Masa Ta’lim di rumah. Anak saya bertanya;
“Ayah, remaja yang ayah selalu jumpa tu tak sakit ke letak pin dekat hidung. Letak pin dekat kening?”
Saya menjawab;
“Ayah tanya anak-anak tu, katanya sakit sangat. Tapi ayah pesan kepada diaorang minta jaga solat. Bila jaga solat Allah jaga kita.”
Saya menyambung perbualan;
“Anak ayah yang kecil seorang ni nak jadi apa besar nanti? “
Laju dia menjawab;
“Nak jadi doktor ayah.”
“Bagus nak, doktor tu kerja ubati sakit orang. Allah suka, lagi Allah suka doktor daie.”
Dia pun ulang-ulang ingin menjadi doktor daie. Doktor ubati sakit, selamatkan orang di dunia dan daie pula nak bawa ramai-ramai orang masuk syurga selamanya. Satu kombinasi yang sangat Allah sukai dan redai.
Saya bertanya anak lelaki saya pula;
“Anak lelaki ayah ni nak jadi apa pula ? katanya hari tu belum pandai baca. Sekarang dah pandai membaca.
Dia menjawab;
“Tapi mengaji tak pandai sangat lagi ayah macam mana. Tengah belajar lagi.”
Saya menjawab;
“Takpe anak. Ayah dulu belajar dah lewat. Tapi yang utama kita kenal Allah. Sahabat- sahabat Rasulullah S.A.W dulu mereka belajar iman kemudian baru belajar Al-Quran. Solat boleh belajar. Al-Quran boleh belajar. Semua boleh belajar. Tetapi paling utama kenal Allah. Niat kita berusaha dekat pada Allah. Jaga solat. Rajin baca dan fahamkan Al-Quran. Dakwah orang lain kepada Allah. Tunjukkan akhlak yang mulia.”
Masa Ta’lim saya baca kisah Aisyah R.A memberikan sedekah 100 ribu dirham. Letak dalam cupak. Sebelum Maghrib sudah habis sedekah.Anak saya bersuara;
“Ayah, nanti nak ikut ayah bagi makan pada orang miskin dan anak yatim malam-malam yer.”
Saya tersenyum dan berkata;
“Boleh anakku. Itulah sunnah Nabi S.A.W. Saidina Abu Bakr R.A dan Saidina Umar R.A selalu berjalan malam. Cari orang miskin orang susah. Orang sesat. Itulah Islam. Akhlak.”
Kita kena ada fikir agama. Sayang agama. Berjuang untuk agama. Anak -anak saya berkata;
“Ayah, Qadeejah sayang ayah.”
“Ayah, Rayyan sayang ayah.”
”Ayah, Safiyyah sayang ayah.”
Seorang demi seorang peluk saya. Cium saya. Sebak mereka kata rindu sangat kat ayah. Saya terasa sebak menangis.
Sebab saya lagi rindu pada mereka. Saya dukung keempat-empat sekali. Bidadari saya jeling je, tunggu kena dukung juga, hehe. Sekejap ye sayang bidadariku, itu yang paling saya rindu. Kami menaadah tangan dan doa;
“Ya Allah betapa diriku sayang anugerahmu ini. Sayangilah bidadari dan 4 anakku ini. Berilah hati mereka cinta dan rindu untuk bertemuMu ya Allah. Dan biarlah seluruh hidup mereka untuk itu. Dan mati untuk itu. Kecintaan dalam hati untukMu. Janganlah jadikan mereka hamba duit, hamba kuasa,hamba gila dunia. Tetapi jadikan mereka hambaMu.”
Anak yang kecil 2 tahun sibuk main melompat sana sini. Tetapi biasalah anak-anak. Saya bahagia tengok anak bermain, menjerit, melompat dan berlari. Kerana saya berdoa mereka bakal daie masa besar nanti insyaAllah.
Sentiasalah berpesan pada anak kita. Ayah mungkin mati malam ini. Tetapi bahagia dalam hati ayah bila anak ayah jadi daie. Sibuk buat dakwah.
Tidak terkenal masuk televisyen tidak mengapa. Tetapi jadi daie yang sentiasa mencari manusia yang jauh bawa dekat kepada Allah. Bergerak dari kampung ke kampung. Masuk ke pedalaman, cari orang miskin anak yatim.
Sehingga tiba hari itu. Kita menemui Rabb dengan wajah yang ceria. Ya Allah hidupkanlah Ta’lim dalam setiap rumah di Malaysia dan seluruh dunia.
Sumber: Tazkirah.net