
Dianggarkan terdapat kira-kira 1 juta orang etnik Muslim Uighur dilaporkan sedang berada dalam kem-kem tahanan di China menurut Jawatankuasa Bagi Diskriminasi Kaum (Committee of Racial Discrimination, CERD) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Laporan tersebut turut menyatakan bahawa terdapat tahanan yang diseksa sehingga meninggal dunia. Beberapa media antarabangsa turut melaporkan bahawa tahanan dipaksa makan babi dan minum arak.
Setelah sekian lama menafikan, Kerajaan China akhirnya mengakui keberadaan kem-kem tersebut yang kononnya diwujudkan bagi melaksanakan proses ‘pendidikan semula’ kepada Muslim Uighur.
Istilah tersebut tidak lain merupakan cubaan untuk menyembunyikan hakikat kezaliman terhadap saudara seakidah kita demi mengekalkan cengkaman rejim China ke atas wilayah tersebut yang mempunyai kepentingan strategik dalam percaturan geopolitik negara tersebut di rantau Asia Tengah.
Isu Muslim Uighur ini kembali mendapat perhatian di negara ini apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini memutuskan untuk membebaskan sebelas orang Muslim Uighur yang ditahan di Malaysia dan enggan memenuhi tuntutan ekstradisi oleh China.
Tindakan tersebut telah menyelamatkan nyawa mereka daripada kezaliman rejim China. Namun begitu, bagaimana pula dengan rintihan umat Islam Uighur yang berhadapan dengan penindasan secara sistematik oleh rejim China berdekad lamanya?
Sumber: Pers Malaysia
