≡ Menu

Cara Solat Sambil Mendukung Bayi

Cara Solat Sambil Mendukung Bayi

Solat dalam keadaan yang tenang tanpa sebarang gangguan adalah keadaan yang benar-benar ideal yang diingini oleh umat Islam. Namun realitinya setelah berumah tangga dan mempunyai anak-anak kecil, ada sesetengah perkara dan rutin yang perlu diubah suai. Hal ini termasuklah ketika solat.

Contohnya jika anak kecil menangis dan ingin didukung ketika anda ingin memulakan solat – ada cara yang boleh dilakukan. Nabi SAW juga pernah menunaikan solat dalam keadaan baginda mendukung anak kecil.

Daripada Abi Qatadah Al-Ansari R.anhu beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُصَلِّي وَهْوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ زَيْنَبَ بِنْتِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَلأَبِي الْعَاصِ بْنِ رَبِيعَةَ بْنِ عَبْدِ شَمْسٍ، فَإِذَا سَجَدَ وَضَعَهَا، وَإِذَا قَامَ حَمَلَهَا

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah menunaikan solat dalam keadaan baginda memikul/mendukung Umamah Binti Zainab Binti Rasulillah SAW, dan dia merupakan anak kepada Abu Al-‘Ash bin Rabi’ah bin ‘Abd Syams. Apabila baginda sujud, baginda meletakkannya. Dan apabila baginda berdiri, baginda mendukungnya. (Riwayat Al-Bukhari, no.516)

Terlebih dahulu mari kita ketahui beberapa syarat yang perlu dipenuhi:

1. Bayi tersebut mestilah bebas daripada najis. Pastikan lampin bayi sudah ditukar sebelum anda mula solat.

2, Mengawal pergerakan supaya tidak melakukan pergerakan anggota yang besar (contohnya tangan dan kaki) lebih daripada 3 kali berturut-turut. Pergerakan lain juga perlu diminimakan supaya boleh memelihara khusyuk dan fokus ketika solat.

3. Memastikan dada sentiasa menghadap kiblat.

4. Melakukannya hanya dalam keadaan yang betul-betul memerlukan. Lebih baik sekiranya dapat meminta ahli keluarga yang berdekatan menjaga buat sementara semasa solat.

Cara Solat Sambil Mendukung Bayi

BACA:  Kesan positif puasa bagi kesihatan

1. Memulakan niat solat seperti biasa sambil mendukung bayi.

2. Sewaktu takbiratul ihram, kedua-dua tangan tidak perlu diangkat dan tidak perlu diletakkan di atas pusat. (Perbuatan takbiratul ihram adalah rukun qauli (wajib menyebut sahaja) dan tidak wajib mengangkat tangan.

3. Baca Al-Fatihah seperti biasa dan surah pilihan jika keadaan mengizinkan.

4. Rukuk dengan tangan memegang erat bayi tersebut. Tidak perlu meletakkan kedua-dua tangan di atas lutut sekiranya ia di luar kemampuan anda yang sedang mendukung bayi.

5. Ketika ingin sujud, letakkan bayi di sebelah dan sujud seperti biasa. Apabila selesai sujud kedua, dukung bayi semula sebelum memulakan rakaat seterusnya.

6. Ulangi langkah sehingga selesai kesemua rakaat.

Kesimpulan

Banyak kemudahan dan keringanan telah dibenarkan bagi memastikan umat Islam dapat menunaikan solat dengan sebaiknya. Walau bagaimanapun, diingatkan sekali lagi bahawa bayi yang perlu didukung semasa solat perlulah dalam keadaan suci kerana syarat sah solat adalah memastikan diri, pakaian dan tempat solat suci daripada sebarang najis.

 

Sumber: tzkrh.com 

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

error: Content is protected !!