Hukum berhutang dalam Islam dibolehkan jika ada keperluan. Namun awas, ia menjadi kewajipan yang tidak boleh dielakkan oleh penghutang untuk melangsaikannya. Manakala orang yang memberi hutang pula disunatkan untuk meminta kembali hutangnya tanpa perlu rasa bersalah.
Sebagai orang yang ingin memberi hutang, kita perlu mengambil tahu ke mana hutang tersebut akan digunakan – adakah untuk tujuan yang baik, atau yang dilarang oleh syara’ seperti berjudi, membeli minuman dan makanan yang haram.
Jika sudah diyakini pula hutang tersebut akan digunakan ke jalan yang buruk atau sia-sia, maka bagaimana pula hukumnya? Adakah masih perlu meminjamkan wang atas dasar kasihan?
Sebenarnya, hukum memberi hutang boleh berubah mengikut niat orang yang ingin berhutang. Menurut pihak Mufti Wilayah Persekutuan, hukum memberi hutang boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian:
1. Haram
Jika pemberi hutang mengetahui hutang tersebut akan digunakan untuk tujuan yang diharamkan seperti minum arak, judi dan sebagainya.
2. Makruh
Jika pemberi hutang mengetahui hutang tersebut akan digunakan untuk perkara yang tidak bermanfaat atau untuk menunjuk-nunjuk. Ataupun penghutang tahu orang yang meminjam tidak mampu membayar semula hutang tersebut.
3. Wajib
Jika pemberi hutang mengetahui orang yang berhutang amat memerlukan hutang tersebut untuk menampung hidupnya serta keluarganya dan tidak ada cara lain untuk dia memperolehinya kecuali dengan cara berhutang.
Justeru, hukumnya makruh untuk seseorang itu memberi hutang sekiranya pemberi hutang telah mengetahui bahawa orang yang ingin berhutang akan membeli sesuatu yang tidak berfaedah dan sia-sia atau ingin membeli sesuatu sekadar ingin menunjuk-nunjuk sedangkan dia tidak ada kemampuan. Ruang itu juga boleh digunakan untuk menasihati si penghutang agar menghargai nilai wang dan tidak menggunakannya secara sia-sia.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan via tzkrh.com