Nota Editor: Artikel ini asalnya telah dikongsikan oleh Ustaz Abu Basyer di Blog Tanyalah Ustaz.
Soalan : Saya nak bertanya tentang hukum,seorang lelaki memakai jam atau kaca mata yang besinya dicampur dengan emas 24k…Terima kasih.
Jawapan :
Lelaki haram memakai emas walau pun sedikit di sadur dibahan besi seperti jam dan bingkai cermin mata.
Dari Abu Musa bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Dihalalkan emas dan sutera untuk kaum wanita dari umatku dan diharamkan keduanya terhadap kaum lelaki.” Terdapat satu riwayat bahawa Rasulullah SAW pernah melihat sebuah cincin dari emas ditangan seseorang, maka Rasulullah SAW meragutnya lalu membuangnya lantas bersabda, “Seseorang dari kamu sengaja memegang bara api dari neraka lalu diletakkan ditangannya”, lalu Rasulullah meninggalkan lelaki pemilik cincin tersebut dan membiarkan cincinnya terbuang di hamparan bumi lantas sebahagian orang berkata kepada si pemilik cincin, “Rasulullah telah pergi, ambil cincinmu dan pergunakanlah”, Lelaki itupun menjawab dengan tegas, “Tidak, Demi Allah aku tidak akan mengambilnya apa yang sudah dilempar Rasul”.
Menurut para Fuqaha” golongan Maliki, bagi kaum lelaki boleh memakai cincin dari perak asalkan tidak lebih dari dua dirham dengan syarat bertujuan mengikut jejak Rasulullah s.a.w. Berdasarkan analogi cincin ini, maka setiap benda yang diperbuat daripada emas (termasuk emas putih) yang dipakai untuk berhias oleh kaum lelaki, maka benda-benada tersebut hukumnya tetap diharamkan bagi mereka (Yunos Ali al-Mudhor: Terjemahan Halal dan Haram dalam Islam).