingga golongan wanita itu dianggap tidak berharga dan tiada nilai sedikit pun di sisi masyarakat khususnya pada golongan lelaki Arab Jahiliyyah.

Sebagai kesimpulannya, setiap diri manusia hendaklah berlaku adil kepada diri manusia yang lain mengikut konteks yang termaktub di dalam Al-Quran dan hadis Nabawi. Keadilan tanpa mengenal jantina, suku kaum dan puak, warna kulit, bangsa dan sebagainya merupakan satu keadilan yang sebenar-benarnya dan keadilan sebeginilah yang mempengaruhi dan diamalkan dalam segenap aspek kehidupan manusia. Dengan ini, kedudukan wanita dalam Islam mahupun seluruh dunia diangkat tinggi setaraf sama seperti golongan lelaki dan apa yang membezakan antara dua golongan itu hanyalah TAKWA.

BACA:  Makan cara sederhana jamin kesihatan

MAKNUNAH BINTI TAIB
PENUNTUT UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM)
FAKULTI PENGAJIAN BAHASA UTAMA
BAHASA ARAB DAN KOMUNIKASI

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel