≡ Menu

Hukum Makan Telur Padi

Hukum Makan Telur Padi

Soalan

Assalamualaikum. Adakah telur padi halal dimakan?

Jawapan Ringkas

Hukum makan telur padi adalah halal berpegang dengan kaedah fiqh yang menyebut “Asal sesuatu makanan adalah halal melainkan terdapat dalil yang mengatakan haram”. Dalam masa yang sama, proses pembuatan dan pengawetan telur padi tidak mengandungi elemen-elemen yang mengubah kehalalan telur tersebut, maka hukum memakannya adalah halal selagi mana tidak dicampur dengan bahan-bahan yang diharamkan seperti arak, najis dan sebagainya.

Huraian Jawapan

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Telur padi merupakan telur berakali yang dianggap sebagai hidangan tradisional pembuka selera istimewa masyarakat Cina yang diperbuat daripada telur ayam atau itik. Ia juga dikenali sebagai telur seribu tahun serta telur berabad walaupun sebenarnya proses pengawetan hanya berlangsung sekitar beberapa minggu hingga beberapa bulan bahkan mencecah beberapa tahun sahaja bergantung kepada kaedah pengawetan yang digunakan. Kaedah moden dibuat dengan merendam setiap telur di dalam larutan berakali selama beberapa hari mengikut musim seperti 15 hari ketika musim panas atau 20 hari ketika musim sejuk. Walau bagaimanapun, proses rebusan telur tidak diperlukan.

(Rujuk laman web: Enhancing the Value of Eggs: How to Make Balut and Century Eggs)

Selepas proses pengawetan selesai, tekstur cengkerang telur berubah seakan usia telur tersebut sudah terlalu lama. Perubahan yang lebih drastik terjadi ketara apabila putih telur telah berubah tekstur agar-agar dan warna coklat gelap. Perubahan yang paling ketara adalah pada kuning telur ia bertukar kepada hijau gelap dan mempunyai tekstur krim tebal atau yogurt. Kebanyakan bau dan rasa yang kuat pada telur padi datang dari kuning telur kerana kandungan sulfur atau ammonia dalamnya.[1]

BACA:  Hukum Membuat Video Eksperimen Sosial 'Gold Digger'

Berdasarkan kaedah dan proses pembuatan dan pengawetan di atas yang tidak mencampurkan bahan-bahan yang diharamkan seperti arak serta kotoran-kotoran seperti najis, darah dan sebagainya, maka hukum memakan telur padi adalah halal. Kenyataan ini disokong dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأصل في الأطعمة الحل، ولا يصار إلى التحريم إلا لدليل خاص

Maksudnya: “(Hukum) asal dalam bab makanan adalah halal. Hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.”

(Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125)

Kaedah ini dikuatkan lagi dengan nas-nas yang umum yang menyebut bahawa segala makanan dan nutrisi yang berkhasiat sehingga menjadi asbab seseorang hamba lebih bertenaga dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT adalah halal dimakan dan dimanfaatkan.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”

Surah al-Baqarah (168)

Namun begitu, segala makanan dan minuman yang boleh memudaratkan fizikal dan akal manusia telah diharamkan oleh syarak. Ini jelas disebutkan melalui firman Allah SWT,

يَأْمُرُهُم بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “…Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk…”

Surah al-A’raf (157)

Sebagai kesimpulan, hukum memakan telur padi termasuk dalam kategori makanan yang baik dan diharuskan untuk makan selagi mana tidak dicampurkan dengan bahan-bahan lain yang diharamkan mahupun memudaratkan jasmani dan rohani. Akhir kata, semoga Allah memudahkan urusan hambanya dalam mencari yang halal dan dijauhi daripada makanan yang haram lagi diragui.

BACA:  Adakah Memakai Cincin Ketika Solat Dikira Berlapik?

Wallahu a’lam.

 

Sumber: muftiwp.gov.my

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel