≡ Menu

Hijabistas: Antara Fesyen Dan Kepercayaan Wanita Muda Islam

Di atas sebuah bangku kayu di sebatang jalan di Stockholm, Imane Asry, Shama Vafaipour dan Maryam Dinar mengenakan sentuhan akhir mekap dan membetulkan kembali letak tudung yang telah dililit sempurna. Dengan kasut tumit tinggi, seluar berkaki lebar dan blaus labuh warna neutral yang longgar, wanita-wanita ini yang kelihatan seperti model sedang bersedia untuk bergambar bagi akaun Instagram mereka. Hasil rakaman lensa kamera ini akan dapat disaksikan oleh ratusan malah ribuan pengikut mereka nanti.

Seperti mana-mana ikon fesyen yang lain, wanita Islam turut mengekspresikan gaya mereka dan memaparkannya di media sosial. Sedikit tambahan yang berbeza dengan yang lain, mereka melakukannya dengan mengekalkan ciri-ciri kesopanan yang ditetapkan oleh Islam.
Jurugambar bangsa Sweden Elin Berge meneroka isu ini menerusi siri foto beliau yang dinamakan “Hijabistas.”

“Mereka benar-benar menggabungkan kepercayaan dan budaya dengan nilai-nilai Islam dengan cara yang sangat kreatif, yang penting untuk ditonjolkan kerana imej Islam kini begitu suram dan orang ramai sangat takut dengan orang Islam,” kata Berge.

Dari larangan mengenakan pakaian mandi wanita Muslim (burkini) merentasi Perancis sehingga ke gelombang baru Islamophobia yang melanda Eropah, perbuatan kecil seperti mengenakan tudung secara terbuka boleh dianggap sebagai satu perbuatan yang berani. Meskipun tudung telah mula diterima dalam arus fesyen perdana negara barat, seperti iklan H&M yang buat kali pertama memaparkan model bertudung dalam iklan mereka pada tahun lepas, Berge melihat satu keunikan pada wanita yang beliau gelar hijabista ini.

“Sangat menarik untuk melihat bagaimana gadis-gadis biasa ini boleh menjadi ikon fesyen di Instagram meskipun dunia fesyen barat telah mengabaikan kumpulan ini,” kata Berge. “Mereka kelihatan berani dan memakai (tudung) dengan cara yang berbeza dan menggabungkannya dengan fesyen. Mereka suka dilihat dan tidak takut untuk dikenali kerananya.”

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Projek Hijabistas Berge ini menggabungkan fesyen Muslim dengan fesyen ringkas Scandinavia. Faduma Aden, seorang pereka berusia 27 tahun yang menghasilkan pakaian pejabat yang sopan, dilihat dalam satu gambar sambil memegang sehelai jaket berwarna merah lembut. Imane Asry mengenakan gaya yang sama di akaun Instagram @fashionwithfaith miliknya, dengan sehelai tudung warna merah hati yang dililit kemas dan digayakan bersama sehelai jaket tebal di salah satu gambarnya.

Bagi Mariam Moufid, seorang lagi hijabista, boleh memilih apa yang dia ingin pakai adalah satu kebebasan buat dirinya. Mempamerkan gaya fesyen kepada lebih daripada 630,000 pengikut akaun Instagram @hijabmuslim miliknya adalah cara beliau untuk mengekspresikan diri sendiri.

“Dalam perdebatan orang ramai, terdapat segolongan yang memikirkan dan bercakap tentang perkara ini dan saya sendiri melihat gadis-gadis ini.. suara mereka tidak begitu didengari,” kata Berge. Jikalau pun suara mereka didengari, timbul persoalan, ‘Adakah anda tidak ditindas?‘

Dalam keadaan wanita Islam menghadapi serangan balas dari masyarakat Barat tentang penindasan, mereka juga menghadapi ancaman dari beberapa ahli komuniti Islam itu sendiri. Dirujuk sebagai “polis fesyen” oleh hijabista, segelintir orang Islam yang lebih tegas mengatakan bahawa memakai pakaian barat dan menjadi model untuk Instagram adalah bertentangan dengan tujuan asal tudung untuk menjaga kesopanan.

Walaubagaimanapun, sebahagian besar hijabista seperti Moufid mengatakan komen-komen yang diterima adalah positif. Hijabista mengubah imej wanita Muslimah moden, dan nampaknya orang ramai benar-benar telah memberi perhatian kepada mereka.

BACA:  Bunuh Diri dalam Islam dan Cara Menghindarinya

“Untuk menyesuaikan tudung dengan pakaian lain, mereka bereksperimen,” kata Berge. “Saya fikir usaha ini menarik kerana (hijabista) mempunyai kuasa tersendiri untuk memberi inspirasi antara satu sama lain. Tetapi saya tidak pasti sama ada itu memang niat mereka atau sebaliknya. Saya fikir mereka juga ingin merasa gembira dalam berfesyen.”

 

Sumber: Tazkirah.net 

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel