SOALAN :
Satu soalan berkenaan masjid yaitu betulkah kalau kita bunuh nyamuk dalam masjid dilarang kita buang bangkainya dalam masjid?
JAWAPAN :
Diantara adab masuk ke dalam masjid ialah wajib memeliharanya dari segala najis dan kotoran.
Oleh kerana itulah dilarang membuang bangkai haiwan ke dalam masjid sekalipun bangkai haiwan yang darahnya tidak mengalir daripada serangga seperti nyamuk dan kutu dan lalat dan kumbang dan lainnya.
Berkata Syeikh Zainuddin Al-Malibari :
ورمي نحو قملة فيه ميتة وقتلها في أرضه وإن قل دمها
Artinya : “Dan haram membuang seperti bangkai kutu di dalam masjid dan membunuhnya pada lantainya sekalipun sedikit darahnya.” (Kitab Fathul Mu’in)
Dan berkata Syeikh Syed Abu Bakar Syatha :
ويحرم رمي نحو قملة كبرغوث وبق وبعوض في المسجد إذا كانت ميتة لنجاستها حينئذ. قوله وقتلها في أرضه ) أي ويحرم قتل القملة أي ونحوها في أرض المسجد أي لأن فيه قصده بالمستقذر
Artinya : “Dan haram membuang umpama kutu seperti juga kutu kepala itu serangga kecil dan nyamuk di dalam masjid apabila telah menjadi bangkai kerana ia adalah najis pada ketika itu. Dan haram membunuhnya pada lantai masjid kerana perbuatan itu adalah kesengajaan mengotorkan masjid.” (Kitab I’anah At-Talibin)
KESIMPULAN
Wajib atas sekian orang Islam menjaga dan memelihara masjid dari terkena sekelian jenis najis dan kekotoran.
Apabila membunuh oleh seorang akan umpama nyamuk di dalam masjid hendaklah dibuang bangkainya di luar masjid.
wallahua’lam
Sumber: Ustaz Azhar Idrus