Labah-labah adalah antara makhluk ciptaan Allah SWT di atas muka bumi. Kehadirannya di dunia mengambil sedikit tempat dalam kehidupan manusia. Adakala ia mengancam nyawa dan ada yang membuatkan rumah kita penuh dengan sarangnya sehingga merimaskan dan mengotorkan syiling rumah.
Labah-labah adalah haiwan pemangsa. Sarangnya diperbuat daripada sutera iaitu seutas benang protein yang keluar daripada hujung abdomennya. Selain itu, labah-labah tidak hidup secara berkumpulan dan lebih memilih hidup bersendiri. Ini kerana, kehidupan berkumpulan bagi mereka akan menyebabkan berlakunya persaingan.
Apa yang boleh kita ambil pengajaran mengenai penciptaan serangga yang bernama labah-labah ini? Adakah kemunculannya hanya sia-sia dan menyusahkan kita sahaja? Mari teruskan pembacaan untuk mendapatkan jawapannya.
5 Fakta Menarik Tentang Labah-Labah
Labah-labah mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri. Jom kita semak 5 fakta menarik tentang labah-labah.
#1- Penglihatan Seekor Labah-Labah
Penglihatan labah-labah terhad. Disebabkan itu, labah-labah bergantung pada getaran sarangnya untuk mengesan mangsa yang terperangkap dan akan bergegas untuk membalut mangsa dengan bebenang sutera.
#2- Kelajuan Labah-Labah
Labah-labah dapat bergerak sehingga 30 km sejam. Kelajuan itu adalah sangat pantas bagi seekor serangga untuk berjalan. Subhanaallah!
#3- Telur Labah-Labah
Labah-labah dapat mengeluarkan telur antara 200 hingga 300 biji dalam setiap musim. Daripada jumlah tersebut, 90 peratus akan menetas manakala selebihnya akan menjadi santapan untuk anak yang baru menetas.
#4- Berburu Pada Waktu Malam
Kebanyakan labah-labah berburu pada waktu malam. Makanan akan disimpan dan hanya dimakan apabila perlu.
#5- Labah-Labah Boleh Berubah Warna
Ada beberapa spesies labah-labah yang dapat bertukar warna mengikut warna benda yang berhampiran dengannya. Contohnya, spesies Goldenrod Crab Spider yang dapat berubah warna kuning apabila berada di atas bunga kuning.
Namanya Terakam Di Dalam Al-Quran
Antara 114 surah di dalam Al-Quran, ada satu surah yang diberi nama Al-’Ankabut. Ankabut itu dalam bahasa kita adalah labah-labah.
Jika namanya sudah tercatat di dalam Al-Quran, pasti ada perkara penting dan pengajaran yang ingin disampaikan kepada kita. Allah berfirman pada ayat 41 dalam surah yang sama yang bermaksud:
“Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat sarang(rumah). Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah, sekiranya mereka mengetahui.”
Menurut pemerhatian saintifik yang dijalankan oleh ahli anakrologi (ahli yang mengkaji labah-labah) dunia, binaan sarang labah-labah didapati tiga kali ganda lebih kukuh daripada sarang serangga-serangga yang lain.
Tetapi kenapa Allah mengambil sarang labah-labah sebagai bandingan di dalam ayat di atas jika sarang labah-labah lebih kukuh daripada sarang serangga-serangga yang lain?
Bukan sarang labah-labah yang zahir yang perlu diperhati sahaja tetapi lihatlah juga kehidupan serangga tersebut. Bagaimana keadaan kehidupan rumah tangga labah-labah?
Kehidupan rumah tangga labah-labah tidaklah seindah yang disangka. Labah-labah betina menjadi dominan(berkuasa dan berperanan utama) dan membuat tugas yang sepatutnya dilakukan oleh labah-labah jantan.
Labah-labah betina hanya memerlukan labah-labah jantan ketika ingin mengawan. Si labah-labah betina mulanya cuba menarik perhatian si labah-labah jantan untuk bersama dengannya. Setelah selesai mengawan, si labah-labah jantan terperangkap. Malah dibunuh dan dijadikan pula sebagai makanan.
Sesetengah spesies yang lain, labah-labah jantan dijadikan makanan kepada anak labah-labah yang akan menetas. Dengan sosial kehidupan labah-labah yang tidak bermasyarakat dan bersendiri, hal ini menjadikan anak labah-labah sanggup berbunuhan sesama sendiri untuk mendapatkan sumber makanan. Bahkan sanggup membunuh ibu mereka sendiri jika merasa terancam.
Amat tepatnya kenyataan Allah SWT di dalam ayat yang disebut di awal tadi. Betapa rapuh dan lemahnya kehidupan labah-labah. Mereka hanya mementingkan diri sendiri dan tidak menghiraukan labah-labah lain. Sanggup berbunuhan dan tidak ada kasih sayang sesama sendiri.
Sudah jelas bukan? Perkara yang dicatatkan dalam Al-Quran bukanlah suatu yang boleh dipandang ringan. Sesungguhnya inilah mukjizat al-Quran yang akan kekal sehingga ke hari kiamat. Hanya mereka yang mahu berfikir yang akan mengambil pengajaran.
Kesimpulan
“Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.”
Surah Al-Baqarah, 2:269
Kejadian labah-labah bukan satu ciptaan biasa. Ia dicipta untuk diambil pengajaran dan iktibar kepada kita. Janganlah jadi seperti labah-labah yang sanggup berbunuhan. Selain itu, hindarkan sikap hanya menumpang dan tidak melakukan tugas sepatutnya sebagai suami. Hanya membiarkan isteri sahaja memegang tugas utama dan si suami hanya sekadar berdiam diri.
Semoga bermanfaat!
Sumber: tzkrh.com